Renungan
"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')
Syawal 17
Apa dilihat tidak selalu benar
Betapa dalam hidup, kerap kita tersilap dalam membuat perhitungan. Ada kala mata kita menipu kita. Wikipedia ada mencatatkan hal ini.
Illusi Muller-Lyer adalah merupakan permainan visual kesan daripada persepsi. Persepsi pula wujud apabila berlaku rangsangan berterusan. Contohnya, garisan(←→) kelihatan lebih panjang daripada garisan (—) walaupun hakikatnya ukuran kedua-dua garisan adalah sama.
Persepsi bahawa garisan (←→) lebih panjang adalah kerana gangguan tanda sayap (bentuk anak panah) pada hujung garisan. Persepsi itu wujud kerana rangsangan berterusan yang kita terima bahawa (bentuk anak panah)yang menjulur keluar menunjukkan jarak (jauh).
Apa yang kita lihat dan alami tidak selalu benar. Kadang-kadang ia menipu diri kita sendiri. Oleh itu kita perlu berhati-hati dalam hidup termasuk dalam alam rumah tangga dan kerjaya. Belajarlah melihat dan mendengar sesuatu dengan hati, bukan hanya akal. Betapa banyak rumah tangga musnah kerana hal ini.
Ada seorang petani yang isterinya baru melahirkan seorang anak. Setiap hari si suami ke kebun sedangkan isteri menguruskan hal rumah tangga termasuk menjaga bayi.
Suatu hari kedua-dua suami isteri terpaksa ke kebun dan membiarkan si anak dalam jagaan sang cerpelai.
Sepeninggalan mereka seekor ular tedung yang besar telah masuk ke rumah mereka, menghampiri bayi di dalam buaian. Sang cerpelai telah membunuh ular. Mulut dan badannya berlumuran darah.
Ketika suami isteri itu bergegas balik, mereka ternampak sang cerpelai yang berlumuran darah 'menyambut' mereka. Menyangka cerpelai sudah membaham anak mereka, sang petani yang tanpa periksa, membunuhnya.
Apabila naik ke rumah mereka mendapati bayi mereka masih nyenyak dalam buaian manakala di sisinya bangkai seekor ular besar.
Menyesal tak sudahlah si petani kerana bertindak terburu nafsu...apa yang dilihatnya (cerpelai berlumuran darah) ditafsirkannya si cerpelai sudah membunuh anaknya adalah tidak benar!
No comments:
Post a Comment