Baru-baru ini penulis berpeluang berbual lebih dua jam mengenai masa depan negara dengan seorang pemuda Cina bernama Dennis, yang kebetulan duduk di sebelah dalam bas ekspres Kuala Lumpur-Melaka. Pemuda berusia 28 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier antarabangsa ini, berkelulusan ijazah sarjana muda pengkhususan bahasa Inggeris Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penulis tertarik apabila dia memberitahu ada dua perkara yang jika tidak ditangani secara bijaksana akan mengugat masa depan negara. Hal itu adalah rasuah dan isu perkauman yang boleh menyebabkan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, rasuah belum berada pada tahap terburuk seperti di sesetengah negara terlalu korup tetapi ia sedang menuju ke arah itu. Rasuah di Malaysia dari persepsi umum masih dilihat sebagai suatu kesalahan tetapi di sesetengah negara ia sudah menjadi cara hidup (budaya); tiada rasuah semua kerja tidak dapat dibereskan. Mereka tidak melakukan sogokan (rasuah) di bawah meja, tetapi di atas meja!
Sekalipun di Malaysia, rasuah dilihat sebagai suatu kesalahan, tahap kejijikan masyarakat terhadapnya semakin kendur, dan ini membahayakan masa depan negara, kata Dennis. Sebagai contoh masyarakat meyakini bahawa menyogok wang kepada pegawai polis dalam sekatan jalan raya adalah salah tetapi mereka melakukannya juga. Ertinya, anggota masyarakat sedar rasuah salah, tetapi tahap kejijikan mereka kepadanya semakin kendur.
Demikian juga dengan sesetengah parti politik yang bermain bahasa; mereka menamakan rasuah sebagai politik wang. Istilah politik wang telah mengurangkan kejijikan kepada rasuah; sesetengah orang dan pihak melihatnya sebagai tidak ada apa-apa (bukan satu kesalahan), jadi mereka yang terbabit masih kekal di jawatan tertinggi parti dan juga kerajaan.
Orang ramai juga tidak bertindak apa-apa walaupun pelaku rasuah kekal di jawatan tertinggi sedangkan di negara yang maruah dan harga diri amat dipentingkan seperti Jepun dan Korea Selatan sudah lama pemimpin terbabit meletakkan jawatan malah membunuh diri.
Bagi Dennis perkembangan ini sangat bahaya; pihak terbabit seolah-olah membenarkan perlakukan rasuah dalam masyarakat, sepatutnya rasuah dibanteras habis-habisan. Mereka yang bersalah sewajarnya dihukum tanpa mengira bulu. Jika ini tidak dilakukan, lambat laun, rasuah bukan lagi dilakukan di bawah meja tetapi di atas meja. Apabila ini berlaku, maka punahlah negara, katanya.
Wikipedia melaporkan dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dinyatakan oleh Transparency International, Malaysia berada di tempat ke-23 pada 1995 tetapi merosot ke kedudukan 36 pada 2001, ke-33 pada 2002, 37 (2003), 39 (2004), 39 (2005) dan 44 pada 2006 dan 43 pada 2007.
Indeks Persepsi Rasuah Malaysia tahun 2008 kekal di paras 5.1, sama seperti tahun 2007, tetapi di kedudukan ke-47. Denmark, New Zealand dan Sweden berkongsi mata tertinggi iaitu 9.3, diikuti Singapura dengan 9.2 mata. Somalia pula mencatat mata paling rendah iaitu 1.0, manakala Iraq dan Myanmar mencatat 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata.
Selain rasuah, polirasi kaum yang semakin ketara juga membimbangkan masa depan negara, kata Dennis. Beliau berpendapat generasi muda yang sentiasa terdedah kepada maklumat terkini tetapi kurang mengetahui apatah lagi menghayati sejarah pembentukan negara mahu melihat kesamaraataan dalam segenap segi.
Dalam bahasa mudah, generasi muda berpegang kepada meritokrasi; mereka gagal melihat keperluan mengutamakan atau memberi keistimewaan kepada golongan tertentu. Hal ini perlu disedari kerana generasi muda ini lahir, kemudian membesar di negara ini, jadi sebarang perbezaan layanan dan keistimewaan kepada kumpulan tertentu tidak dapat diterima mereka.
Sekalipun sensitif, jalan keluar perlu dicari bagi meleraikan permasalahan ini, kata Dennis. Beliau berpendapat kanak-kanak di tadika, yang suci bersih itu, bebas daripada polirasi kaum, tetapi semakin mereka membesar; suasana dan persekitaran melebarkan jurang antara kaum.
Misalnya dalam mengharung dunia pendidikan, seseorang kanak-kanak Melayu akan ke sekolah kebangsaan; kanak-kanak Cina berkemungkinan besar ke sekolah jenis kebangsaan Cina manakala kanak-kanak India akan ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Pengasingan ini akan menyebabkan jurang antara kaum meluas tahun demi tahun dan akhirnya di pusat pengajian tinggi, kecenderung untuk bergerak sesama kaum adalah besar sehinggalah tertubuhlah persatuan-persatuan membabitkan kaum.
Kemudian apabila memasuki alam pekerjaan, golongan dewasa ini berkemungkinan besar menyertai parti politik berasaskan perkauman; orang Melayu menyertai Umno, Cina menyertai MCA manakala India menyertai MIC. Sehubungan itu perjuangan mereka adalah berdasarkan kepentingan dan keperluan kaum masing-masing.
Dennis berkata polirasi kaum perlu diatasi segera, jika tidak ia akan sentiasa menjadi duri dalam daging, sekali gus menjejaskan masa depan negara. Beliau berpendapat usaha Pakatan Rakyat dalam penyatuan kaum amat baik, dan jika pihak ini dapat bertindak cemerlang dalam perkara ini, berkemungkinan besar mereka berupaya membentuk kerajaan baru pada pilihan raya umum berikutnya.
Namun beliau memberi amaran, syak wasangka dan ketidak-fahaman tindakan setiap parti Pakatan Rakyat perlu diatasi, jika tidak ia akan menimbulkan banyak masalah.
Misalnya, selepas menang pilihan raya 1999, kerajaan PAS Terengganu terlalu banyak menyentuh isu hudud yang menyebabkan masyarakat bukan Islam menjauhkan diri daripada parti itu. Malah DAP sendiri melalui orang kuatnya, Karpal Singh, pernah berkata; “langkah mayat saya dulu…”
Sehubungan itu, kata Dennis, orang bukan Islam sepertinya mengharapkan PAS dapat berperanan sebagai sebuah parti ‘moderate’ (sederhana), yang tidak terlalu segera mahu memaksakan agendanya ke atas rakyat apabila berkuasa.
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
*****************************
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
2 comments:
saya adalah antara pengikut tulisan anda...amat bernas..saya selalu juga menulis untuk kolum respon dalam harakah..moga dapat tunjuk ajar
terima kasih saudara Muhammad Nuruddin, panduan saya, tulislah dari lubuk hati,insya-Allah semoga akan berjaya. Amin
Post a Comment