Cuti panjang penulis manfaatkannya dengan menziarahi seorang saudara yang sakit di Terengganu. Di Terengganu penulis terlihat beberapa papan tanda gergasi (ada gambar Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said) yang mempromosikan gagasan 1 (Satu) Malaysia.
Bagi penulis 1-Malaysia membabitkan seluruh rakyat. Najib adalah Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia. Apa dipaparkan di Terengganu itu tidak menggambarkan Najib sebagai Perdana Menteri seluruh rakyat tetapi Perdana Menteri Barisan Nasional (BN).
Pada papan tanda itu ada logo besar dacing (BN). Ada tulisan 1-Malaysia, diikuti ‘Rakyat-BN-Kerajaan’. Ada slogan ‘Ke arah merakyatkan pembangunan’ dan ‘Rakyat didahulukan prestasi diutamakan’. Melihat papan tanda itu, mungkinkah rakyat dimaksudkan orang BN saja, yang lain bukan rakyat? Orang BN membentuk 1-Malaysia, orang bukan BN mahu diletakkan di mana?
Apabila 1-Malaysia difokuskan kepada orang BN saja, secara automatik gagasan hebat Perdana Menteri itu awal-awal lagi sudah menghadapi masalah. Apabila orang BN saja dimasukkan dalam 1Malaysia, ia tidak menjadi Satu Malaysia sebaliknya Dua Malaysia, satu penyokong BN; satu lagi yang tidak menyokongnya.
Ketika ini BN dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai kira-kira 50 peratus sokongan rakyat. Adakah ini bermakna Najib adalah PM kepada 50 peratus rakyat; baki 50 peratus itu berperdana-menterikan siapa?
Pemimpin BN Terengganu janganlah terlalu ghairah mencari sokongan sehingga terlupa bahawa penyokong pembangkang juga (sekalipun mereka tidak bersetuju), hakikatnya berperdana-menterikan Najib. Perasaan mereka perlu dijaga, jika tidak awal-awal lagi projek 1-Malaysia gagal, dikhuatiti akan muncul 2-Malaysia!
Jika konsep 1-Malaysia mahu dijayakan, banyak kebiasaan lama termasuk slogan kerajaan BN perlu dihentikan serta-merta. Keutamaannya banyak, tetapi penulis memilih media massa sebagai yang pertama perlu dibersihkan. Satu Malaysia, bermakna media massa perlu meletakkan prioriti rakyat di kedudukan teratas. Semua rancangan perlu memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan membiarkan kehendak kelompok tertentu seperti penyokong Umno-BN membolot 80-100 peratus slotnya.
Rancangan berita dan ehwal semasa misalnya perlukan perubahan menyeluruh. Media massa tidak boleh lagi menyiarkan laporan berat sebelah kerana ini akan menghalang kelancaran kejayaan 1Malaysia. Laporannya mesti bersifat ‘daripada rakyat (atau wakil rakyat) untuk rakyat’.
Permulaan laporan stereotaip seperti ‘Presiden Umno………berkata...’ tidak diperlukan, tetapi ‘Perdana Menteri………berkata…’ wajar digunakan; ini bagi menunjukkan Perdana Menteri bercakap bagi kepentingan semua rakyat tidak kira dia orang Umno, MCA, MIC, PAS, DAP, KeADILan, Gerakan dan sebagainya. Ini kerana PM bukan PM Umno atau BN tetapi Perdana Menteri seluruh rakyat Malaysia.
Amalan diskriminasi sesetengah pemimpin politik, jabatan dan agensi kerajaan juga perlu dihentikan. Usahlah dikaitkan politik kepartian dalam urusan membabitkan kerajaan. Misalnya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan peruntukan melalui JKKK tidak perlulah seseorang itu ditanya penyokong parti mana; sewajarnya dengan konsep 1-Malaysia semua yang layak dibantu. Demikian juga tidak perlulah jawatan dalam masjid dan organisasi di kampung dikuasai parti tertentu.
Kemudian dalam projek-projek kerajaan, tidak wajar ditulis ‘Sebuah Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional’. Apabila dilakukan sedemikian, secara automatik ia telah memecah-belahkan rakyat kerana ada projek BN dan projek puak bukan BN.
Rakyat tidak sewajarnya dikelabui mata kononnya BN mampu berbuat itu dan ini sebaliknya mereka dididik untuk terus berjasa kepada negara tidak kira kerajaan apa yang menguasai pemerintahan.
Sebagai contoh di Amerika Syarikat, kerajaan boleh bertukar ganti antara Demokrat dan Republikan tetapi kesetiaan rakyat adalah tetap kepada negara. Mungkin di Amerika (saya tidak pernah lagi ke sana), projek-projek kerajaan tidak ditulis ‘Sebuah Lagi Projek Kerajaan Demokrat’. Apa yang saya nampak, rakyatnya bangga dengan apa saja berkaitan negara seperti ‘The United States Army’ dan ‘The Government of United States’.
Konsep 1-Malaysia juga menuntut rakyat bangga dengan apa yang dapat mereka sumbangkan. Mungkin ada yang bertanya jika semua rakyat tidak kira apa parti politik dianggotai, dikehendaki membayar cukai jika mereka layak, mengapa pula wang yang mereka salurkan itu digunakan bagi membiayai ‘Sebuah Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional’.
Tentulah mereka panas hati sebab di Malaysia, bukan saja orang BN yang perlu bayar cukai, penentang BN pun kena bayar. Kalau slogan seperti ‘Sebuah Lagi Projek Barisan Nasional’ ini tidak dihentikan, alamat sukarlah untuk mewujudkan 1-Malaysia, sebaliknya mungkin ada 2-Malaysia.
Dalam bidang pendidikan pula, melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah mewujudkan beberapa kumpulan rakyat; 1-Malaysia mungkin kumpulan yang menyokongnya, manakala 2-Malaysia yang menentangnya. Sehubungan itu Najib perlu selesaikan isu ini dengan segera supaya gagasan 1-Malaysianya dapat direalisasikan. Apa yang berlaku sekarang, kerajaan menangguh-nangguhkan keputusan mengenai PPSMI ini kerana ia dipercayai tiada jalan keluar terbaik; ditelan mati anak, diluah mati bapak.
Perdana Menteri (kerajaan) boleh diibaratkan seorang bapa. Jika seorang bapa bersikap adil kepada semua anak-anaknya sekalipun ada yang nakal, insya-Allah dia boleh mewujudkan 1-Keluarga, tetapi jika dia bersikap zalim; ada anak dikasihi, ada dianak tiri, dia bukan saja akan mewujudkan 2-Keluarga, malah situasi bercerai-berai. Demikianlah jika salah pendekatan, slogan 1-Malaysia yang diuar-uarkan itu dikhuatiri akan melahirkan 2-Malaysia, 3-Malaysia dan seterusnya!
No comments:
Post a Comment