Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
AKHIRNYA saya sampai di Paris, kota cinta dan fesyen dunia bagi muda-mudi. Tetapi bagi orang tak berapa muda seperti saya, nilaian keberadaan di Paris dan kota-kota besar seperti Amsterdam dan Brussels adalah bagi menyoroti nadi masyarakatnya terutama Muslim Eropah.
Berceloteh mengenai Islam di Eropah, terkenang saya buku sejarah sekolah menengah milik abang yang saya tatapi ketika di sekolah rendah puluhan tahun dahulu. Ada dimuatkan bab Islam di Andalusia selepas Sepanyol ditawan panglima Tariq ibn Ziyad dan Gabenor Musa Ibn Nushair pada 711 Masihi.
Atas perintah Musa, Tariq berjaya menyebarkan Islam di Semenanjung Iberia (kini Sepanyol dan Portugal) dan seterusnya sebagai perintis pembukaan Islam di Eropah.
Tentera Tariq yang terdiri daripada 7,000 orang mendarat di Gibraltar, dan dikatakan Musa menghantar 5,000 orang tentera lagi bagi memperkukuhkan kedudukan tentera Islam.
Bagi menghadapi ancaman tentera Tariq, raja Visigoth, Raja Roderick, dikatakan telah mengumpulkan tentera seramai 100,000 orang. Tariq berhadapan dengan tentera Kristian Visigoth dalam pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Guadalete.
Dalam pertempuran yang berlaku di Sungai Guadalete itu, Tariq dan tenteranya menewaskan tentera Visigoth dan seterusnya membina tapak perkembangan Islam di Eropah
Ketika pertama kali mendarat di pantai Iberia, Tariq dikatakan mengarahkan para tenteranya membakar semua kapal. Sebelum bertempur dicatatkan bahawa Tariq menyampaikan sebuah ucapan yang masyhur kepada tenteranya. Sebahagian ucapannya berbunyi:
"Wahai pahlawanku, ke mana akan kau lari? Laut di belakangmu, di hadapanmu musuh. Hanya harapan keberanian dan ketabahan ada bersamamu. ... Amirul Mukminin, Alwalid bin Abdalmalik, memilihmu daripada kalangan pahlawannya untuk melakukan serangan ini;...Satu-satu hasil yang dikehendakinya ialah supaya kalam Allah SWT dijunjung di tanah bertuah ini, dan agama benar bertapak di sini..."
Mengenang kehebatan panglima Tarriq, sebuah bukit diabadikan atas namanya iaitu Jabal At-Tariq atau Gibraltar yang kekal hingga ke hari ini. (Sumber Wikipedia)
Apa yang menyebakkan hati saya tatkala membaca buku sejarah abang saya adalah catatan mengenai kemaraan Islam di Eropah akhirnya tersekat dalam satu pertempuran di Tours (Perancis) pada 732 Masihi antara pasukan Frank dan Burgundy pimpinan Charles Martel dengan tentera Muslim pimpinan Abdul Rahman al-Ghalifi (daripada bani Umayyah).
Kejayaan Charles Martel yang bermakna Penukul disifatkan sesetengah cendekiawan Barat memberhentikan kemaraan Islam ke Eropah sekali gus mengekalkan Kristian terus diamalkan penduduknya.
Namun hari ini, pembaca jangan terkejut jika ada pihak mendakwa Islam sudah menjadi agama terbesar di sesetengah negara Eropah termasuk Perancis. Buktinya, masjid sesak dikunjungi terutama pada solat Jumaat dan dua perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Di Paris, penulis sempat ke Grande Mosquee de Paris (Masjid Besar Paris) dan bercakap dengan seorang pegawainya yang berkata setiap Jumaat masjid itu mencatatkan kehadiran 7,000 - 8,000 jemaah manakala pada dua perayaan besar Islam sehingga 15,000 orang.
Ditanya mengenai jumlah masjid di Paris, pegawai itu berkata 'terlalu banyak' (tak terkira atau tak ada catatan mengenainya), dan istimewa mengenai Masjid Besar Paris yang berkonsepkan seni bina Islam Andalusia (seperti Al-Hambra yang siap dengan taman-tamannya), ia dibuka untuk kunjungan 'not yet Muslim'.
Pada hari penulis membuat kunjungan, ramai orang keluar masuk...ya pengunjung bebas ke sana antara jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari kecuali Jumaat. Ertinya masyarakat bebas untuk menyaksikan sendiri amalan ummah dan keindahan Islam dan sama ada mereka mendapat hidayah atau tidak; itu hak Allah SWT.
Islam hari ini sudah berada dalam hati sesetengah masyarakat Perancis hatta Eropah. Itulah dibimbangi pemerintah-pemerintah negara benua ini. Namun air sungai jernih yang mengalir deras dari pergunungan tinggi tak dapat disekat.
Penulis suka memetik kata-kata indah Hindun binti Utbah (isteri Abu Sufyan yang terkenal dengan kisah memamah hati Sayidina Hamzah ketika Perang Uhud) apabila ditanya kenapa dia memeluk Islam.
Katanya, bukan dia memeluk Islam tetapi Islam telah masuk ke dalam hatinya. Hari ini, sesetengah orang Eropah pun sama - Islam telah masuk ke dalam hati mereka.
No comments:
Post a Comment