Ogos adalah bulan kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos rakyat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara tetapi mulai 1 Ogos rakyat kebanyakan dibebankan dengan kenaikan tambang pengangkutan awam. Kenaikan ini hampir pasti diikuti kenaikan harga barangan keperluan. Maka makin menderita dan bergenanglah air mata rakyat kebanyakan menjelang musim perayaan tidak lama lagi.
Kenaikan ini membawa maksud rakyat didahulukan untuk menanggung beban dan derita sebelum mereka boleh bergembira menyambut ‘merdeka dan raya’ yang dipenuhi pelbagai pesta bagi menutupi kesengsaraan dan kesedihan mereka. Ooopss, kemerdekaan tahun ini disambut ketika bulan puasa (Ramadan), jadi untuk kelihatan baik, pemerintah Umno-BN awal-awal lagi sudah membatalkan majlis-majlis yang ada kaitan dengan pesta.
Kenaikan tambang pengangkutan awam paling ketara adalah bas sekolah. Seorang anak saya memberitahu tambang basnya dinaikkan kepada RM37 daripada RM25, iaitu peningkatkan sebanyak RM12 atau hampir 50 peratus. Bayangkan duit tambahan yang perlu disediakan oleh seorang bapa jika dia mempunyai lima anak yang ke sekolah pagi dan petang (sekolah agama dan kegiatan luar). Kalau seorang anak membabitkan penambahan RM15 saja, dia diperlukan mengorek RM75 daripada gajinya yang mungkin RM1,500. Itu baru tambahan kos dan bukan tambang sebenar.
Selain tambang bas sekolah yang naik tinggi, bagaimana pula tambang bas dia dan isterinya? Tambang pengangkutan bas juga akan meningkat tetapi sehingga artikel ini ditulis (30 Julai) kenaikan sebenar belum diketahui. Seorang pengusaha bas memberitahu penulis tambang bas ekspres adalah sama kerana pihaknya sudah menaikkan tambang sebanyak 30 peratus dalam bentuk surcaj sejak perayaan Aidilfitri tahun lalu. Cuma yang naik kali ini adalah tambang kanak-kanak yang katanya meningkat sebanyak 25 peratus, menjadikan kadarnya 75 peratus daripada tambang dewasa.
Secara umumnya kerajaan mengumumkan kenaikan tambang pengangkutan awam seperti berikut:
1. Kadar tambang teksi bagi satu kilometer pertama dinaikkan dari RM2 kepada RM3. Bagi jarak setiap 115 meter, kadarnya adalah 10 sen. Kadar lama, kenaikan 10 sen untuk setiap 150 meter. Teksi yang menunggu penumpang pula, kadar terbaru 10 sen untuk setiap 21 saat berbanding dahulu untuk 45 saat.
2. Kadar tambang bas sekolah berhawa dingin naik sehingga 30 peratus
3. Kadar tambang baru bas sekolah di Semenanjung (kadar bulanan) bagi sektor bandar dibenar dinaikkan 6.33 sen, iaitu RM21.10 sekilometer pertama sekarang kepada RM27.43 sekilometer pertama.
4. Kadar tambang bas henti-henti di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dinaikkan antara 25 sen hingga 70 sen menjadikan tambang baru antara RM1 hingga RM3.10 sen.
5. Kadar tambang bas mini naik 20 sen, bas pengantara 20 sen
6. Kadar tambang bas ekspres dinaikkan 2 sen dari 6.5 sen sekilometer kepada 8.5 sen sekilometer.
Jika dalam soal tambang pun kerajaan tidak boleh mendahulukan kepentingan rakyat, ada apa dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’ yang kerap diuar-uarkan sekarang ini? Bukankah ini bermakna tradisi membelakangkan rakyat menjadi keutamaan, yang dipentingkan adalah golongan pemodal dan kapitalis.
Kemudian kita melihat kepada ‘prestasi diutamakan’, dalam bab ini pengangkutan awam. Pengangkutan awam sinonim dengan tanggapan perkhidmatan yang teruk tetapi sebagai pengguna tetap pengangkutan awam saya berpendapat ada yang baik dan ada yang buruk. Perkhidmatan kereta api ringan RapidKL di ibu kota adalah baik, perkhidmatan Komuter dan bas pada masa sesak adalah teruk manakala teksinya adalah daripada jenis ‘cekik darah’.
Kemudian di kawasan pinggir bandar besar, pekan dan pedalaman; pengangkutan awamnya amat buruk kerana perkhidmatan basnya tidak efisyen; ada kalanya penumpang perlu menunggu sejam dua sebelum bas datang.
Secara umumnya, prestasi pengangkutan awam di negara kita kurang memuaskan. Oleh sebab itu masih ramai yang berkenderaan sendiri menyebabkan jalan raya terutama di ibu kota terlalu sesak. Senario ini tidak berlaku di kota-kota besar negara maju, salah satu sebabnya prestasi pengangkutan awam mereka amat cekap dengan kerajaan mereka sanggup membuat pelaburan amat besar dalam bidang ini.
Rakyat dikhabarkan kerajaan mendapat RM263 bilion daripada Petronas, jadi tidak bolehkah sejumlah wang ini digunakan untuk membaiki prestasi pengangkutan awam? Janganlah asyik berslogan ‘prestasi diutamakan’ sedangkan prestasi pengangkutan awam dok sama; dulu, kini dan selamanya!
Dalam bab infrastruktur pengangkutan awam, rakyat kaya yang kerap ke luar negara diutamakan dengan pembinaan terminal hebat seperti KLIA tetapi rakyat kebanyakan ‘ditonyohkan’ dengan Hentian Puduraya yang bertepatan dengan slogan ‘dulu, kini dan selamanya’.
Apabila dua keadaan ini diamat-amati, maka rakyat akan membuat kesimpulan, rakyat kaya didahulukan, prestasi untuk berkhidmat kepada rakyat kaya juga diutamakan, yang miskin tunggu dulu; mungkin pada musim pilihan raya mereka akan disantuni di mana pada ketika itu permohonan ‘jambatan emas’ pun mungkin dimasukkan dalam senarai!
Maka jadilah rakyat biasa, DULU, KINI dan SELAMANYA, hidup dalam serba kedaifan dan kekurangan di negara yang kaya-raya dengan melimpah-luah hasil alamnya termasuklah petroleum.
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment