Dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur.” (Maksud Ayat 185 Surah Al-Baqarah)
Syawal 14
Si hidung belang
BEBERAPA hari lalu seekor kucing betina yang hidup berteduh di luar rumah saya, beranak. Mungkin kucing ini beranak buat pertama kali (sebelum ini anak dara, heh, heh); jadi ia tidak tahu menjaga anaknya, sebanyak dua ekor.
Anak pertama berwarna hitam saya jumpa di luar muka pintu dapur. Mula-mula saya ingat anak kucing itu bangkai seekor tikus - maklumlah menjadi kebiasaan kucing-kucing di persekitaran rumah saya, membawa pulang hasil buruan. Kucing-kucing itu nak 'eksyen' kat tuannya kononnya mereka pandai berburu.
Anak kedua saya jumpa dalam kolah bilik air di luar rumah. Saya tak sedar kehadiran anak kucing berwarna kuning itu. Pagi itu saya jirus segayung air dalam kolah tak digunakan itu menyebabkan anak kucing itu terjirus sama dan tersekat di lubang kolah dengan kepalanya tersumbut ke dalam lubang.
Cepat-cepat saya tarik anak kucing itu. Saya ingat ia sudah mati, rupanya masih hidup. Kedua-dua anak kucing itu dimasukkan dalam sebuah kotak dan diletakkan dalam kolah itu. Di lantai kotak itu diletakkan kain buruk, agar anak-anak kucing itu dapat berpanasan.
Saya tangkap si ibu kucing dan masukkannya dalam kotak itu. Subhanallah, ibu kucing muda itu tidak berlagak macam seorang ibu. Saya baringkannya, kangkangkannya sikit supaya teteknya dapat dicapai 'bayinya'. Punyalah susah. Saya suakan mulut 'baby' pada puting. Si mak kucing buat 'donno' saja. Sebaliknya ia pandang dan 'stare' mata saya. Hai kucing ni, beranak pandai, jaga anak tak pandai!
Hari ini, 14 Syawal, saya melihat kedua-dua anak kucing semakin sihat dan berisi badannya. Mata masih belum 'pecah' - kerjanya asyik tidur, tidur, tidur. Apa yang saya suka lihat, kedua-dua adik beradik - si hitam dan kuning ini asyik berpeluk-pelukan dan bergumpal saja. Indah pemandangan itu, ikatan adik beradik kucing semasa 'baby' tersangat hebat. Sungguh hebat ciptaan Illahi. 'Bonding' sesama adik beradik kuat, mungkin ini antara faktor yang memungkinkan anak kucing itu terus hidup.
Berpeluk-peluk mendatangkan suasana hangat, bergumpal-gumpal mungkin menjadi aktiviti membina tenaga dan kekuatan, insya-Allah hari demi hari, kucing-kucing ini akan membesar menjadi kucing-kucing yang hebat dan gagah perkasa.
Malangnya, kucing semasa 'baby' saja kuat ikatannya, sudah besar kalau kedua-duanya jantan, mereka akan menjadi seteru (musuh) yang amat nyata. Asyik nak gaduh dan nak tunjuk kejantanan saja. Melaram sana, melaram sini, apabila kencing pancut sana pancut sini - mereka tidak lagi berpeluk-pelukan seperti macam 'baby' dulu tetapi BERCAKARAN - MENGIAU sana, MELOLONG sini.
Sebagai manusia, adakah kita mahu meniru perangai kucing ini. Masa kecil, 'bonding' adik beradik kita sangat 'ngam' - peluk memeluk, bergurau senda, makan bersama, ejek mengejek sebagai aktiviti usik mengusik tetapi apabila sudah besar asyik nak bergaduh saja, hatta harta orang tua sekangkang kera menjadi rebutan sehingga sanggup bertikam bukan saja lidah tetapi ''keris'! Tak malukah kita kalau nanti digelar SI BELANG, SI TAHI KUCING, SI HIDUNG BELANG, SI ALIM-ALIM KUCING dan sebagainya...
ARTIKEL IRINGAN (lama)
RAMADAN yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan api neraka itu akhirnya meninggalkan kita. Sedih mengenangkan pemergian Ramadan, dikesempatan ini diucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, semoga Allah SWT memberkati kita semua. Amin.
Persoalannya, bagaimanakah Ramadan kita? Bagaimana pencapaian kita sebagai graduan Universiti Ramadan yang mesti dilalui setiap tahun oleh setiap Muslim yang cukup syaratnya?
Sebahagian kita mungkin sudah menjadi graduan Universiti Ramadan 20, 30, 40 atau 50 kali; kali ini tanyalah hati kita, adakah kita seronok Ramadan ini berakhir bagi membolehkan kita berhari raya atau kita terharu dan sedih kerana bulan penuh keberkatan itu sudah pergi sedangkan pada tahun depan belum ada ketentuan kita akan menjadi siswa-siswi Universiti Ramadan sekali lagi.
Tiga puluh atau 40 tahun lalu, saya seronok Ramadan pergi kerana dapat berhari raya. Ya, hari raya adalah kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang muda. Pada permulaan celoteh kali ini izinkan saya menyorot ke zaman itu; zaman jahiliah yang malangnya turut 'dikongsi' sesetengah orang dewasa.
Kegembiraan hari raya kanak-kanak pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an adalah hal berkaitan duit, makan dan sedikit hiburan tidak seperti generasi baru sekarang yang asyik mahsyuk dengan tablet masing-masing. Dari segi duit, zaman kecil saya tidaklah mewah. Dapat 10 sen ketika berkunjung ke rumah orang pun sudah dikira cukup baik.
Dari segi makanan, sekarang baru saya terfikir mengapa orang dulu taksub menyediakan juadah yang 'macam setengah mati' memasaknya seperti dodol sehingga ada yang meninggalkan puasa dan pada malam harinya tak pergi ke surau atau masjid untuk solat waktu dan tarawih. Letih memasak dodol tak terkira kerana tempohnya terlalu lama, mungkin lima atau enam jam.
Bagi sesetengah remaja dan anak muda, hari raya dinanti-nanti kerana boleh menziarahi rumah anak dara yang berkenaan di hati kerana "pada hari raya rumah terbuka dan tiada orang suka untuk marah-marah." Pengalaman saya dan beberapa kawan, pernah melawat ke rumah seorang anak dara jam 12.00 tengah malam, dan "betul, bapaknya tak marah pun!"
Dari segi hiburan, apa yang mengasyikan, adalah bermain 'bom' (seperti meriam buluh, mercun, bunga api) dan terbabit dalam 'peperangan menembak roket' sesama kawan-kawan. Ya apa faedah melakukan perkara-perkara lara ini pada malam-malam bulan Ramadan yang mulia?
Sekarang apabila memasuki 'usia tua', barulah saya tahu bahawa diri ini sudah terlalu banyak membuang masa pada perkara-perkara tidak berfaedah ketika berada di bulan barakah Ramadan dan juga bulan mulia Aidilfitri.
Terasa mahu memutar balik jarum jam supaya saya kembali ke zaman bujang yang penuh 'kesia-siaan' itu bagi menukar haluan hidup. Namun itu tidak mungkin, jadi usia yang berbaki ini (saya ada berbaki kira-kira 10 kali lagi memasuki Universiti Ramadan jika saya mati mengikut usia Rasulullah s.a.w.) saya cuba-cuba membaiki diri yang selama ini sudah tersasar jauh daripada kehendak agama dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Namun, saya tidak salahkan diri saya sepenuhnya, punca saya jadi begitu; sebahagiannya disebabkan pembawaan dan contoh tidak betul oleh anggota masyarakat termasuklah pemimpin kita.
Jika orang dulu dengan 'kesesatan mereka' apa kurang dengan orang Melayu sekarang. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya.
Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT, tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan.
Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini.
Malang sungguh, mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, sebaliknya meminta orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita tujuh likur, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul termasuklah rancangan hiburan di TV.
Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad. Apatah lagi sekarang generasi baru gila gadjet elektronik, tanpa mempedulikan persekitaran mereka.
Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya!
Pada hari-hari terakhir Ramadan ini terutama pada malamnya teruskanlah amalan mulia seperti solat tarawih dan qiyam, bersedekah, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir, berisytifar, bertakfakur tetapi elakkan kerja-kerja lara seperti melepak-lepak di bazar Ramadan, bergaduh, memutuskan silaraturahim apatah lagi melakukan syirik bagi membolehkan kita mendapat Lailaturqadar-Nya, insya-Allah. Akhir sekali Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada LanH.
No comments:
Post a Comment