“Good morning Sir, may I help you,” kata petugas kaunter Manchester Central Coach Station di Chorton Street, Greater Manchester, kepada penulis dan isteri ketika tergesa-gesa mencari bas ekspres ke London tidak lama dulu.
Kami terlambat sampai di stesen bas kerana berlaku kesesakan jalan raya. Ketika itu jam menunjukkan pukul 10.56 pagi sedangkan bas National Express ke London itu dijadualkan bertolak jam 11.00 pagi. “It’s on your far right. Have a nice journey,” katanya sambil menghala telunjuknya ke arah bas dimaksudkan.
“Penulis membalas, “Thank you Sir,” terikut-ikut dengan gaya sopan orang Inggeris. Menghampiri tangga bas, kami dialu-alukan menaikinya oleh dua petugas – pemandu dan penjaga tempat barang. Kedua-dua beruniform kemas – berkot dan bertali leher. Penjaga tempat barang menyambut beg kami untuk dimasukkan ke dalam bahagian bagasi bas.
Demikianlah antara perkara positif perlakuan manusia di negara bekas penjajah tanah air kita. Berdasarkan pengalaman, betullah apa yang saya baca bahawa orang Inggeris begitu sopan dan bangga dengan sifat keinggerisan mereka. Ada perkara positif dan negatif, jadi pada pandangan penulis, tidak salah mencontohi yang baik agar cepat mematangkan diri, masyarakat dan juga negara kita.
Perjalanan bas Manchester-London sejauh kira-kira 250 kilometer itu mengambil masa 5 jam 30 minit. Terlalu lambat berbanding perjalanan balik penulis dari London ke Manchester dengan kereta api ekspres, masa yang diambil kurang tiga jam. Antara sebab kelambatan itu, bas berkenaan mengambil penumpang di stesen-stesen kecil dan berhenti di beberapa bandar.
Begitupun, seperti dikatakan penulis, orang British begitu bangga dengan cara hidup mereka yang membuatkan diri kita menumpang rasa selesanya. Misalnya sebelum berlepas, diucapkan kata-kata alu-aluan dan pengumuman seperti waktu dijadualkan tiba. Pada setiap perhentian, diumumkan nama tempat itu, malah pada ketika bas berhenti di pusat rawat dan rehat untuk penggantian pemandu, hal itu juga dimaklumkan kepada penumpang. Pendeknya tidaklah penumpang dibiarkan tertanya-tanya apa yang berlaku sepanjang perjalanan.
Pemanduan bas dilakukan secara berhemah. Pemandu seolah-olah diawasi (ada CCTV?), mematuhi segala peraturan jalan raya. Di dinding bas, di sisi setiap penumpang sebelah tepi, ada ditulis nombor telefon yang membolehkan orang ramai membuat aduan mengenai perjalanan mereka. Antara perkara ditulis – Feedback about (a) Driver (b) Comfort dan (c) Other, please call 07786200496.
Keadaan dalam bas juga direka dan disediakan untuk keselesaan semua penumpang. Misalnya, tempat duduk bas, bahagian sandarnya tidak boleh ditolak sedemikian jauh sehingga menyusahkan penumpang di belakang. Selepas ditolak sedikit ke belakang, kerusi itu secara automatik akan beransur-ansur kembali ke kedudukan asal (menegak).
Penumpang juga dikehendaki memakai tali pinggang keselamatan. Bagaimanapun, disebabkan perjalanan itu terlalu lama, ramai tidak mengendahkannya. Sama seperti di Malaysia, ramai yang makan minum dalam bas, malah ada yang berbual dan ketawa dengan kuat tanpa mempedulikan orang lain. Dua wanita kulit hitam di depan penulis, berbual kuat diselangi hilaian berdekah-dekah daripada awal perjalanan sehingga hampir sampai ke kota London!
Berdasarkan perjalanan ini, gambaran yang diberikan kepada penulis orang Barat termasuk British gemar membaca dalam kenderaan awam, nampaknya tidak benar. Sama ada orang kulit putih dan hitam, semuanya hampir sama – kebanyakannya tidur atau mengelamun sepanjang perjalanan. Hanya seorang dua yang membaca akhbar pada permulaan perjalanan, selepas itu tidur.
Ketika berkunjung ke pusat bandar raya Manchester sebelum bertolak ke London, penulis menyaksikan sebahagian besar orang ramai tidak mempedulikan pemberian akhbar percuma seperti Manchester Evening News yang disuakan petugas. Mungkinkah sesetengah orang putih sudah menjadi terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk membaca?
Pemandangan di luar cermin bas amat indah. Sungguh cantik pemandangan kawasan luar bandar England ketika penghujung musim bunga ini. Kelihatan ladang yang kehijauan saujana mata memandang. Di tengah-tengah kehijauan, terdapat tompok-tompok putih (biri-biri) menikmati hidangan (rumput). Kadang-kadang kelihatan kumpulan lembu – jenis bertompok putih dan hitam (Frisian?) menjadikan pemandangan seolah-olah lukisan yang dipamerkan di dinding sesetengah rumah.
Di sesetengah kawasan ladang, tanaman seakan-akan rumput berwarna kekuningan kelihatan saujana mata memandang. Saya tidak tahu apakah tanaman berkenaan, mungkin sejenis tumbuh-tumbuhan bagi menghasilkan minyak sayur-sayuran, atau mungkinkah tanaman gandum.
Di dalam bas, seorang ‘gentleman Inggeris’ yang duduk berhampiran, menarik perhatian penulis. Dia membawa sejumlah akhbar dan buku. Mula-mula dia membaca tetapi kemudian leka dengan ‘handset’ canggihnya. Mula-mula dia duduk berseorangan, tetapi pada salah sebuah perhentian, tempat duduk di sebelahnya diduduki seorang kanak-kanak kulit hitam yang anggota keluarganya duduk di bahagian lain.
Budak perempuan kulit hitam itu kurang sihat agaknya, hingus mengalir di hidungnya. Lelaki Inggeris itu nampaknya tidak jijik, sebaliknya menghulurkan kertas tisu. Dia bercakap sopan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki kulit hitam (mungkin abang) kepada budak perempuan mengambil alih tempat itu. Apabila duduk di situ, lelaki Inggeris itu meminjamkan dia akhbar. Lelaki Inggeris itu juga mengucapkan ‘Excuse me’ dan ‘Thank you’ ketika meminta laluan untuk keluar daripada tempat duduknya. Demikian betapa ‘sopan’ dan ‘hebat’nya sifat ‘gentleman’ lelaki Inggeris ini.
Bas yang kami naiki memasuki pinggir kota London jam 4.00 petang. Dari dalam bas, saya perhatian betapa sibuknya manusia di salah sebuah kota raya terbesar dunia. Mereka bergerak pantas di kaki lima bangunan. Kebanyakan bangunan jenis dua ke empat tingkat, jarang kelihatan bangunan tinggi apa lagi mencakar langit di kota metropolitan ini.
Saya tidak tahu nama-nama tempat itu. Mungkinkah kawasan yang dimasuki itu Marylebone? Saya hanya mampu melihat dan melihat dan hanya akan turun di Stesen Bas Victoria di tengah-tengah kota London. Seperti janji orang Inggeris agaknya, bas itu benar-benar tiba di stesen kira-kira jam 4.30 petang! Tepat betul janji mereka,
Sekalipun menghampiri musim panas, tiupan angin menyebabkan saya terasa kedinginan ketika menuruni tangga bas. Selepas mengambil beg di bahagian bagasi bas, saya dan isteri pun mengorak langkah, mencari pengalaman di kota London, antara kota termasyhur sepanjang sejarah manusia.
Inilah kali pertama kami ke London dan kini kami sendirian dengan kota besar dengan hampir 10 juta insan ini, terdepang di hadapan kami untuk diterokai. “Welcome to England, have a nice stay, Sir,” saya teringat kata-kata petugas imigresen di lapangan terbang Manchester tempoh hari. Kini mungkinkah ‘mereka’ akan mengucapkan ‘Welcome to London’ kepada kami?
No comments:
Post a Comment