Hidup ada pasang surutnya. Ada kala gembira dan ada detik membosankan. Tatkala melalui saat menjemukakan, kehadiran sekelumit penawar sudah cukup untuk mengubat kesepian atau duka, lantas membangkitan keghairahan dan semangat meneruskan kehidupan.
Baru dua tiga hari berpuasa, saya sudah menerima sekeping kad raya. Mendapat kad raya pada era kemajuan teknologi komunikasi ini suatu keistimewaan. Ini kerana ucapan tahniah zaman ini sudah didominasi melalui alam siber.
Anak-anak muda lebih gemar mengirimkan ucapan dan mesej bergambar menggunakan pelbagai kaedah komunikasi baru. Daripada pengamatan saya, mereka tidak menunjukkan minat kepada kad-kad raya.
Populariti kad raya sepanjang pengetahuan saya, berada pada tahap puncaknya pada tahun-tahun 70-an dan 80-an. Saya terkenang kad-kad raya yang mempunyai latar belakang lukisan keindahan permandangan di kampung-kampung.
Masa berubah, kad-kad berkenaan juga mengalami perubahan. Kad dengan gambar keindahan kampung digantikan dengan kartun dan tulisan humor, gambar bangunan hebat dan sebagainya. Kemudian pereka kreatif mencipta kad disertai lagu dan haruman semerbak.
Kad raya pertama saya tahun ini, latar belakangnya adalah lukisan geometri menara masjid. Bentuknya yang cukup ringkas mungkinkah menggambarkan betapa orang sekarang tidak mempunyai banyak masa bernostalgia akan kampung halaman mereka yang indah seperti orang dulu?
Orang bujang dan masih trang, trang, trang, tentulah tidak ada saat lebih menggembirakan menerima sebuah kad ucapan yang pada anggapannya paling cantik daripada si dia. Bahasa di kad tentunya ditulis ‘ayat-ayat cinta’ puitis dan menyegar jiwa.
Tetapi bagi saya yang berusia hampir setengah abadi, masa itu sudah lama berlalu; kad yang saya terima tersemat mesej perjuangan. Pada kad raya pertama yang saya terima ditulis:
“Assalamualaikum. Salam Ramadan Al-Mubarak buat LanH, semoga berada dalam sihat sejahtera adanya. Mudah-mudahan bulan yang mulia ini memberikan rahmat buat sekalian umat Islam.
Hari kita kita sebagai pejuang Islam telah diserang. Ucapan pemimpin kita telah diputar-belitkan. Tuan Guru Menteri Besar Kelantan diserang oleh pihak-pihak yang selama ini mendakwa merekalah pejuang Islam walhal yang berlaku sebaliknya.
Mudah-mudahan kunjungan Ramadan ini memberikan kekuatan untuk sama saf perjuangan Islam dan insya-Allah memperolehi kemenangan di Permatang Pasir sebagai hadiah Ramadan buat pejuang-pejuang Islam. (Nota: PAS sudah pun menang di Permatang Pasir).
Akhir kalam semoga diri ini terus istiqamah bersama perjuangan Islam. Salam Aidilfitri 1430. Wassalam, Allahu-Akbar. – Mohmad Hatta Aziz, Muar, Johor.”
Menerima dan menghantar sekeping kad dan mencoret sedikit nota pada tanggapan kebanyakan orang adalah perkara ‘kecil’. Tanpa tidak disedari, kadang-kadang kad dan nota itu mampu ‘menghidup’ dan ‘mematikan’ seseorang. Apa dimaksudkan, kad dan nota positif akan menyemarakkan semangat seseorang tetapi nota amaran dan kritikan tidak bertempat akan mematikan semangat penerimanya.
Selain kad raya, tidak lama dulu saya menerima sebuah bungkusan yang mengandungi tiga buah buku.
Kandungan surat itu ditulis: Hadiah buku Sirah Nabawiyyah.
“Tuan, perkara di atas dirujuk. Saya dengan rendah diri memberi satu set buku yang ditulis oleh saya buat tatapan Tuan Haji.
“Moga Tuan Haji tidak keberatan menerima hadiah tidak seberapa ini. Juga saya mohon kira sudinya Tuan Haji dapat memberi komentar dan ulasan tentang buku ini dalam ruangan pojok Tuan Haji.
“Moga ia menjadi titik permulaan persahabatan kita, Sekian terima kasih, Saudaramu dalam Islam, Mohd Dasuki Mohd Lebar @ Abu Kholid Marwan, blog: tokpepijat.blogspot.”
Tiga buku yang dikirimkan Mohd Dasuki adalah Sirah Nabawiyyah Jilid 1, Sirah Nabawiyyah Jilid 2 dan Sirah Nabawiyyah Jilid 3 yang diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Haji Abdul Majid Sdn Bhd di Batu Caves, Selangor.
Ketika-tiga buku ini menyiarkan dalam bentuk nota-nota kehidupan Rasulullah s.a.w. daripada saat kelahiran baginda pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah (570 Masihi) sehinggalah kewafatannya pada 12 Rabiulawal Tahun 11 Hijrah. Juga disertakan fakta suasana Tanah Arab dan kawasan sekitarnya sebelum kelahiran junjungan besar Nabi. Antara peristiwa terpenting adalah serangan Abrahah ke atas Makkah.
Buku yang ditulis Abu Kholid secara menyenaraikan fakta termasuk menyediakan peta dan gambar rajah mungkin memudahkan pembaca terutama pelajar dalam mengikuti perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. tetapi saya lihat kekurangannya adalah seseorang pembaca yang terbiasa dengan tulisan berbentuk penceritaan mungkin mendapatinya terlalu kejap dan terlalu bersifat akademik lantas menjemukan.
Pada pandangan saya (maaf andai saya salah) jika Abu Kholid mensasarkan bukunya kepada golongan pelajar yang akan menduduki peperiksaan, beliau berjaya membuatkan mereka mudah faham, tetapi jika disasarkan kepada pembaca umum (termasuk menarik minat pelajar membaca), beliau mungkin dilihat gagal dalam usahanya itu.
Berhubung perkara ini, sukacita penulis membawa contoh buku-buku ‘Fajar Islam’ seperti Kisah Dari Al-Quran (susunan Safwan Fathy), Kisah Dari Hadis (susunan Haji Ismail Ahmad) dan Hari-Hari Penting Dalam Islam (susunan Ustaz Osman Jantan) yang diterbitkan Times Books International (mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor) bagi membuktikan bentuk penceritaan amat menarik dan begitu berkesan kepada pembaca terutama kanak-kanak.
Buku-buku ini diulang cetak banyak kali menggambarkan betapa hebat sambutan terhadapnya. Anak-anak penulis membaca buku-buku ini berulang-ulang kali sehingga ada kulitnya tertanggal dan muka suratnya koyak!
Akhir sekali, maaf dipinta kerana seperti dikatakan penulis pada awal artikel ini, sedikit nota boleh menyemarak atau mematikan semangat seseorang. Apa diharap penulis, komen ini menyemarakkan semangat Abu Kholid, bukan mematikannya. Sekali lagi maaf dipinta!
No comments:
Post a Comment