Sunday, September 27, 2009

Pemujaan kubur berleluasa di Pulau Besar

Terpampang pada sebuah papan tanda: "Jabatan Agama Islam Melaka; Kempen Pencegahan Jenayah Syariah, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, Seksyen 69: Sesiapa yang memuja pantai, pokok, kayu, padang, kubur, hutan belukar, bukit atau apa-apa benda dengan apa-apa jua cara yang bercanggah dengan Hukum Syarak adalah merupakan suatu kesalahan. Denda RM2,000 atau 18 bulan penjara atau kedua-duanya sekali."

Tulisan itu diakhiri dengan perkataan: "Mencegah Jenayah Syariah Adalah Tanggungjawab Bersama." Ya, melalui artikel ini, saya menyahut seruan itu dengan mengambil kesempatan mendedahkan amalan syirik berleluasa di Pulau Besar, Melaka pada kunjungan saya ke destinasi percutian terkenal yang terletak di mukim Pernu pada cuti baru-baru ini.

Saya dan keluarga ke Pulau Besar dengan menaiki bot penumpang pertama jam 8.00 pagi hari Isnin, dari jeti Anjung Batu yang terletak 15 kilometer dari bandar raya Melaka. Sekalipun pagi masih awal, bot penuh. Kos perjalanan pergi balik RM14 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Bagi perjalanan balik, penumpang bebas memilih masa, bot terakhir berlepas dari Pulau Besar jam 7.00 malam.

Kira-kira 30 minit mengharungi Selat Melaka yang tenang, kami sampai di jeti Pulau Besar. Sudah lebih 20 tahun saya tidak ke pulau ini. Kali terakhir pada 1986. Ketika itu saya bertugas sebagai wartawan, mengiringi Exco Pertanian dan Perikanan, melepaskan tukun tiruan di perairan Pulau Besar.

Pada kunjungan kali ini, dari laut, saya melihat jeti baru, menganjung jauh ke laut. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu di jeti, mahu menaiki bot yang akan dikosongkan. Mereka sudah bermalam di Pulau Besar dan tidak sabar-sabar kembali ke tanah besar. Apabila berada di atas jeti, terzahirlah kecantikan Pulau Besar.

Di jeti ada dua van uzur menunggu. Saya difahamkan kenderaan itu adalah bagi mengangkut tetamu beberapa hotel. Ini sesuatu yang baru bagi saya, kerana pada kunjungan terakhir saya dulu, tiada hotel di pulau ini.

Pantai Pulau Besar bersih dan cantik. Walaupun baru berjalan kurang setengah jam atau kira-kira 800 meter dari jeti, kami sudah menjumpai tempat 'strategik' untuk 'melabuhkan' diri dan barangan, sebelum terjun ke laut.

Dari arah laut, saya perhatian, kumpulan demi kumpulan pengunjung yang datang kemudiannya, berhimpun berhampiran beberapa kubur. Salah satu kubur itu ukurannya panjang, mungkin 20 kaki. Ada yang bertafakur, membaca sesuatu dan kemudian mengusap-usap batu nesan.

Selepas puas mandi, saya membersihkan diri di sebuah telaga berhampiran. Sukar menimba air, kerana selain kurang berpengalaman, air telaga jauh ke dalam. Terpaksalah saya berpuas hati dengan mandi ala kadar. Selepas itu kami meneruskan perjalanan, menyusuri jalan utama.

Semakin jauh, semakin banyaklah kami melihat khemah di tepi pantai. Mungkin ada ratusan khemah. Orang juga terlalu ramai, perjalanan agak sesak sehinggalah kami tiba di pekarangan sebuah tempat yang kemudiannya saya ketahui sebagai Madrasah Pulau Besar. Di kawasan inilah saya melihat papan tanda Jabatan Agama Islam Melaka itu, meminta orang ramai tidak memuja pantai dan kubur.

Tetapi apa yang saya lihat sungguh membingungkan. Di tepi pagar sebuah kubur paling dekat dengan laluan orang ramai, sebuah keluarga asyik menyalakan colok. Kelihatan sukar bagi mereka membakar colok itu dengan pemetik api kerana angin agak kuat.

Akhirnya seorang lelaki (mungkin si bapa) berjaya menyalakan beberapa batang colok, dengan segera membuat penyembahan ke arah kubur. Mulutnya kumat-kamit, tapak tangannya dirapatkan, dia sesekali membongkok ke arah kubur. Ketika lelaki itu asyik dengan pemujaannya, anggota keluarganya berhempas pulas menyalakan colok lain.

Saya tidak sanggup menyaksikan adegan itu. Terasa mahu menegur, tetapi tidak berupaya. Apa yang terdaya, rasa kesal dan membantah perlakuan dalam hati, itulah tanda selemah-lemah iman.

Orang ramai berpusu-pusu di kawasan itu. Mereka mendaki bukit untuk ke sebuah bangunan kubur; menempatkan dua kubur panjang. Ketika saya melalui dinding kubur itu, seorang lelaki merapati saya, memasukkan secubit gula pasir ke dalam telapak tangan saya, meminta saya merasanya.

Saya tidak hiraukannya tetapi menghalakan mata ke dalam kawasan berkepung itu. Saya lihat ada dua kubur amat panjang. Di hujungnya ada timbunan bunga dan botol berisi air. Orang ramai berasak-asak, menghulurkan tangan mereka, cuba menggapai botol-botol berkenaan manakala ada yang membalingkan bunga ke dalam bangunan kubur.

Sementara itu, beberapa orang duduk di luar dinding kubur, ada memegang Surah Yasin, membacanya. Ada yang sedang berdoa. Di tiang bangunan terdapat sebuah kotak, mengandungi timbunan naskhah Surah Yasin.

Di sisi bangunan kubur, terletak Madrasah Pulau Besar. Tidak ramai orang di situ, mereka lebih menumpukan perhatian di kuburan. Di bahagian belakang surau, ada sebuah kolam air besar. Ada beberapa orang sedang mandi, tidak saya ketahui tujuan mereka.

Kami meneruskan perjalanan. Makin jauh, orang semakin ramai. Kami temui sebuah surau lagi, penuh dengan manusia di dalamnya. Berhampiran, terdapat beberapa ekor kambing ditambat, dan di atas dataran berdekatan surau, terdapat pacakan puluhan colok, seolah-olah membentuk beberapa kubur, satu daripadanya amat panjang. Saya difahamkan inilah Kubur Tujuh Beradik, pernah dirobohkan pihak berkuasa agama tetapi kini menjadi tempat pemujaan.

Kami terus berjalan, menyusuri denai dan akhirnya tiba di sebuah bekas padang golf di atas bukit. Kami berehat di situ, tetapi bau bakaran colok mencucuk hidung. Kami tidak tahan lagi, dan di situlah kami buat keputusan pulang segera. Pada jam 12.30 tengah hari kami sudah menaiki bot untuk balik pada hal sebelum itu kami bercadang balik lewat petang!

IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

No comments: