Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
Syawal 24
Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān
MAAF kerana terlewat sikit dalam mem-'posting' artikel ini. Ini kerana pada jam 12.45 tengah hari bekalan elektrik ke rumah saya dan kawasan persekitaran terputus (black out). Maka berpanas dan berpeluh-peluhlah kami kerana kipas, penghawa dingin semuanya tidak berfungsi.
Seorang cucu saya yang masih bayi balik dari Segamat bersama ibu ayahnya, asyik menangis saja - yalah dia kepanasan. Kita 'orang tua' ini yang panas dan lecon baju, berkeluh-kesah apatah lagi bayi yang tak mengerti itu.
Kita sebagai 'orang tua' yang tak mahu mengerti hal ini...susahlah. Hidup mesti sabar...kita mesti mengerti akan nikmat-nikmat Allah yang terlalu banyak kepada kita (seperti bekalan elektrik) dan apabila nikmat itu ditarik walaupun sedikit, kita sudah jadi tak tentu arah.
Jadi sebelum nikmat-Nya ditarik balik, insaflah. Hakikatnya manusia akan hilang apa dia nikmati. Kebanyakan orang tidak menyedari nikmat dicurahi Illahi yang dianggap biasa seperti kemampuan bercakap, melihat dan berjalan sehingga ia ditarik balik. Manusia menang tidak menginsafinya sehinggalah ‘mulut mereka dipenuhi tanah’ (maksudnya sudah berada dalam kubur). Sesudah mati barulah diketahui nikmat hidup.
Seorang ustaz dalam kuliah mingguannya di masjid berhampiran rumah penulis ketika membentangkan permasalahan nikmat ini menarik perhatian penulis. Katanya, nikmat itu hanya dapat dirasai apabila berlaku perkara bertentangan; misalnya nikmat sihat dirasai apabila seseorang itu sakit; nikmat berjalan selepas kaki tiada; nikmat kaya selepas jatuh miskin; dan nikmat berkeluarga selepas bercerai-berai.
Ustaz itu berkata nikmat Allah SWT tersangat banyak, tidak terhitung manusia. Beliau membawa kisah seorang lelaki bani Israil yang beribadat ratusan tahun, kemudian mendakwa dia memasuki syurga kerana banyaknya amalannya. Allah memerintahkan ditimbang amalan dia dengan nikmat sebelah matanya; ternyata timbangan mata itu lebih berat menyebabkan dia dilemparkan ke dalam neraka.
Seorang Muslim perlu menyedari nikmat terbesar Allah SWT kepadanya adalah Islam, iman dan tergolong umat Nabi Muhammad s.a.w. Kata ustaz tidak guna menjadi kaya atau berkuasa tetapi tidak termasuk tiga kategori ini. Katanya, umat Nabi Muhammad s.a.w. sangat beruntung kerana nabi-nabi pun mahu menjadi umat rasul akhir zaman tetapi tidak terlaksana.
Bersyukurlah kepada-Nya...belajarlah untuk merasai nikmat itu. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān yang bermaksud; maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...
Allah SWT mengulangi ayat ini sebanyak 31 kali, tetapi ramai manusia tak mengerti. Siang malam asyik bekerja. Mengejar dunia. Tak ingat Tuhan.
Ingatan keras ustaz dalam tazkirahnya boleh dijadikan ingatan dan panduan dalam kehidupan. Katanya: "Sungguh, terlalu banyak nikmat Allah SWT sudah kita nikmati: yang belum kita rasai hanya MASUK KUBUR, oleh itu bersiap sedialah!" Fa bi ayyi ālā'i Rabbikumā tukażżibān (maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan...)
No comments:
Post a Comment