Kisah ini ditulis pada bulan Maulud (Rabiulawal) lalu. Pada tanggal 9 Mac (12 Rabiulawal) diadakan sambutan Maulidur Rasul sempena hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Di sesetengah masjid, pada setiap malam ada majlis berzanji yang akan sampai ke kemuncaknya pada malam 12 Rabiulawal.
Penulis bukan kaki TV. Tetapi pada malam Ahad (1 Mac), sambil berehat-rehat di ruang tamu, penulis sempat juga melihat-lihat rancangan televisyen yang anak-anak tonton. Mereka gemar menukar-nukar siaran; kejap TV3, kejap TV9 dan seterusnya.
Ketika ‘singgah’ di TV3, penulis dapati rancangannya adalah siaran langsung ‘Jomheboh’ dari MITC, Ayer Keroh, Melaka. Terlihatlah ribuan orang Melaka sambil berpayung (ketika itu hujan gerimis) menyaksikan artis-artis seperti Sarah Raisuddin dan Dina (kalau tidak silap penulis; maklumlah penulis bukan kenal sangat artis), bergelek di atas pentas.
Apabila TV memfokuskan penonton, penulis melihat ada anak-anak turut diseret mak bapak menyaksikan konsert itu. Terbayang di mata penulis bagaimana anak-anak ini hendak disediakan ke sekolah pada keesokan harinya (Isnin) sedangkan mereka balik daripada konsert selepas jam 11.00 malam atau 12 tengah malam.
Pada malam itu anak penulis yang berada di Tahun Satu yang sedang membuat kerja rumah, meragam. Dia tiba-tiba menangis dan merengek-rengek disebabkan sejumlah buku latihannya hilang. Bayangkanlah untuk menghadapi karenah si anak itu, penulis dan isteri hampir hilang sabar; bagaimana sesetengah ibu bapa lain boleh ‘berdondang sayang’ membawa anak-anak mereka menyaksikan konsert pada malam-malam buta itu.
Tidakkah mereka berfikir akan ‘homework’ si anak – sudah buat ke belum - esok boleh bangun awal dan tidak mengantukkah mereka di sekolah nanti? Mungkinkah ibu bapa ambil mudah; pada hari esoknya anak-anak tak payah ke sekolah manakala mereka ambil MC, ponteng daripada kerja.
Itulah orang Melayu, diasyikkan dengan hiburan, hiburan dan hiburan. Mereka terus leka, daripada si kecil yang diheret mak bapak kepada si tua bangka; semuanya mahu berhibur. Apabila ada ‘konsert free’ seperti Jomheboh, maka berpusu-pusulah mereka, hujan ribut pun mereka tidak peduli. Apa yang penting mereka dapat ‘melepaskan gian dan rindu’ kepada artis-artis yang digilai mereka.
Pada ketika berlangsung konsert Jomheboh di Ayer Keroh itu, TV9 juga membuat liputan secara langsung dari Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka. Berlawanan daripada acara nyanyian dan joget di MITC, dari Pantai Puteri ini disiarkan rancangan forum agama, Halaqah. Tajuknya ‘Dating’; jadi sungguh hebatlah orang Melaka, ‘berdating’ di Tanjung Kling tetapi ‘heboh’nya di Ayer Keroh.
Negeri Melaka tidaklah sebesar mana, jarak antara tapak Halaqah dan Jomheboh itu dekat saja; lebih kurang 20 kilometer atau setengah jam perjalanan dengan kereta. Pada malam itu saya ‘tekunkan’ mendengar bicara Halaqah yang dipengerusikan oleh Ustaz Shukri. Jadi dapatlah saya menangkap antara hujah-hujah yang disampaikan dua ahli panel itu dan Ustaz Shukri sendiri.
Sekalipun tajuk forum itu ‘Dating’ apa yang sebenar hendak disampaikan adalah larangan menghampiri zina atau dalam bahasa mudah tidak membuka ruang kepada perkara-perkara maksiat. Maka berbuih-buihlah mulut ahli panel, antara lain mengingatkan orang ramai terutama anak muda jangan ‘bermain mata’ (berdua-duan) kerana daripada panahan mata akan turun ke hati, seterusnya tercebur melakukan maksiat.
Seorang ahli panel mencadangkan sempena bulan mulia Rabiulawal ini (bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.), masyarakat membebaskan diri atau ‘berpuasa’ daripada ‘dating’ dan perkara-perkara yang boleh menjuruskan diri kepada maksiat.
Melihat ‘dua senario’ yang berbeza melalui siaran langsung televisyen itu (forum agama Halaqah di Tanjung Kling dan konsert Jomheboh di Ayer Keroh) di negeri kecil Hang Tuah, membuatkan seseorang itu berfikir ke arah mana sebenarnya pemerintah mahu membawa rakyat. Adakah rakyat Melaka disediakan mengikuti dua situasai (mendekati agama boleh, mendekati maksiat pun boleh) sejajar dengan slogan popular syampu ‘dua dalam satu’.
Cuba bayangkan apabila ketika seorang ahli panel Halaqah di Tanjung Kling berkata; jangan kamu menghampiri zina dengan berdua-duan dengan pasangan bukan muhrim, pada masa yang sama ada muda-mudi sedang berpeluk-pelukan kerana kesejukan di bawah sebuah payung, menonton konsert Jomheboh di Ayer Keroh.
Jaraknya kedua-dua majlis tidak jauh, dan apabila ditayangkan serentak di kaca televisyen, penulis terasa begitu sebal dan malu untuk mengaku ‘anak Melaka’. Apakah orang Melaka begitu; berkonsert boleh, berlaku alim pun boleh? Pada satu siaran, orang Melaka begitu khusyuk mengikuti ceramah agama, dan pada satu lagi siaran orang Melaka ditunjukkan begitu khusyuk mengikuti tarian dan nyanyian sehingga hujan pun tidak dipedulikan.
Orang Melaka terkenal dengan pantun mereka, jadi apabila ada majlis agama dan konsert berlangsung serentak, apakah orang Melaka mahu mengiyakan pantun ini.
Ke teluk sudah ke Siam sudah,
Ke Makkah saja saya belum;
Kupeluk sudah, kucium sudah,
Nikah saja yang saya belum.
Berdasarkan pantun ini, boleh kita tafsirkan sekalipun penulisnya berperangai tidak berapa elok (dia sudah memeluk dan mencium anak dara orang) tetapi masih ingat ajaran agamanya dengan berkata dia belum lagi ke Makkah dan juga dia belum bernikah.
Ringkasnya dia masih ada sedikit iman, kerana teringat dia masih belum bernikah tetapi telah berbuat perkara tidak baik kepada anak dara orang. Apakah orang Melaka mahu menjadi orang seperti ini; ke konsert Jomheboh di Ayer Keroh boleh, ke program agama Halaqah di Tanjung Kling pun boleh; maka jadilah orang Melaka serba boleh, maksiat boleh, berprogram agama pun boleh!
1 comment:
entahlah.. kekadang naik muak tengok rancangan tv nih.. kejap beragam lepas tu maksiat..
Post a Comment