Friday, January 13, 2023

Jamadilakhir 19, 1444: Cerita dari sebuah hospital swasta (5)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud Surah Al-Asr 1-3)


SAYA dibawa ke katil wad dari dewan pembedahan jam 12.00 tengah malam. Sejurus kemudian saya terlelap . Sebaik-baik sahaja tersedar, saya raba jam. Pukul 6.30 pagi. 


Subhanallah, saya sudah terlewat untuk solat subuh. Saya bingkas bangun. Boleh, tetapi pergerakan tersekat. Saya terlupa hakikat saya memakai tiub kencing (urinari kateter):- tiub yang dipasang disertakan beg khas bagi menyalurkan kencing. digantung di birai katil.


Pergerakan gopoh-gapah menyebabkan tiub itu tertarik sama mendatangkan kesakitan pada saya. Saya gagahkan diri untuk bangun kerana bimbang waktu subuh akan tamat. Sambil memegang beg urin saya berusaha bangun dari katil.


Saya terjelepuk, jatuh ke lantai. Ini kerana sekalipun kedua-dua kaki saya sudah boleh bergerak, punggung saya masih belum pulih daripada kesan bius. Masih kebas. Namun nak mengejar solat subuh, saya berusaha bangun dengan memegang sebuah kerusi plastik berhampiran.


Saya kemudian bertatih-tatih dengan kerusi itu ke bilik air - membersihkan kesan-kesan darah dan kotoran lain - lantas mengambil wuduk dan kembali bertatih-tatih ke sisi katil. Saya solat dengan duduk di kerusi itu kerana bimbang jika saya berdiri, saya akan tumbang...


Selesai solat, saya terus duduk di kerusi itu, merenung ke arah jalan raya kota yang pada siang harinya sangat sibuk. Katil saya di sudut hujung wad bercermin di tingkat 7 yang membolehkan saya melihat suasana di luar.


Lama saya duduk di kerusi itu, tetapi saya menjadi hairan kenapa jalan raya itu tidak sibuk dan hari masih gelap lagi. Selalunya selepas syuruk, suasana menjadi terang benderang dan jalan menjadi sibuk. Saya berfikir, betul ke diriku ini?


Saya kemudian mencapai jam...terkejut saya melihat jarumnya...baharu jam 5.15 pagi. Jadi saya tersalah lihat ketika bangun tadi. Waktu itu bukan  6.30 pagi tetapi 4,30 pagi. Mata saya sudah tersalah lihat...atau otak saya belum 'adjust' lagi. Belum peka (sedar) sepenuhnya pada keadaan sekeliling.


Pagi itu saya sekali lagi ke bilik air dengan 'menopang' kerusi dan menunaikan solat subuh. Siapa sangka pada masa sakit begitu, saya dapat menunaikan 'solat subuh' dua kali!


Pagi itu saya disajikan nasi lemak...inilah nasi lemak tersedap saya makan kerana sudah tak makan berbelas-belas jam lamanya! Kemudian datang pembantu yang mencatat pesanan makanan untuk hari esoknya...pagi tuan nak 'breakfast' Western ke, Cina ke atau Melayu ke...kemudian makan tengah hari dan makan malam...sama juga Western, Cina atau Melayu....


Kira-kira jam 12.00 tengah hari selepas saya menikmati makanan tengah hari yang lazat (standard 'hotel' la beb), doktor pakar urologi yang merawat saya datang...dia bertanya khabar dan kemudian mengejutkan saya apabila berkata: "Pak cik boleh balik sekarang. Tapi tiub (kencing) itu perlu dibuka dadulu.Nanti 'nurse' (dia menunjuk ke aras jururawat pengiring) akan mencabutnya."


Tersentak saya dengan kata-kata doktor itu. Malam tadi baharu buat 'operasi' sekarang nak cabut tiub kencing, dan saya boleh balik! Dahulu semasa menerima rawatan di hospital kerajaan, tiub kencing itu dicabut selepas seminggu...itu pun ketika dicabut saya rasa...ohhh ngerinya untuk diceritakan.


Kali ini nak dicabut tak sampai sehari selepas operasi. Tapi itulah hakikatnya. Di hospital swasta...banyak perkara perlu dibereskan segera.  Tepat seperti dikata, 'nurse' datang dan selepas meminta maaf kepada 'pakcik ini', menarik keluar tiub itu...ohhh sakitnya hanya sendiri yang tahu.


Selesai 'kerjanya', 'nurse' berkata, "pakcik tengok sendiri, pakcik boleh kencing tak lepas ni. Kalau pakcik boleh kencing lebih tiga kali, pakcik dah boleh balik. Mula-mula memang kencing berdarah, makin lama makin baiklah.."


Segalanya berjalan pantas...petang itu apabila isteri dan seorang anak,datang, 'pakcik ini' yang berkain palikat berjalan perlahan-lahan ke kaunter pembayaran dan kemudian ke farmasi untuk mendapatkan ubat.


Kos menjalani rawatan di hospital adalah 'ribu-ribu'. Malulah nak cerita jumlah sebenar sebab 'pakcik kan dapat tajaan'. Sekali lagi ribuan terima kasih kepada pihak berkenaan. Hanya Allah SWT membalasnya.


Rawatan dan layanan semua bagus...namun ada hal 'pakcik ini' terkilan. Belum sempat 'pakcik' menikmati makanan Western, Melayu dan Cina yang sedap-sedap itu,  dia orang sudah suruh 'pakcik' pulang. Alahai...tiba-tiba sahaja pakcik suka pulak duduk kat hospital...dahulu sangat tak suka!


No comments: