Friday, June 17, 2022

Zulkaedah 18, 1443: Perpecahan ummah undang serangan kafir laknatullah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan


Azab Kubur Akibat Memfitnah


Dikatakan, "sepertiga azab kubur adalah akibat memfitnah." Daripada Ibnu Umar, daripada Rasululllah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Ketika Allah menjadikan syurga, berkata kepadanya. "Katakanlah!" Dia berkata, "berbahagialah orang yang memasukiku." Lalu Allah berkata. "Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, tidak akan memasukimu lapan golongan; orang yang biasa meminum arak, berzina, memfitnah, dayus (orang yang cemburu kepada orang yang sepatutnya tidak dicemburui dan tidak cemburu kepada orang yang seharusnya dicemburi), orang yang buas, lelaki yang suka menyerupai perempuan, orang yang memutuskan sanak saudara dan orang yang tidak memenuhi janjinya pada-Ku." Dia berkata, "jika Allah berbuat demikian...maka aku berjanji kepada Allah akan demikian..." Namun tidak dia penuhi. - Hidayah Mac 2011


(ARTIKEL ULANGAN)

BETUL kafir laknatullah (kuasa-kuasa Barat) cepat-cepat patuhi resolusi PBB dengan menyerang Libya tetapi tidak mengambil 'pot' (endah) resolusi PBB terhadap Palestin, namun adalah wajar untuk umat Islam merenung kelemahan mereka paling ketara – perpecahan sesama sendiri menyebabkan helang dan burung botak cepat saja mengerjakan mangsanya.


Libya bukan kisah pertama negara umat Islam pada alaf baru ini diserang si helang dan kuncu-kuncunya. Iraq dan Afghanistan adalah bukti jelas betapa rakusnya si burung durjana ini. Kedua-dua negara ini tiada hal untuk kuasa besar menguji senjata sofistikated terbaru mereka. Rejim Saddam Hussein yang gah dari segi propaganda itu disapu licin mereka (dengan Saddam terpaksa menyorok dalam lubang tikus sebelum digantung mati), apatah lagi kumpulan Taliban yang tidak mendapat sokongan puak-puak bertelagah di Afghanistan.


Puak-puak Mujahidin di Afghanistan mempunyai peluang terbaik merintis jalan kegemilangan negara mereka selepas tumbangnya rejim Najibullah yang pro-Soviet pada 1992, tetapi mereka telah mensia-siakannya dengan bercakaran sesama sendiri. Pertelagahan ini mendedahkan negara kepada campur tangan asing sama seperti dialami Libya.


Selepas askar Soviet dihalau keluar, Afghanistan kekal menjadi 'neraka dunia'. Penduduknya yang sudah melalui kesengsaraan perang berikutan campur tangan Soviet Union terus menderita. Kali ini di tangan saudara seagama dan kemudian oleh si penjarah Amerika.


Di Afghanistan, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diamanahkan untuk memastikan sejahteraan ummah, gagal meleraikan kumpulan Mujahidin yang bertelagah. Pada awal dekad 90-an, ketua kumpulan Hizb-I-Islami, Gulbuddin Hekmatyar terus memerangi Presiden Burhanuddin Rabbani sekalipun diberikan jawatan perdana menteri.


Kemunculan kumpulan pelajar, Taliban adalah di luar jangkaan, tetapi mereka mendapat sokongan rakyat. Pada pertengahan dekad 90-an, mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan bumi Afghanistan.


Kesungguhan Taliban melaksanakan hukum-hakam Islam, menyebabkan mereka dicemburui Barat. Suatu ketika tindakan mereka menghancurkan patung purba Buddha di Bamiyan, mencetuskan kemarahan dunia Barat.


Apabila tercetus Peristiwa 11 September 2001, tidak semena-mena Taliban menjadi sasaran. Taliban didakwa melindungi pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden. Lanjutan dendam Barat kepada Taliban, Amerika menggunakan kesempatan itu untuk 'menguji' senjata-senjata canggihnya di bumi yang hampir musnah itu.


Hasilnya Afghanistan hancur tetapi Amerika dengan bongkaknya berkata demokrasi sedang berkembang selepas meletakkan bonekanya, Hamid Karzai sebagai presiden.


Tidak cukup dengan kemusnahan Afghanistan, Amerika terus 'melanyak' sebuah lagi negara umat Islam - Iraq. Sama seperti Afghanistan, rejim Saddam yang sejak sekian lama menzalimi kumpulan umat Islam lain seperti orang Kurdis dan Syiah juga tumbang dengan mudah.


Jentera perang Amerika yang jelas tiada tandingan, kini dihalakan ke Libya. Penyerangan mudah dilakukan kerana berlalu perbalahan dan perpecahan dalam negara. Kafir laknatullah hanya mencari alasan untuk menamatkan pemerintahan diktator zalim Muammar Gaddafi yang telah menerajui negara itu lebih empat dekad.


Namun satu persoalan timbul: 'Seberani-berani' Amerika menyerang dari jauh dengan Tomahawk, kenapa mereka ragu-ragu menyerang Iran yang sudah terlalu lama menyakiti hatinya? Mungkinkah kesatuan rakyat Iran tersangat kuat sehingga Amerika terpaksa fikir banyak kali?

No comments: