DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (QS. Fushilat: 33)
Zulkaedah 7
Warga Selangor rindu masjid...
HUJUNG minggu (27-28 Jun) saya menghantar seorang anak balik ke kampus universitinya di Selangor. Peluang itu saya manfaatkan, yalah selepas tiga bulan tak berjalan jauh, menziarahi seorang sahabat di Gombak.
Tentunya, antara cerita utama 'orang veteran' (KRU = kumpulan rambut uban atau RTM = rehat tunggu mati) macam kami adalah berkaitan masjid. Saya sungguh bersimpati kepadanya apabila beliau memberitahu dia masih tak dapat solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Usianya sudah lebih 75 tahun, jadi semangat untuk ke masjid berkobar-kobar kerana memikirkan kalau kena tunggu lama-lama; dikhuatiri kesihatannya merosot manakala hayat pula pada bila-bila masa diambil Allah SWT.
Saya pula, Alhamdulillah sudah dapat menunaikan solat Jumaat empat kali, terakhirnya pada 26 Jun lalu. Sekali lagi, Alhamdulillah, bersyukur saya kerana di negeri kami, selain solat Jumaat, jemaah juga boleh solat lima waktu secara berjemaah.
Rakan saya memberitahu, selain solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu pun masjid belum lagi dbuka kepada orang ramai.
Marilah kita berdoa bersungguh-sungguh agar wabak penyakit ini diangkat oleh Allah SWT, dan salah satu natijahnya dapatlah sahabat veteran saya melepaskan rindunya untuk kembali beribadat di rumah Allah. Amin
ARTIKEL IRINGAN (lama)
Haji medan terbaik muhasabah diri
Bersyukur ke hadrat Allah SWT, seramai kira-kira 22,000 jemaah haji kita kini berbondong-bondong ke Tanah Suci bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima, menyertai lebih dua juta jemaah lain dari seluruh pelosok dunia. ************************** Kita ucapkan tahniah kepada mereka yang menjadi insan terpilih sebagai tetamu Allah dan didoakan kepada mereka mendapat haji mabrur yang balasannya tiada lain hanya syurga. Insya-Allah. ********************** Dalam kesempatan ini, kita ingin mengingatkan diri kita dan sekian umat Islam terutama jemaah haji supaya istiqamah dalam perjuangan untuk hidup sebagai seorang Muslim dan mati juga sebagai seorang Muslim. Sehubungan itu semua tata hidup kita termasuk berpolitik perlulah berpandukan apa yang diajarkan dan ditunjuki oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. **************************** Antara nikmat Allah yang agung adalah Dia telah menjadikan kita sebagai bahagian daripada umat manusia terbaik, Nabi Muhammad s.a.w. iaitu dengan menjadikan Islam sebagai agama kita; "Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi." (QS. Ali Imran: 85) ************************** Junjunglah al-Quran sebagai undang-undang kita, "Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus." (QS. Al-Isra': 9) ************************ Muhammad s.a.w. sebagai nabi kita, "Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung." (QS. Al-Qalam: 4) ************************* Dan Kaabah sebagai kiblat kita, "Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya." (QS. Al-Baqarah: 144) *********************** Hal ini mengharuskan kita bersyukur kepada Allah, Zat yang Maha Tinggi. Insya-Allah jemaah yang ke Tanah Suci akan kembali; ini beberapa nasihat kepada haji dan hajah, semoga hal ini bermanfaat bagi kita semua: ************************ 1. Syukur kepada Allah Taala kerana kita telah berhasil menyelesaikan kewajiban yang agung dan penuh barakah ini. "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku (Allah) akan menambah (nikmat) kepadamu." (QS. Ibrahim: 7) ************************ 2. Hendaknya haji menjadi titik tolak perubahan dalam hidup kita. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (QS. Ar-Ra'du: 11) ************************** 3. Banyak orang pulang haji dengan membawa hidayah, yang paling pokok adalah kita pulang haji dengan membawa hidayah. "Tunjukilah kami jalan yang lurus." (QS. Al-Fatihah: 7) *************************** 4. Kita baru saja meninggalkan pendidikan dan pelatihan iman dan amal, kewajipan kita melanjutkan apa yang sudah kita pelajari. "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS. Al-'Ashr: 1-3) *********************** 5. Jangan lupakan, "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." (QS. Al-Hujurat: 10) *********************** 6. Betapa seringnya engkau angkat tanganmu berdoa kepada Allah pada hari-hari yang baik itu, maka jangan engkau hentikan, "doa adalah ibadah." (HR. Abu Dawud, Nasai, Ibnu Maja dan dishahihkan oleh at-Tirmidzi) ************************* 7. Jadikan seluruh hidupmu sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. dan bersungguh-sungguhlah untuk mengamalkannya. "...Tidaklah hambaku senantiasa mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amal-amal sunnah hingga Aku mencintainya..." (HR. Bukhari) *********************** 8. Engkau telah kembali dengan membawa prasangka baik kepada Allah. Dosa-dosamu juga telah terlebur. Keadaanmu laksana bayi yang baru dilahirkan oleh seorang ibu. Maka janganlah engkau padamkan cahaya di hatimu dengan lumpur dosa. ************************ 9. Boleh jadi engkau juga telah berjanji kepada Allah untuk bertaubat (meninggalkan dosa), maka jangan engkau ulangi lagi. "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami..." (QS. Ali Imran: 8) ************************** 10. Saranan yang utama untuk meneguhkan keistiqamahanmu adalah dengan melaksanakan dakwah (mengajak manusia) kepada Allah. "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (QS. Fushilat: 33) *************************** Saudaraku, para hujjaj, setelah pulang haji tanyakan pada dirimu, apakah engkau masih merasakan letih dan lelah? Pasti kamu akan menjawab, "tidak." Begitulah hidup di dunia, kita merasa lelah kerana Allah, kemudian kita akan bersantai dan bersenang-senang untuk selama-lamanya di syurga yang tinggi, yang tak akan pernah terdengar perkataan sia-sia di dalamnya. ******************** Kepada Allah-lah kita memohon kebaikan dan kurnia-Nya; semoga dengan bergelarnya kita sebagai haji dan hajah dapatlah kita berperanan sebagai seorang Muslim yang beriman dan beramal dalam semua bidang kehidupan termasuk dalam berpolitik. ************************* Berpolitiklah mengikut Islam; berdasarkan apa yang ditunjuki oleh Allah dan Rasul-Nya Muhammad s.a.w. Insya-Allah, kita akan selamat dunia dan akhirat sebagaimana doa yang selalu dititipkan oleh jemaah haji ketika bertawaf di sisi Kaabah - Rabbana atina fid-dunya hasanatan wa fil 'akhirati hasanatan waqina 'adhaban-nar - yang bererti: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.... Amin
No comments:
Post a Comment