Friday, September 4, 2009

‘Rakyat didahulukan…’: Pemerintah perlu teladani Quthaz

Slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ semakin diuar-uarkan. Slogan ini terpampang besar di puncak bangunan Sultan Abdul Samad, dekat Dataran Merdeka.

Tetapi apa guna slogan sedangkan pada tanggal 1 Ogos lalu, rakyat didahulukan untuk dibantai oleh FRU. Mereka disembur gas pemedih mata dan air kimia; dihalau bagai anjing di negara sendiri.

Antara lokasi rakyat dibantai adalah berhampiran Dataran Merdeka itu. Jadi apakah maksud sebenar slogan ‘Rakyat didahulukan’ itu. Adakah ia bermakna rakyat didahulukan untuk didera dan menanggung derita?

Oleh itu, wahai pemimpin jangan pandai bercakap muluk-muluk saja; tunai apa awak janjikan. Kalau kamu utamakan rakyat, takkan begitu jadinya. Yang sebenarnya apa yang berlaku pemimpin yang berada di singgahsana kuasa diutamakan, dijaga oleh pihak keselamatan yang dibiayai sendiri daripada wang rakyat.

Dulu sebelum pilihan raya ramai calon mengaku untuk menjadi hamba rakyat. Pilihlah saya, jika saya terpilih saya akan bekerja untuk rakyat; atau bekerjalah bersama saya bukan bekerja untuk saya.

Tetapi sesudah berkuasa lain pula dibuatnya. Dipaksanya pasukan keselamatan termasuk FRU bekerja untuk dirinya dalam membantai rakyat. Selain dirinya, anak isterinya juga mendapat tempat, beraya sakan dengan kuasa yang ada. Mereka ‘shopping’ sana sini termasuk kota London; meninggalkan rakyat terhegeh-hegeh mencari duit tambahan bagi menampung kos perbelanjaan yang semakin tinggi termasuk kenaikan tambang pengangkutan awam baru-baru ini.

Berhubung perkara ini penulis tertarik benar dengan kisah hidup pemerintah Mesir, Raja Malikul Muzafar Quthaz yang dapat menewaskan seterusnya menghalang kemaraan tentera Tartar (Mongol) daripada membinasakan dunia Islam pada abad ke 13 atau 14 Masihi dulu.

Selepas menghancurkan kota Baghdad, sekali gus mengakhiri pemerintahan Khalifah Abasiyah pada tahun 1258, tentera Mongol menghala ke Barat dan berjaya menawan satu demi kerajaan Islam.

Antara faktor kejatuhan kerajaan-kerajaan ini ialah sikap talam dua muka pemerintah dan rakyat, sama seperti dihadapi negara umat Islam hari ini.
Pemerintah bertindak zalim, memaksa rakyat bersatu padu tetapi pada masa yang sama mengerah rakyat supaya memenuhi perbendahaan negara (dana) bagi menghadapi musuh.

Bagaimanapul hal ini tidak dilakukan Quthaz, seorang anak raja yang pernah menjadi hamba tetapi akhirnya berjaya memerintah Mesir.

Dalam menghadapi kemaraan tentera Tartar baginda memanggil alim ulama, amir-amir, menteri, hakim dan pembesar negara untuk berbincang.

Dalam majlis ini Sultan meminta padangan mereka apakah dibolehkan mengutip wang dan mengambil harta rakyat untuk membiayai kelengkapan perang.

Dalam majlis ini, tidak seorang pun berani mengeluarkan fatwa kecuali Syekh Abdus Salam yang berkata, tindakan tersebut wajib dimulakan ke atas amir-amir dan pembesar negara.

Permintaan ini adalah sesuatu yang berat kerana sebelum ini tiada amir dan pembesar negara yang berbuat demikian. Bagi Sultan pula, fatwa Syekh Abdus Salam amat berat - bagaimana baginda mahu memaksa pembesar baginda menyerahkan sebahagian harta mereka?

Di dalam buku 'Wahai Islamku' tulisan Ali Muhammad Baktsir (terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura-1986) ada diceritakan bagaimana Sultan Quthaz menunjukkan teladan bagi dicontohi raja-raja dan pemerintah selepasnya, termasuk pada hari ini.

"Sekarang akulah yang pertama turun tangan, menyetor emas dan perak yang aku miliki kepada Baitulmal. Inilah perhiasan Sultanmu," kata Malikul Muzafar menunjukkan pada peti yang terletak di hadapannya itu.

"Sekarang aku serahkan harta ini kepada Baitulmal. Di hadapanmu sekarang aku bersumpah kepada Allah. Aku tidak mengambil hasil negeri ini selain daripada kebutuhan diriku. Sekali-kali aku tidak akan melebihi bahagianku daripada bahagianmu, katakanlah aku ini menyimpan harta dan kekuatan. Bagaimanalah caranya seseorang Sultan hidup tanpa ada barang simpanan dan kekuatan."

Selain menyerahkan hartanya, Sultan Quthaz juga ke medan perang bagi menghadapi musuh. Bukan saja baginda yang berada di barisan depan tetapi juga pemaisurinya, Jalinar (Jihad).

Dalam pertempuran itu, Jalinar tewas dan apabila hampir menutup matanya buat selama-lamanya, di dalam pangkuan suaminya, permaisuri itu berkata: "Wahai Islamku, wahai Islamku."

Jalinar tidak mengatakan wahai kekasihku (suaminya) tetapi wahai Islamku, menunjukkan betapa cintanya pada Islam sehingga sanggup menyerahkan nyawanya untuk Islam.

Demikianlah betapa sikap dan peribadi Quthaz dan permaisurinya dalam menghadapi musuh Islam. Ciri-ciri yang dimilikinya itulah membolehkan umat Islam menewaskan musuh-musuh Allah termasuk tentera Mongol yang terkenal ganasnya pada masa itu. Itulah pemimpin yang mendahulukan rakyat; biar dirinya susah hatta mati asal rakyat senang.

Hari ini, kisah ini sewajarnya di semarakkan kembali; jika pemimpin melaungkan perpaduan dan berslogan meminta rakyat didahulukan, mereka mesti menunjukkan teladannya bukannya duduk sedap-sedap di istana sedangkan rakyat diasapi gas pemedih mata.

Tidak guna beretorik dan berslogan itu dan ini sedangkan penindasan masih dilakukan ke atas rakyat jelata dengan akta seperti ISA. Pemimpin, tunjukkan pengorbanan seperti dilakukan Sultan Quthaz yang akhirnya berjaya menewaskan tentera Mongol.

2 comments:

mr edz said...

slogan jer lebih.. harta masuk poket dia

noor zaim aziman said...
This comment has been removed by the author.