Tuesday, June 30, 2020

Zulkaedah 8: Sukar ziarahi pesakit...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan telah Kami turunkan kepada engkau peringatan, supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, supaya mereka semuanya berfikir." (An-Nahl: 44)

Zulkaedah 8

SEORANG saudara yang juga jiran saya baharu meninggal dunia. Dia meninggal dunia di hospital. Semua urusan berkaitan jenazah dibuat oleh pihak hospital. Jenazahnya dihantar terus ke masjid kampung kami untuk disolatkan dan kemudian dibawa terus ke kubur.

Saudara ini sudah dimasukkan ke hospital 10 hari sebelum meninggal. Sekarang ini peraturan melawat pesakit amat keras. Selama terlantar di hospital, tidak ada saudara-mara dibenarkan melawat.

Ketika ini seorang sepupu saya juga dimasukkan ke hospital. Menurut emaknya (emak saudara saya), dia pun tak dibenarkan melawat si anak. Katanya, dia menitipkan makanan dan pesanan anaknya (seperti tongkat seperti diminta si anak) kepada pengawal berhampiran kawasan wad.

"Entah sampai, entahkan tidak," katanya. "Tetapi itulah peraturan sekarang ini."

Beliau berkata adik beradik si pesakit (anak menantunya) yang datang melawat termasuk dari negeri lain, tidak dibenarkan masuk. Maka terpaksalah mereka berkampung dalam kereta di kawasan pakir. Demikianlah, betapa susah untuk menziarahi saudara mara apatah lagi sahabat taulan yang dimasukkan ke wad hospital kerajaan sekarang ini.


ARTIKEL IRINGAN (lama)

Pulangkan duit gaji perolehan daripada hasil tak sah taraf...

Seorang ustaz pernah memberitahu penulis supaya mengasingkan wang faedah (riba) yang dimasukkan dalam akaun bank. Dulu faedah dibayar sekali gus dalam setahun, tidak sekerap sekarang. Disebabkan simpanan saya tidak banyak, jumlah faedahnya kecil saja, tidak lebih RM100.

Katanya, keluarkanlah wang faedah itu dan berikan kepada pihak yang mahu melakukan projek pembangunan umum seperti membina jalan dan jambatan serta membiayai program sekolah seperti sukan tahunan dan majlis penyampaian hadiah.

Menurutnya, wang itu perlu dikeluarkan, usah dibekukan dalam akaun. “Ini penting kerana wang itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan dan kepentingan umum. Tetapi janganlah wang itu untuk kegunaan sendiri atau memasukkannya dalam tabungan berkaitan ibadat seperti tabung masjid,” pesannya.

Demikianlah betapa sejak dulu lagi, kita diajar supaya mengasingkan wang perolehan daripada sumber haram dan diragukan supaya tidak bercampur dengan hasil halal yang diperolehi melalui titik peluh kita.

Lima belas tahun lalu, apabila usia semakin meningkat, saya mulai sedar bahawa wang gaji yang saya perolehi daripada kerja perit jerih itu terdapat juga unsur-unsur meragukan.

Ketika itu saya bekerja di sebuah syarikat akhbar gergasi, surat khabar yang diterbitkan mengandungi unsur-unsur tidak sihat seperti penyiaran iklan arak dan judi. Surat khabar Melayu harian berbahasa Melayu sehingga hari ini masih menyiarkan keputusan nombor ekor (judi) manakala akhbar bahasa Inggeris selain menyiarkan keputusan judi turut menyiarkan iklan arak.

Perolehan daripada iklan judi dan arak dicampurkan bagi meningkatkan pendapatan syarikat dan wang inilah digunakan oleh membayar gaji pekerja termasuk pemberian bonus dan x-gratia dua atau tiga kali ganda gaji asal pada setiap hujung tahun.

Disebabkan isu wang perolehan daripada hasil judi ini menjadi hangat ketika ini, terluanglah kesempatan untuk saya 'refresh' (mengingatkan kembali) pengurusan media massa, tauke-tauke media dan juga kepada peneraju negara mengenai satu dua perkara yang tidak Islamik dalam pekerjaan kita.

Selain wang haram judi, diharapkan kita dapat 'berfikir lagi jauh ke depan' untuk sama-sama memansuhkan unsur-unsur tidak Islamik lain termasuk dalam akhbar - sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Akhbar-akhbar berbahasa Melayu, terutamanya terbitan hari minggu - dalam usaha bersaing untuk muncul sebagai akhbar No 1 negara, menyajikan ruangan dan gambar-gambar artis wanita dalam keadaan tidak senonoh sama sekali.

Gambar wanita mendedahkan pangkal buah dada, kadang-kadang terlondeh dengan hanya menutup 'benda itu' saja, nampaknya sudah menjadi perkara biasa, seolah-olah ia sudah diterima masyarakat.

Seorang tuan guru pernah menegur dengan berkata: "Nampaknya semua orang sudah jadi syaitan bisu, tidak ada orang berani menegur, hatta sekalipun anaknya berpakaian tidak senonoh."

Jika bahan bacaan berkenaan dikhaskan untuk pembaca dewasa, 'damage' (kerosakan)nya tidaklah sebegitu besar berbanding statusnya sebagai akhbar untuk seisi keluarga.

Alangkah malunya seorang bapa apabila si anak terikut-ikut mahu memperagakan pakaian yang digayakan artis dalam akhbar ataupun bertanyakan soalan sensitif apabila tidak faham sesuatu yang dibacanya dalam ruangan seks dan rumahtangga.

Selain menyiarkan gambar-gambar tidak senonoh, sesetengah akhbar masih bebas menyiarkan iklan arak malah semua akhbar menyiarkan keputusan empat nombor ekor (judi) sekalipun dalam akhbar yang sama mungkin ada rencana yang menyatakan haram dan padahnya berjudi atau minum arak.

Seorang wartawan muda pernah menghubungi saya, mengemukakan soalan dan meminta nasihat: "Saya kerja di………sebagai penyunting bahagian sukan. Apabila saya 'buat page tu, di tepinya ada 'ad' (advertisement) 'empat nombor ekor'. Macam mana ni bang, pendapatan saya ni haram ke halal, atau saya dikira syubahat ke bang?"
Saya katakan kepadanya, tanyalah ustaz, tentulah ustaz lebih arif.

Demikian betapa serba salahnya seseorang Muslim yang bekerja dalam suasana (environment) demikian kerana apabila dia mendirikan solat, dia akan memohon - ya Allah, Kau tunjukkanku jalan yang lurus - jadi kalau Allah sudah bukakan pintu hatinya untuk mengikuti jalan lurus, tentulah suasana tidak Islamik itu tidak akan mententeramkan jiwanya.

Jadi jawapan yang terbaik bagi syarikat akhbar ini, asingkan wang haram seperti hasil iklan judi, arak dan penjualan majalah separuh lucah daripada perolehan lain. Gunakan ‘wang haram’ itu untuk membiayai projek awam seperti pembikinan jalan dan jambatan manakala wang halal itu membayar pekerja yang mahukan gaji bersih daripada unsur syubahat.

Kepada pekerja yang prihatin termasuk wartawan yang beriya-iya mahukan golongan veteran di Pulau Pinang memulangkan wang yang didakwa ‘daripada hasil judi’, kini tibalah giliran anda untuk memulangkan sebahagian gaji anda selama ini kerana ia juga daripada sumber haram iaitu iklan empat nombor ekor (judi).

Kepada pemimpin Umno-BN termasuk Adun atau ahli Parlimen yang bercakap berdegar-degar dalam isu judi ini, pulangkanlah sebahagian daripada elaun atau gaji anda kerana sebahagian daripada wang berkenaan adalah daripada sumber (cukai) judi, tidakkah anda sedar kedai judi berlambak di seluruh tanah air manakala di Genting Highlands terpacak salah sebuah pusat perjudian paling besar di Asia?

Demikian juga dengan cukai rokok dan cukai arak. Perolehan cukai arak terlalu besar memandangkan terlalu banyak premis menjual minuman keras ada di seluruh negara, malah tin dan botol arak bersepah-sepah di jalanan, menunjukkan betapa hebatnya pengunaan arak di negara ini.

Malah ada laporan menyebut pengambilan minuman keras di negara ini adalah antara 10 negara tertinggi di dunia, menyamai sesetengah negara di Eropah. Hakikat inilah negara yang dicanangkan sebagai negara Islam contoh, tetapi bagaimana pengambilan arak boleh menyamai Perancis atau Denmark?

Jelas sebahagian hasil negara adalah daripada sumber haram dan meragukan termasuk cukai arak, judi dan rokok. Kepada kakitangan awam yang prihatin terutama orang politik yang terkinja-kinja bercakap mengenai arak dan judi, silalah kembalikan wang elaun atau gaji anda yang dipercayai ada unsur-unsur haram itu atau syubahat itu. Lakukan ini, jangan pandai bercakap saja!

No comments: