Friday, June 12, 2020

Syawal 20: Alhamdulillah dapat solat Jumaat lagi...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)

Syawal 20

Alhamdulillah dapat solat Jumaat lagi...

KHAMIS 11 Jun bersamaan 19 Syawal, umat Islam yang prihatin, menunggu-nunggu pengumuman menteri sama ada mereka dapat solat Jumaat keesokan hari ini. Saya anak beranak sabar menunggu tanpa sebarang tanda perkhabaran.

Bukan saja Khamis tiada berita, pagi Jumaat pun sama. Rutin biasa diteruskan...tup-tup jam 12.30 tengah hari, seorang AJK masjid datang ke rumah dengan motosikalnya. 

Dia membunyikan hon, tinnn, tinnnnn, tinnnnnnn... lantas membawa perkhabaran gembira. Semua lelaki boleh pergi masjid solat Jumaat. 

Masa sudah terlalu singkat, saya memberitahu bapa yang tinggal di rumah sebelah...dalam dia termanggu-manggu dengan bertanya ye ke, ye ke, jam sudah pantas menunjukkan jam 12.45 tengah hari.

Hampir jam 12.50 tengah hati baru bertolak dari rumah. Tiga generasi menaiki kereta Iriz oren ke masjid...saya, bapa saya yang berusia lebih 80 tahun dan seorang anak berusia 22 tahun. Alhamdulillah semua dapat masuk masjid selepas bacaan suhu diambil, nama dan nombor telefon dicatatkan dalam buku dan membersihkan tangan dengan sanitizer.

Semua berlalu dengan pantas...jam 1.13 alunan azan, solat sunat, khatib naik ke mimbar, azan kedua, khutbah, doa dan solat - jam 1.45 petang semua sudah beres - jemaah meninggalkan masjid.

Isi khutbah menyeru umat Islam bersabar kerana mereka akan diuji seperti wabak Covid-19 sekarang ini. Allah tidak akan membiarkan manusia begitu saja, setiap orang dan umat akan diuji.

Alhamdulillah jika pertama kali menunaikan solat Jumaat minggu lalu, jemaahnya lebih kurang 40 orang, kali ini saya anggarkan kira-kira 200 orang berpandukan catatan pada buku kehadiran. 

Berdoalah pada Jumaat berikutnya jemaah akan meningkat dan terus meningkat...semoga kita sentiasa dalam perlindungan-Nya. AMIN

ARTIKEL SEMINGGU LALU

Syawal 13

Syukur, dapat solat Jumaat

TENGAH hari ini tanggal 13 Syawal 1441 Hijrah bersamaan 5 Jun 2020, alhamdulillah, saya diizinkan-Nya untuk solat Jumaat di masjid. Bersyukurlah selepas hampir tiga bulan tak dapat solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid, akhirnya dapat menjejakkan kaki di rumah Allah yang mulia.

Masuk saja masjid, apa yang dapat dilakukan selain solat tahiyatul masjid dan kemudian sujud syukur...air mata berlinangan, menangis teresak-esak tetapi siapa tahu selain DIA kerana semua berjemaah berpelitup muka.

Di sini dikisahkan 'perkara' ini hanya sebagai iktibar supaya kita sentiasa ingat bahawa nikmat Allah SWT itu hanya dapat dirasakan kebanyakan manusia apabila nikmat itu ditarik...dahulu sebahagian besar daripada kita tak peduli peluang Allah SWT berikan kepada kita; sekarang nak pergi ke masjid terasa amat susah...

Sebenarnya sejak  Selasa lalu (2 Jun), seorang AJK masjid telah datang ke rumah saya, beri borang untuk diisi jika saya bersetuju ke masjid untuk solat Jumaat pada 5 Jun. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal atau bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya cepat-cepat bersetuju.

Jadi saya termasuklah dalam senarai 40 jemaah. Jam 12.45 tengah hari seperti dinyatakan dalam borang, saya sampai ke masjid. Suhu badan diambil oleh noja kemudian seorang AJK masjid memberi tanda pada nama saya dalam senarai.

Menaiki tangga masjid, saya macam VIP pula, disambut oleh seorang lagi AJK masjid yang mengiringi saya ke tempat saya. Beliau menyuruh saya meletakkan sejadah yang dibawa dari rumah pada satu tanda di atas saf. Jarak sesama jemaah adalah dalam linkungan satu meter.

Saya perhatikan ada lima jemaah pada satu saf. Semua jemaah yang kebanyakannya tunduk khusyuk memakai pelitup muka, jadi sukarlah saya mengenali mereka. Jam 1.12 tengah hari bilal pun azan, kemudian selepas solat sunat, imam naik ke mimbar, selepas bilal azan kali kedua, imam pun menyampaikan khutbah.

Isinya mengingatkan umat Islam agar terus istiqamah dalam beribadat, yalah dulu 'sudah pulun habis-habis' dalam bulan Ramadan (ini bab hubungan manusia dengan Allah), sekarang teruskan...jangan leka termasuk membuat dosa baharu seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya (ini hubungan sesama manusia).

Khutbah ringkas dan padat...10 minit saja sudah habis. Pada akhir khutbah, ada doa...doa untuk pemimpin ada seperti biasalah, terdengar di telinga ini nama Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong disebut selepas itu disebut  nama Yang Dipertua Negeri Melaka,Tan Sri Dr Mohd Ali Rustam...ya 'orang kampungku' (asal Bukit Katil, sekolah rendah di SK Semabok, menengah di Sekolah Tinggi Melaka) menjadi Gabenor Melaka mulai Jumaat ini. Tahniah!

No comments: