Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
Zulkaedah 3
Tunai haji 2070...
SEKALIPUN bakal jemaah haji Malaysia tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini, adalah penting untuk memuzakarahkan perkara berkaitan haji. Syawal adalah bulan permulaan haji. Bulan berikutnya adalah Zulkaedah seterusnya Zulhijah yang merupakan bulan kemuncak haji.
Jemaah haji berhimpun bagi berwukuf (rukun paling penting dalam ibadat haji) di Arafah pada tanggal 9 Zulhijah seterusnya bermalam di Mina dan melontar batu di jamrah pada tanggal 10 (Hari Raya HajI), 11, 12 dan 13 Zulhijah (hari-hari Tasyrik).
Galakan menunaikan haji pada usia muda amat membanggakan, alhamdulillah sekarang ini begitu ramai 'orang muda' menunaikan haji sedangkan dulu haji adalah sinonim dengan orang tua termasuk yang sudah pencen.
Bagi diri saya, rangsangan mengalakkan orang muda menunaikan Rukun Islam kelima ini datang selepas saya melihat pada badan sebuah bas jemaah Indonesia di Mina ketika saya menunaikan haji pada 2002 ditulis: "Saudaraku jemaah haji, kami berharap anda memberi kesempatan untuk selain anda supaya bisa (dapat) melaksanakan syariah haji."
Kata-kata perangsang ini amat bermakna bagi menyuntik semangat orang ramai termasuk golongan muda agar merancang pemergian mereka ke Tanah Suci.
Umat Islam tidak boleh lalai dalam menyedia serta menyiapkan diri serta bekalan untuk ke Tanah Suci. Salah satu keperluannya adalah dari segi kewangan, oleh itu saya mengesyorkan agar anak muda mula menyimpan sejumlah wang secara tetap misalnya RM100 setiap bulan apabila sudah bekerja.
Insya-Allah jika dilakukan pada usia 23 tahun (selepas bekerja apabila tamat pengajian universiti dengan ijazah pertama) dengan membuka akaun di Tabung Haji (ramai generasi muda sudah ada akuan sejak kanak-kanak kerana ada kesedaran di kalangan ibu bapa) seterusnya memuat pendaftaran menunaikan haji dengan jumlah simpanan minuman RM1,300; insya-Allah dalam tempoh 10-15 tahun (jika menyimpan RM100 sebulan) kita sudah ada cukup wang untuk menunaikan haji pada usia 30-an dan 40-an..
Namun perlu diingat, tahun pemergian ke Tanah Suci adalah berdasarkan giliran selepas kita membuat pendaftaran haji di Tabung Haji. Seorang anak yang saya daftarkan namanya pada tahun 2014 sebagai hadiah keputusan SPM-nya yang baik, diberi giliran menunaikan haji pada 2070...masya-Allah.
No comments:
Post a Comment