DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
Zulkaedah 1
Musim haji dan masjid...
MASA berlalu begitu pantas. Kini kita berada dalam bulan Zulkaedah. Musim haji tiba lagi, persoalannya, bagaimana ibadah haji tahun ini ketika dunia diselubungi masalah akibat COVID-19?
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 dinyatakan masa untuk mengerjakan ibadat haji adalah beberapa bulan yang termaklum (dari 1 Syawal, Zulkaedah hingga sebelum terbit fajar pagi hari ke-10 Zulhijah).
Amat-amatilah, umat Islam dan masjid amat berkait rapat. Pada musim haji, jemaah bertumpu ke dua masjid agung iaitu Masjidilharam dan Masjid Nabawi.
Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, kenangan jemaah bergegas dan berpusu-pusu menyertai solat waktu di Masjidilharam dan Masjid Nabawi pasti sukar dilupakan.
Pernah saya saksikan sejurus sebelum subuh, seorang jemaah wanita berkulit hitam (agak saya orang Afrika) yang tersungkur di atas jalan ketika bergesa-gesa ke Masjid Nabawi, dapat bangun dengan segera untuk ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah.
Demikian juga kenangan ke masjid pertama didirikan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Masjid Quba’ pasti sentiasa dalam ingatan. Berkenaan masjid ini, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”
Sewajarnyalah kebiasaan jemaah haji bergegas ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk solat waktu berjemaah dilanjutkan ketika berada di tanah air. Ini kerana ada banyak kelebihan jika seseorang dapat solat berjemaah di masjid termasuk bersegera ke sana.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya; “Jika sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya kelebihan datang awal ke masjid untuk solat fardu berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.”
Apa diharapkan keghairahan ke masjid ini dapat dikekalkan insan bergelar haji. Mereka perlu mengekalkan momentum segera ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah pada setiap waktu. Malah ada ganjaran istimewa menanti seorang ‘kaki masjid’ sehingga ada sebuah hadis Rasululullah s.a.w. menyebut mereka adalah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat nanti.
Alhamdulillah, masjid-masjid di negara kita cukup ‘gah’ (besar), indah dan mempunyai nama yang indah pula. Ada dinamakan mengikut nama sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Masjid Abu Bakar As-Sidiq, Masjid Uthman Ibn Affan, Masjid Abu Ubaidullah Al-Jarrah dan Masjid Amru Al As, tak kurang juga dinamakan berdasarkan unsur kebaikan dalam bahasa Arab seperti Masjid An-Nur, Masjid Al-Hidayah dan Masjid At-Takwa.
Namun apa yang menyedihkan, jemaah pada solat waktu di sesetengah masjid negara kita kurang memberangsangkan. Untuk jemaah memenuhi tiga saf di depan pun agak sukar. Perkembangan ini ternyata mendukacitakan, lebih malang lagi ada penduduk sesebuah kariah yang sudah bergelar haji pun agak berat untuk ke masjid.
Seorang ustaz dalam ceramahnya yang saya ikuti, memberitahu pada zaman umat Islam diperlekeh oleh musuhnya termasuk sikap ditunjukkan Presiden Amerika, Donald Trump; mereka perlu mempamerkan kekuatan dan kesatuan – salah satu caranya dengan beramai-ramai ke masjid bagi menunaikan solat waktu secara berjemaah.
Menurutnya jika jemaah solat subuh adalah seramai jemaah solat Jumaat, itu salah satu petanda kebangkitan ummah. Sekalipun hal ini belum berlaku di tanah air kita, menurut seorang kawan saya yang menyertai jemaah tabligh yang bergerak ke seluruh pelosok dunia, umat Islam di negara minoriti Islam seperti Sri Lanka sudah melakukannya.
Oleh itu, marilah kita, terutama ‘pak haji’ dan ‘abang haji yang dikasihi’ beramai-ramai memakmurkan masjid-masjid kita. Jangan biarkan pada masjid kita, tiangnya lebih banyak daripada jemaah!
No comments:
Post a Comment