Monday, January 30, 2023

Rejab 8, 1444: Mencari kebarakahan dalam hidup

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


ORANG tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat bersedekah dan membantu orang lain pula.


Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah, hidupnya penuh keluh-kesah, baharu setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. termasuk si ah-long. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat.


Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.


Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.


Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar.


Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan melalui detik hitam seperti dihukum penjara.


Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula.


Jika dia orang miskin, dia reda dengan kesusahannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda.


Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara.


Jika sesebuah negara mempunyai sumber alam kaya, ekonomi mantap dan berpendapatan berbilion-bilion dolar, ertinya negara itu kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya, persoalannya adakah negara itu penuh keberkatan atau tidak.


Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara itu juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula sesebuah negara itu sibuk berhutang ke sana ke sini? Dan hutangnya teramat besar pula!


Seseebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka?


Mengapa akhir-akhir ini rakyat di sesetengah negara semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat, harga minyak naik mendadak manakala kos perkhidmatan turut sama naik.


Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya.


Jika demikian ukurannya, mengapa pula ada negara membazirkan wang rakyat dengan pelbagai macam pesta dan prasarana membazir termasuk berlumba-lumba membina gedung-gedung tertinggi dunia.


Bercakap mengenai pembinaan bangunan ini, saya teringat sebuah rencana televisyen yang saya tonton baru-baru ini menunjukkan sejumlah negara Arab/Islam sedang 'bertarung hebat' bagi membina pencakar langit super - insya-Allah tidak lama lagi Jeddah Tower di Arab Saudi akan disiapkan - ketinggiannya adalah 1,000 meter = 1 kilometer menjulang ke langit mengatasi Burj Khalifa di Dubai (UAE) yang tingginya 828 meter.


Malaysia pun tidak kurang hebat, banyak pencakar langit sudah dan sedang dibina; Menara Kembar Petronas dengan ketinggian 452 meter pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dulu. Sekarang ini pencakar langit Merdeka 118 dan TRX 106 adalah antara yang tertinggi di dunia.


Apa yang menarik dalam rencana ini, pengkritik bertanya "apakah banyak faedah" negara Arab/Islam membina bangunan-bangunan hebat ini dengan kos berbilion-bilion dolar Amerika sedangkan wang yang banyak itu dapat dimanfaatkan untuk membantu ramai umat Islam yang hidup menderita di seluruh dunia. Adalah diketahui umum, sejumlah negara Islam terletak di bahagian bawah senarai negara termiskin dunia.


Pengkritik mendakwa pihak membina bangunan hebat ini adalah untuk menyombong diri sedangkan keperluan sebenar kewujudan bangunan ini adalah tidak mendesak. Kos untuk menyelenggara bangunan super tinggi adalah tersangat mahal manakala pengguna dan premis perlu disesuaikan dengan persekitaran - misalnya udara dan tekanan di puncak yang terletak satu (1) kilometer ke atas adalah tidak sama di permukaan bumi.


Kebanyakan rakyat tidak memerlukan bangunan hebat ini tetapi mereka mengeluh dan terpaksa mengerah tenaga dan menyabung nyawa termasuk di laut untuk menyekolahkan anak, membesarkan mereka agar menjadi 'orang' pada masa akan datang.


Jika dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT.


Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa, di mana sebenar kedudukan sesebuah negara itu, penuh keberkatan atau menuju kehancuran?


Tamadun Mesir kuno (Firaun), kaum Aad dan Tsamud semuanya mempunyai bangunan hebat-hebat tetapi kerana tiada ketauhidan dan kebarakahan, semuanya hancur musnah.


No comments: