DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Syawal 25
Minum 'air lalat'
TENGAH hari ini direzekikan Allah SWT saya menunaikan salah satu daripada hadis Rasulullah s.a.w. Sedang 'syok' makan, seekor lalat terbang menjunam memasuki air minuman saya - segelas ais kosong. Air masak, kata orang Melaka.
Lalat itu masih hidup, menggelepar di atas permukaan air itu. Saya berkira-kira nak buang air itu. Aiii lalat ini, kacau 'stim' betul. Orang tengah syok menikmati makan tengah hari, dia buat hal. Siapa nak minum air yang sudah dimasuki lalat. Eeeee.
Namun, pada detik itu juga saya teringat sebuah hadis, atau lebih tepat lagi Allah mengingatkan saya sebuah hadis...seorang cendekiawan mencatatkan: Selain mengajarkan etika dalam menjalani hidup. Rasulullah s.a.w. pun pernah mengatakan sesuatu yang ada hubungannya dengan sains dan perubatan.
Salah satunya hadis tentang lalat yang masuk ke dalam minuman. Apabila ada seekor lalat yang masuk ke dalam minuman, Rasulullah s.a.w. menganjurkan untuk menyelupkan lalat itu seluruhnya ke dalam minuman, lalu setelah itu lalatnya dibuang, dan kita boleh melanjutkan menikmati minuman itu. Sebab keadannya kembali bersih daripada kuman penyakiti.
Datang ilham kepada saya daripada Allah SWT untuk mempraktikkan hadis Rasulullah s.a.w. Saya pun merendamkan seluruh lalat itu, selepas itu membuang lalat yang masih hidup itu lantas berdoa selepas membaca Surah Al-Fatihah dengan penuh khusyuk: "Ya, Allah, aku mahu mengikuti hadis Rasul-Mu, Kau selamatkan daku daripada api neraka-Mu, dan sembuhkan segala penyakit pada tubuhku...lantas saya minum air itu, setegok demi setegok sampai habis...
Ya, saya telah berusaha membuang segaja kejijikan yang bersarang di hati hanya untuk taat kepada Mu dan Rasul-Mu, ya Allah, oleh itu tolonglah hamba-Mu yang daif ini, yang dalam tubuh ini bersarang penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya apatah lagi penyakit rohani seperti sakit hati, riak, takkabur, sombong, ujub dan sebagainya. Ya, Allah Kau tolonglah hamba-Mu ini...Amin
ARTIKEL IRINGAN
Ikhlas pencetus barakah dalam kehidupan (artikel lama)
PENULIS bukanlah dikenali ramai. Mungkin nama pena LanH itu saja dikenali pembaca setia tetapi tidak bagi sosok diri penulis termasuklah di kalangan pemimpin PAS sendiri. Ditakdirkan pada bulan Ramadan dua tahun lalu, penulis ada menerima sehelai kain pelikat dan sekotak kurma yang dihadiahkan oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff. *********************************** Mungkin YB Rantau Panjang itu pun tidak mengenali diri penulis; jadi penulis beranggapan pemberian itu adalah tersangat ikhlas - tiada mengandungi sebarang maksud sebaliknya beliau hanya mahu mendapat keredaan Allah SWT semata-mata. Mungkin beliau menghampiri kalimat yang diucapkan oleh Sayidina Ali Abu Talib iaitu tidak mengharapkan apa-apa pun daripada penerima hatta ucapan 'terima kasih' sekalipun. ************************ Kain pelikat yang dihadiahkannya tiada jenama - bukanlah daripada jenis mahsyur termasuk yang kerap diiklankan di TV seperti Atlas. Malah bukannya cop Gajah Duduk yang terkenal itu. Tetapi kain pelikat itu tiada sebarang cop. Ertinya ia mungkin daripada jenis yang sederhana mutu dan harganya. *********************************** Namun selepas digunakan dengan lasak selama dua tahun, penulis dapati kain pelikat itu masih utuh. Kainnya tidak menjadi nipis malah warnanya juga tidak pudar dan luntur. Keadaan itu berlainan daripada kain pelikat jenis murah yang pernah penulis gunakan - ia cepat menjadi nipis malah terkoyak pula. Kain pelikat yang sudah nipis ini janganlah dibawa solat di masjid; kadang-kadang ketika sujud, orang di belakang boleh nampak bayangan 'benda aib' kita! Isshh, sungguh memalukan. ************************** Demikian penulis berpendapat, pembahagian sesuatu barangan secara ikhlas ada kebarakahannya. Namun jika tidak ikhlas sebaliknya, Kain pelikat mahal malah berjenama pun tidak tahan lama. Kejap saja sudah koyak, mana tahu tersangkut pada paku di kerusi atau dicuri orang ketika dijemur di ampaian. *********************** Ketika musim pilihan raya atau kempen parti, amat-amatilah kain pelikat atau batik yang diberi. Jika selepas dipakai sekejap saja sudah koyak atau lesap, mungkin tiada kebarakahannya - mungkin pemberinya tidak ikhlas, ada udang di sebalik 'mi' (batulah)! **************************** Berceloteh mengenai bab ikhlas ini, tentulah ramai pembaca sudah arif dengan kisah seorang syeikh dengan iblis membabitkan sebatang pokok yang menjadi sembahan penduduk kampungnya. Ketika syeikh dalam perjalanan mahu menebang pokok itu, iblis yang menyerupai seorang tua menahannya. Pergaduhan terjadi, syeikh itu menang. Bagaimanapun sebelum sempat syeikh itu menebang pokok tersebut, iblis membuat tawaran istimewa; jika pokok itu tidak ditebang syeikh itu akan mendapat wang setiap hari di bawah bantalnya. ************************************ Setiap hari syeikh mendapat wangnya tetapi suatu hari tiada wang. Syeikh meradang dan bergegas mahu menebang pokok itu. Di pertengahan jalan dia bertemu iblis menyamar orang tua. Pergaduhan terjadi; kali ini syeikh kalah teruk; sebelum mati dia sempat bertanya mengapa kali ini dia kalah. Jawab iblis, kali pertama dulu awak ikhlas kerana Allah, kali kedua anda mahukan duit! ******************************** Jadi wahai pembaca budiman; ada jurang besar antara pemberian kain pelikat kerana Allah dan pemberian kerana kepentingan politik terutama untuk memancing undi. Jika pemberian kerana Allah ada kebarakahannya di dunia apatah lagi ganjaran yang lumayan menunggu di akhirat nanti. Inilah yang menjadi idaman dan igauan orang beriman - meraih sebanyak-banyak pahala terutama pada Ramadan yang mulia ini tetapi yang paling penting mendapat keredaan-Nya kerana tiada manusia boleh masuk syurga semata-mata kerana pahalanya! ***************************** Rebutlah peluang untuk beramal Ramadan ini hatta mengagih-agihkan kain pelikat, batik dan kurma kerana ibadat pada bulan ini akan anugerahi Allah berlipat kali ganda pahalanya berbanding bulan lain. Ibadat khusus di mana yang wajib diberi ganjaran 70 kali ganda manakala yang sunat bagaikan amalan wajib sebagaimana sabda junjungan Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu, dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda...” **************************** Namun, ingatlah wahai semua, terutama diri ini, pemberian perlu dilakukan secara ikhlas bukan ada agenda di sebaliknya. Renung-renunglah kisah syeikh dengan iblis (orang tua) dalam usahanya mahu menebang pokok sembahan orang kampung; niat yang ikhlas saja diterima Allah, selain daripada itu tertolak semuanya. ************************** Kepada pemimpin, berilah (kain pelikat) kerana Allah, insya-Allah anda akan diganjari-Nya; tetapi jika anda memberi kerana ada kepentingan politik (ada udang sebalik batu), anda mungkin mendapatkan apa yang diidam-idamkan seperti menjadi Yang Berhormat, tetapi ingatlah akan bencana yang akan menimpa anda di sana (akhirat) nanti! **************************** Di sana kehidupan kekal abadi sedangkan kalau jadi Adun atau ahli Parlimen tempohnya terlalu singkat - lima tahun cuma; ingat-ingatlah bahawa sehari di akhirat sana adalah bersamaan 1,000 tahun di dunia. Jadi tempoh lima tahun menjadi YB itu tiada erti apa-apa. **************************** Kesimpulan buatlah segala-galanya termasuk memberi kain pelikat secara ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Insya-Allah kita semua akan selamat di dunia dan akhirat. Amin.
No comments:
Post a Comment