Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Surah Ar-Rum: 21)
MASALAH komunikasi - demikian antara cabaran utama penulis di Eropah (kecuali United Kingdom, UK) kerana kebanyakan penduduk rantau ini bercakap dalam bahasa masing-masing. Al-maklumlah mereka bangga dengan bahasa masing-masing.
Kebanggaan bangsa dan negara-negara Eropah ini dengan bahasa masing-masing tanpa 'mempedulikan sangat' bahasa Inggeris, mungkin boleh dijadikan hujah tak semestinya hanya bahasa Inggeris 'gah' sebagai bahasa ilmu. UK pun bukan ahli Kesatuan Eropah (EU), negara Eropah menggunakan mata wang Euro, UK tetap 'dulu, kini dan selamanya' bangga dengan mata wang pound-nya!
Dalam Parlimen Eropah iaitu jantung demokrasi EU ada 24 bahasa rasmi. Kerusi rasmi Parlimen Eropah adalah di Strasbourg, Perancis namun kebanyakan urusan kerja dan operasinya dilakukan di Brussels, Belgium.
Di negara-negara Eropah ini termasuk Perancis, percubaan bercakap dalam bahasa Inggeris mengundang rasa kurang senang; sesetengah responden buat endah tak endah; malah ada yang mempamerkan muka masam mencuka. Ada orang berlawak, lebih baik cakap bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris di Perancis.
Sapaan 'good morning' di Perancis tak dilayan; saya cuba belajar cakap 'bonjour' yang bererti selamat (pagi); ehh ada balasan pula, mereka pun cakap 'bonjour' juga - tak tahulah saya sama ada sebutan Perancis saya itu betul atau tidak!
Kegagalan berkomunikasi dengan penduduk tempatan menyebabkan saya mati kutu. Namun Alhamdulillah dengan bantuan seorang pelajar Malaysia yang membawa saya ke beberapa masjid seperti Grande Mosquee de Paris dan Grande Mosquee de Compiegne, saya ditemukan dengan individu-individu yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sekali lagi Alhamdulillah, kerana kalau tidak demikian, artikel ini mungkin tak dapat ditulis!
Dalam perjalanan untuk solat zuhur berjemaah di Grande Mosquée (Masjid Besar) de Compiègne, penulis ditemukan dengan seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Jamil sahaja. Beliau yang sibuk memasang kabel elektrik meluangkan masa untuk bercakap-cakap dengan penulis sekalipun tangannya sibuk memasang itu dan ini. Rakannya, Idris berketurunan Perancis-Chad, asyik mengangguk-angguk kepala sahaja kerana tidak faham bahasa Inggeris.
Jamil yang berketurunan Perancis-Algeria, berkata memang benar Islam sudah menjadi agama terbesar di Perancis. Namun jangan salah faham, katanya. Islam agama terbesar dengan anggaran 5-6 juta orang kerana kebanyakan orang Perancis (hampir 70 juta) sudah tidak teguh lagi anutan Kristian mereka.
Kini, Perancis muncul sebagai negara Eropah yang paling ramai penduduk Islam selepas Russia. Peningkatan penduduk Islam sangat cepat dianggarkan 2.5 peratus dalam lima (5) tahun. Sebagai bekas negara penjajah, ramai anak jajahan dari Algeria, Tunisia, Maghribi, Chad dan sebagainya membina kehidupan baharu di Perancis. Ada yang berkahwin dengan penduduk asal; membentuk masyarakat baharu Perancis.
Di Eropah, sekalipun menara-menara gereja terserlah dari kejauhan di hampir setiap penempatan penduduknya, namun pengisian di gereja hampir tiada. Di sebuah gereja besar, pada suatu pagi Ahad, penulis saksikan hanya lebih kurang 50 orang sahaja hadir. Itu pun hampir semuanya golongan veteran. Mana anak-anak mudanya? Mungkinkah kebanyakkannya tidak lagi beragama?
Kekosongan inilah dilihat sebagai peluang Islam mendapat tempat di hati generasi baharu yang orang tua mereka gersang daripada agama. Generasi muda tercari-cari erti kehidupan...mereka mungkin menemui Islam dan inilah dibimbangi pemerintah dan pemimpin sesetengah negara Eropah.
Pengaruh Islam cuba dilenyapkan, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan. Perancis bangga dengan Revolusi Perancis 1799 yang membentuk identiti negara sekular era moden yang mendukung lunas-lunas liberal. Bagi mereka bagaimana penghayatan dan pengamalan Islam boleh berlaku di negara ini?
Ya, di sini simbol agama dilarang, amalan Islam seperti pemakaian hijab di tempat awam tidak dapat diterima, namun satu hal yang dapat disaksikan oleh 'mata kepala' penulis sendiri - sesekali ketemu jua wanita berhijab di sini dan ada seorang dua insan yang dilihat sedang solat di tempat awam!
No comments:
Post a Comment