Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.
Syawal 12
Raya pertama, kedua, ke-30?
HARI ini bulan Syawal sudah menginjak hari ke-12. Sesekali apabila 'tertengok' TV tempatan, saya terperasan masih ada pengacara mengucapkan selamat hari raya atau program dan drama yang dikhususkan untuk hari raya pertama, kedua, ketiga...dan kalau hari ini, hari raya ke-12. Mungkin hujung Syawal nanti hari raya ke-30.
Apabila seorang rakan bukan Islam bertanya, mengapa orang 'Melayu' meraikan Hari Raya (Aidilfitri) dalam tempoh terlalu panjang, terasa susah juga saya hendak menjawabnya. Apakah ini bermakna orang Melayu 'suka enjoy' saja? Jika orang bukan Islam sedar akan orang Melayu 'sudah terlebih' dalam sambutan dan meraikan hari raya, takkan kita tak terperasan?
Dulu apabila 'hari raya sudah ke-30' masih ada majlis hari raya di sana sini dan jika amat-amati siaran radio di televisyen, juruhebah dan pengacara masih mengucapkan Selamat Hari Raya. Disiarkan juga lagu hari raya. Malah di akhbar, masih disiarkan gambar-gambar bingkisan hari raya dari luar negara. Pendeknya, orang Melayu tak habis-habis dengan hari rayanya.
Tidak terasa janggal jika disebut hari raya pertama, hari raya kedua dan hari raya ketiga (terutama membabitkan siaran rancangan televisyen), tetapi jika disebut hari raya ke-30, terasa tak kena.
Seperti sahabat bukan Islam tadi, mungkin ramai lagi orang yang tertanya-tanya mengapa orang Melayu bermati-matian berhari raya sampai sebulan sepanjang Syawal? Tidakkah banyak kerugian terpaksa ditanggung seperti dari segi kewangan dan masa?
ARTIKEL IRINGAN (lama)
SELEPAS berakhirnya Ramadan, pada bulan Syawal sekarang ini dan bulan-bulan berikutnya ada banyak 'jemputan makan' seperti majlis kenduri kahwin (walimatul urus) dan rumah terbuka.
Apa yang saya perhatikan, sesetengah majlis perkahwinan 'sungguh dahsyat sekali' dari segi mempamerkan kemewahan - hiasan khemah, dekrorasi pelamin dan kelengkapan serba-serbinya menggambarkan status, kemewahan dan cita rasa tinggi yang mungkin tak termimpikan oleh orang dulu-dulu.
Sebenarnya saya ini 'jenis manusia' tidak ambil endah atau 'pusing' akan hiasan-hiasan seumpama ini tetapi suatu hari 'entah bagaimana' kaki saya 'terlangkah' ke dalam rumah pengantin perempuan di ruang yang menempatkan pelamin.
Waduh, kaki saya terpijak karpet berbulu lembut...sungguh saya sangka ruangan itu berkarpet bulu dari dinding ke dinding di seluruh ruang itu...kemudian mata saya bergerak ke siling...kelihatan bergantungan kain-kain 'lembut dan halus' yang tak tahu saya nak sebutkan 'apa bendanya' - mungkin si 'wedding planner' (perunding perkahwinan) dapat menjelaskannya.
Mata ini kemudian 'melirik' ke pelamin...uhhh sungguh indah sekali hiasan set pelamin berwarna putih 'peach' dengan gubahan kain 'background' yang mempersona ditambah dengan puluhan atau mungkin ratusan jambangan bunga hidup...aduh...bagaikan di 'syurga' rasa diri ini 'tercampak'.
Saya tak tahu kos sebenar hiasan dan dekrorasi 'pelaminan sebegini' tetapi mendengar kata-kata yang tersebar, tak kurang RM10,000...'waduh'...banyaknya duit! Ini baru hiasan ruang pelamin, bagaimana perbelanjaan lain seperti makanan, sewa khemah yang sekarang ini kebanyakannya 'beropol-ropol' dengan kain hiasan. Ada pintu gerbang penuh hiasan, malah kerusi pun dipakaikan 'cover', terdengar di telinga ini satu penutup kain kerusi cajnya RM5...kalau 1,000 kerusi tidakkah RM5,000?
Demikianlah sekarang ini kebanyakan kita ditimpa bahana kemewahan; kalau ini berlaku di kalangan orang yang betul-betul 'berada' taklah nampak buruk sangat tetapi bagaimana pula di kalangan orang kurang berada tetapi berpegang kepada konsep 'bior pape asal bergaye'...Dia akan berhutang dan terus berhutang, hatta pemimpin pun ada yang berhutang dan sanggup 'songlap' duit berjuta-juta ringgit kerana dia dan isteri nak hidup mewah...
Kalau keluarga seorang pengantin perempuan 'berhabis' RM50,000 untuk majlis perkahwinan anak mereka, bayangkan berapa wang hantaran dimintanya daripada pihak pengantin lelaki. Jika inilah keadaannya, 'banyaklah' anak muda lelaki akan merana...maka benarlah lirik lagu yang saya dengar pada satu majlis perkahwinan, antara lain berbunyi...aku nak kahwin tapi duit tak ada...
Berhubung hidup bermewah, cuba mempamer kemewahan atau berlagak hidup mewah ini, saya teringatkah sebuah syarahan seorang ustaz mengenai bahaya amalan ini. Dalam sebuah hadis, daripada Ali bin Abi Thalib r.a. dia berkata: "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.
"Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Makkah).
"Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?"
"Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada pada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki."
"Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu." [H.R. Termizi]
Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad s.a.w. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus (seperti yang kita nikmati sekarang ini). Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad s.a.w. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ia sudah mencukupi tetapi, apabila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan.
Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.: "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)."
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.
Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.
Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.
Bersyukurlah kita ke hadrat Ilahi, kita dipanjangkan usia untuk berada dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan ini, tetapi mengapa selepas 'menghempas-pulas' menjalani ibadah seperti berpuasa dalam Ramadan, sekarang ini beraya 'macam nak gila'; demikian juga menghamburkan segala harta benda untuk meraikan majlis menyambut menantu (kahwin).
Sebuah pertubuhan pengguna tidak lama dulu mengkritik majlis perkahwinan besar-besaran dan melampau dalam mempamerkan kemewahan yang dakwanya menyumbang ke arah penyuburan nilai-niai negatif, antaranya pembaziran dan menyalahi hukum agama termasuklah menimbulkan sikap riak, sombong, dan menunjuk-nunjuk.
Ia menyarankan kesederhanaan sebagai jalan terbaik; jadi kepada semua janganlah melampau dalam mempamerkan kemewahan dalam apa juga situasi kehidupan termasuk dalam menganjurkan majlis perkahwinan.
No comments:
Post a Comment