Sunday, July 26, 2020

Zulhijah 5: Pemimpin, hayatilah pengorbanan, kemerdekaan...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.


TANGGAL 31 Ogos nanti negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-63. Tanggal 31 Julai  kita menyambut Aidiladha yang juga dikenali Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

Adalah menarik untuk membincangkan 'korban' dan 'merdeka' secara serentak. Apatah lagi ditambah tema Merdeka tahun lalu 'Sayangii Mal;aysiaku : Malaysia Bersih'. Jika kita mahukan Malaysia dicintai dan bersih, kita semua terutama pemimpin mesti melakukan pengorbanan. Dalam bahasa mudah, korban / merdekakanlah segala kejahatan dalam serba serbi apatah lagi dalam diri!

Semua orang terutama pemimpin perlu menjalankan peranan sebagai rakyat  bertanggungjawab kepada agama, negara, bangsa dan keluarga serta telus dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing. Misalnya, seorang guru atau pentadbir sekolah seperti kerani malah pengawal bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya sebaik mungkin.

Seorang pemimpin atau ahli politik bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya dengan penuh amanah. Pemimpin adil yang takut balasan Allah SWT yang disegerakan di dunia dan akhirat adalah mereka yang patriotik. Seorang ayah atau ibu bersikap patriotik jika menghabiskan usianya untuk mendidik anak-anaknya agar jadi insan berguna yang patuh kepada Allah SWT. Seorang ibu tidak dikelaskan sebagai patriotik jika dia mencampakkan anaknya ke dalam tong sampah, ke dalam mangkuk tandas atau membiarkan anak yang baru dilahirkan di tangga masjid.

Seorang mufti, kadi (hakim), ustaz bersikap patriotik jika dia mengamalkan apa yang diamanah kepadanya dan apa diajarkannya. Dia menjalankan tugas bukan untuk mengejar ringgit atau menjadi pengampu tetapi bagi meraih keredaan Allah SWT. Dia takut terjatuh dalam kategori golongan munafik apabila bertindak, berceramah dan bercakap tidak sama perbuatan. Dia takut termasuk dalam golongan 'cakap tak serupa bikin'. Dia takut termasuk golongan ulama jahat yang mengejar dunia dengan segala keindahannya - pangkat, kemasyhuran, nama dan sebagainya.  Bagi hakim, dia takut termasuk golongan masuk neraka sebab ada hadis menyatakan 2 daripada 3 hakim masuk neraka!

Berhubung kejahatan pemimpin, bekas Mufti Wilayah Persekutuan (kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kitab Syarah Al-Hikam ada mencatatkan kisah ini untuk menjadi pengajaran bersama.

Al-Qahir, salah seorang khalifah kerajaan Abbasiyyah, berkata: "Saya mahu menyimpan bekalan untuk tempoh setahun, dan menyimpan harta untuk hari-hari susah." Kemudian dia menggali  sebuah lubang di tanah dan mengisinya dengan emas dan perak, seolah-olah dia tidak percaya kepada Allah SWT.

Dia berkata kepada anak-anaknya: "Wahai anak-anakku! Kalian janganlah takut miskin. Ayahanda sudah memenuhkan lubang ini dengan harta yang banyak. Seandainya ia dibahagikan kepada seluruh penduduk Baghdad, nescaya setiap penduduknya akan menjadi saudagar."

Apakah yang Allah SWT berikan kepadanya, setelah dia menyimpang dan tidak mematuhi perintah-Nya. Akhirnya, dia dipecat daripada jawatan khalifah. Kedua-dua biji matanya dicungkil keluar. Semua harta kekayaannya disita dan diserahkan kepada khalifah selepasnya.

Setelah itu, dia menjadi peminta sedekah di hadapan masjid jamek terbesar  di Baghdad. Dia selalu berkata: "Wahai hamba-hamba Allah! Sumbangkanlah sebahagian hartanya ke jalan Allah."

Mendengar kata-katanya, orang ramai berkata: "Tengok lelaki ini. Dulu, dia mensia-siakan Allah, Kini, Allah pula mensia-siakannya."

Marilah kita mengambil pengajaran daripada kisah ini, sejajar dengan saranan Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah Qaf (50) ayat 37 yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam (apa yang disebutkan) itu, terdapat peringatan bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang mengerti) atau menumpukan pendengarannya (kepada peringatan itu), dalam keadaan dia hadir (hati dan tidak lalai)."

Semoga kita semua menjadi hamba Allah SWT, yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya, sama ada semasa senang mahupun semasa susah, sehingga kita meraih 'mardhatillah' di dunia dan akhirat. Selamat menyambut Hari Raya Korban dan Hari Merdeka.

No comments: