Thursday, July 16, 2020

Zulkaedah 24: Jadi si 'copycat' bagi tangani masalah ekonomi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) 

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 mendedahkan banyak perkara. Antaranya kedudukan kewangan kita -- sebahagian besar daripada kita tidak mempunyai sumber kewangan kukuh bagi menampung 'hari-hari hujan' (rainy days) apatah lagi buat jangka masa panjang. Tidak ramai mempunyai keupayaan bertahan lebih tiga bulan apatah lagi jika seseorang itu hilang pekerjaan.

Tentunya saranan membaiki diri adalah untuk semua tetapi belia perlu difokuskan. Ya, sekarang adalah masa melaksanakan rangsangan ekonomi khusus untuk belia, seperti kata seorang penulis, Tan Wei Siang. Ramai belia menganggur sepanjang tempoh wabak Covid-19 . Justeru mereka amat memerlukan campur tangan ‘luar biasa’ daripada kerajaan agar dapat kembali ke landasan asal.

Sejumlah belia hilang pekerjaan menyebabkan mereka berdepan kesusahan hidup. Kaji selidik mendapati tiga daripada lima belia hilang pekerjaan. Ini bermakna lebih 50 peratus belia di Malaysia hilang pekerjaan sejak PKP dikuatkuasakan.

Pada masa sama isu pengangguran belia yang menamatkan pengajian di universiti atau kolej amat serius. Melalui kaji selidik yang dijalankan sebelum PKP, enam daripada 10 graduan belia adalah penganggur. Mereka berusia antara 20 dan 24 tahun. Data sama juga menunjukkan daripada 200,000 belia yang tamat pengajian tinggi, hanya 50,000 berjaya diupah dan bekerja selepas enam bulan menghabiskan pengajian.

Keadaan ini dijangka tambah teruk dalam tempoh selepas ini, jadi golongan belia harus mendapat perhatian dan dibantu kerajaan. Ini kerana mereka merupakan pemacu utama dalam pembangunan negara. Penglibatan mereka berupaya mengekalkan pencapaian dan kemakmuran negara. Contohnya, ramai belia menjadi penghantar makanan FoodPanda atau GrabFood dan berjaya merancak aktiviti ekonomi negara.

Berceloteh mengenai usaha menghadapi desakan kehidupan ini, penulis (LanH) teringat mengenai pemikiran kreatif dipelajari di universiti dulu. Seorang pensyarah berkata adalah bagus untuk berfikir di luar kotak termasuk mampu melakukan pembaharuan terhadap ciptaan atau rekaan orang atau diistilahkan seorang 'copycat' (peniru, pencetak rompak; kamus Merriam Webster mendefinisikannya sebagai 1: one who imitates or adopts the behavior or practices of another; 2: an imitative act or product).

Banyak bangsa maju antaranya kerana mengamalkan budaya 'copycat'. Mereka 'copy' buatan orang, lepas itu mereka 'modified'-nya (melakukan pembaharuan). Hasilnya, produk yang mereka keluarkan lebih baik daripada yang asal. Ya ambil tahu penghasilan sesuatu barangan itu, jangan nak jadi pengguna saja.

Bahkan, jika ada yang berusaha mengambil tahu siapa dan bagaimana sesuatu barangan itu dihasilkan, pengetahuannya hanyalah setakat itu saja. Jarang benar seseorang itu berusaha ‘pergi’ lebih jauh lagi.

Pensyarah itu berkata, sewajarnya kita melanjutkan pengetahuan (perasaan ingin tahu) untuk menghasilkan benda lebih baik daripada yang kita gunakan. Inilah namanya perubahan dalam pemikiran kreatif yang sudah menjadi budaya sesetengah bangsa maju.

Orang Jepun terkenal sebagai ‘copycat’ paling hebat di dunia. Hasil kerja (barangan) dari Eropah, mereka ‘modified’ untuk kegunaan masyarakat Asia dan hari ini terbukti usaha gigih mereka membuahkan hasil lumayan.

Sebut saja apa saja barangan, daripada kereta dan motosikal kepada peralatan rumah – kebanyakannya tertera perkataan ‘Made in Japan’. Bukankah ini menunjukkan betapa besarnya manfaat jika seseorang mempunyai pemikiran kreatif?

Seorang pemulis pula berkata, terdapat empat (4) golongan manusia: 1 -Tahu apa yang dia tahu; 2-Tahu apa yang dia tak tahu; 3-Tak tahu apa yang dia tahu dan 4 -Tak tahu apa yang dia tak tahu. Biasanya pelajar di sekolah dan universiti adalah golongan ke-3 dan ke-4. Sebelum masuk belajar di U, mereka tak tahu apa yang mereka nak tahu.

Jadi mereka akan terus belajar, pergi kelas, salin nota, jawab kuiz, ujian, tutorial, buat laporan, tugasan dan akhir sekali peperiksaan akhir tanpa berfikir sama ada apa yang diajar oleh pensyarah itu mereka betu-betul faham. Mereka tak akan sedikit pun berfikir sama ada ilmu yang diajar itu berkualiti atau tidak.

Sejumlah pensyarah kurang peka kualiti ilmu pengetahuan yang disampaikan kepada para pelajar. Apa yang penting ialah pelajar-pelajar mendapat 'pointer' (markah) tinggi. Biasanya, pelajar yang mendapat markah tinggi adalah mereka yang kuat menghafal tanpa memahami konsep sesuatu ilmu @ subjek.

Mereka hanya hebat menjawab soalan di universiti tetapi dalam pemahaman ilmu yang sebenar mereka tidak faham, tidak boleh menjelaskan apatah lagi menggembangkan ilmu pengetahuan tersebut. Selepas memegang segulung ijazah, yang sebenarnya mereka tidak tahu apa yang mereka tahu selama menuntut ilmu di universiti.

Orang yang berfikiran kreatif sebenarnya ialah golongan pertama dan ke-2. Mereka tahu apa yang mereka ingin tahu dan mereka akan mengkaji sendiri apa yang mereka hendak tahu. Apabila mereka sudah faham sesuatu ilmu pengetahuan itu, mereka akan menjadi tahu apa yang mereka tahu. Selepas itulah mereka akan menggembangkan ilmu itu kepada suatu idea baru dan lebih mendalam seperti Sir Isaac Newton. Beliau berfikir kenapa buah epal boleh jatuh ke atas tanah; ini yang membuatkan beliau mengkaji apa yang beliau nak tahu.

Apabila beliau faham tentang konsep daya tarikan graviti, beliau mengembangkannya kepada tiga (3 ) hukum yang sekarang ini dikenali sebagai 3 Hukum Newton. Sehingga sekarang ketiga-tiga hukum Newton ini masih dipakai oleh para jurutera dan saintis walaupun selepas lebih 400 tahun diilhamkan oleh Newton sendiri. Oleh itu fikir-fikirkanlah kita golongan yang mana?

Orang kreatif, sekalipun terpaksa menjadi 'copycat' akan sentiasa 'mempunyai kerja' (tiada istilah pengangguran bagi mereka) jadi sumber 'income' (pendapatan) akan sentiasa mengalir ke dalam poket mereka. Ya, kita hanya menjalankan tugas kita sebagai manusia, REZEKI Allah yang tentukan!

No comments: