Tuesday, June 2, 2020

Syawal 10: Berpinar terima bil elektrik...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)

Syawal 10

Berpinar terima bil elektrik...


BIL elektrik kediaman saya akhirnya sampai jua, selepas tiga bulan 'dikurung' bagai dara pingitan. Berpinar biji mata saya melihat angka yang tertulis...jumlah yang perlu dibayar RM1,000 lebih! 


Tu dia, ingat mulut manis pemimpin seolah-olah kita tidak perlu bayar apa-apa...rupa-rupanya bayaran bil adalah secara tertangguh. Bayar tetap bayar...mana ada 'barang dan perkhidmatan' 'free' sekarang ini...yalah nak kencing pun kena bayar...


Itulah, siapa yang tak beringat, dia akan terima padahnya. Kalau wang untuk bayaran bil akhir Mac lalu, akhir April dan akhir Mei, kita dah habiskan untuk tampung kehidupan misalnya sudah hilang sumber wang 'mahsyuk'...bagaimana kita mahu bayar bil yang datang pada awal Jun ini? 


Nasib baiklah bil itu boleh dibayar secara beransur-ansur, demikian menurut catatan di tepi bil. Dalam kes saya, saya boleh memilih untuk membayar RM300 lebih selama tiga kali bayaran atau bayar RM1,000 lebih sekali gus.


Bil air juga sudah sampai. Alhamdulillah lebih RM80 saja. Hitung panjang bilnya RM25 sebulan sebab tempoh tak bayar selama tiga bulan. Dalam kes ini, saya tarik nafas lega...Alhamdulillah sekali lagi.


Demikianlah sebagai pengguna kita mesti beringat. Janji-janji manis yang dihamburkan seperti sewa, hutang, pinjaman tak payah dijelaskan sekarang bukan bermakna, kita tak perlu bayar...cuma bayarannya ditangguhkan...jadi berhati-hati.


Jangan ingat semua 'free' saja, percuma kata orang Malaysia, gratis kata orang Indonesia. Ia belum 'khalas' (selesai) kata orang Arab. Wallahu a'lam 


BAHAN IRINGAN

Derita rakyat pada era 'paceklik' (artikel lama)

HARGA minyak naik lagi. Derita majoriti rakyat bertambah parah. Pada malam hari menjelang kenaikan harga minyak 7 sen (RON 95) tempoh hari (15 November), kelihatan kenderaan bersusun di stesen minyak; orang ramai berusaha menjimatkan seringgit dua kos petrol mereka...ya derita rakyat nampaknya tidak dipeduli pemerintah!

Beberapa hari lalu penulis menerima sepucuk surat daripada seorang sahabat lama, Asmaranda, seorang penulis prolifik dari Pontian, Johor yang mengkisahkan derita rakyat. Usaha beliau mengutus surat membayangkan keprihatinannya - jarang pada era ICT ini seseorang itu mengutus atau menerima surat jadi apabila menerima warkah beliau yang catatannya masih menggunakan mesin taip, saya menganggapnya sangat istimewa lantas mahu berkongsi rasa hati beliau dengan pembaca.

Antara lain beliau menulis: "Saya dah baca artikel (kolum) saudara di Suara Keadilan. Membaca artikel saudara, era GST (Gasak Sampai Tumbang tulis Asmaranda, hakikatnya adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan), orang miskin pun kena cukai. Realitinya negara Malaysia kaya tapi rakyatnya terbeban hutang.

"Saya pernah berbual dengan seorang pesara pegawai JKR. Katanya, hidup sebagai seorang pesara sekarang, mesti cari duit tambahan. Wang pencen tak cukup untuk menyara hidup anak bini, terutama yang hidup di bandar. Anak pesara itu tiga orang. Masih bersekolah. Nilai RM10 sekarang bersamaan RM1 dulu.

"Pengangguran sekarang ini ada di mana-mana. Ini gambaran sebenar. Jika orang pencen hidup susah, betapalah kalau orang bergaji kecil. Atau orang tak ada kerja atau baru dibuang kerja. 

"Ibu-ibu (wanita) sudah lumrah kelihatan berjualan kuih dan nasi lemak di tepi-tepi jalan atau di simpang-simpang lorong. Mereka berusaha menambah duit dapur. Ini menunjukkan ekonomi negara teruk.

"Tetapi anehnya, orang kita masih diajak berpesta. Jom heboh sana, jom heboh sini. Mereka yang datang berduyun-duyun orang kita. Ini gula-gula melekakan orang kita. Seperti cerita belalang dengan semut. Sang belalang dilekakan dengan pesta dan hiburan tetapi sang semut terus mengukuhkan ekonominya menghadapi zaman 'paceklik' (susah atau kekurangan makanan).

Asmaranda melanjutkan coretannya dengan mengkisahkan cerita gembira dan duka Pak Mat yang salah seorang daripada empat orang anaknya dapat masuk sekolah berasrama. Dia gembira anak cemerlang dalam pelajaran tetapi berduka mengenangkan perbelanjaan persekolahan seorang anak saja sudah beratus-ratus ringgit. Pak Mat terpaksa pajakkan kebun sawit dua ekar dan tapak rumahnya kepada seorang kaya kampung demi menampung perbelanjaan anak-anak.

Anak Pak Mat di asrama 'menggodam' Pak Mat meminta wang untuk membayar yuran asrama, komputer, perpustakaan dan yuran persatuan. Buntu Pak Mat kerana dia tak ada duit. Bukan tak ada langsung, tapi 'ngam-ngam' untuk makan minum mereka sekeluarga!

Isteri Pak Mat, Mak Lijah walaupun berusaha membantu suami dengan membuat dan menjual makanan ringan seperti rempeyek dan kerepek pisang, tidak dapat menolong. Jualannya tidak seberapa tetapi harga bahan asas seperti  pisang malah minyak dan gas sudah melambung naik. 

Dalam masa tak berduit ini, mereka 'kena bayar' bil elektrik dan air. Kata Pak Mat semua kena bayar segera kalau tak nanti bekalan kena potong. Kalau nak sambung balik, kena bayar denda dan kos pemasangan.

Memikirkan desakan anak untuk membayar yuran di sekolah asrama, Pak Mat nekad cari petai di tepi kebun dan hutan. Caranya dengan mengait dan memanjat pokok. Ada pokok petai tinggi menjulang, syukurlah Pak Mat tak jatuh...kalau tak dah jadi allahyarham.

Pak Mat yang menunggang motosikal buruk menjual petai di luar sebuah pasar di pekan tidak jauh dari rumahnya. Dia juga berjualan dari rumah ke rumah di sebuah kawasan perumahan berhampiran. Alhamdulillah, habis petai Pak Mat.

Besoknya Pak Mat menunggang motosikal untuk menghantar wang yuran sekolah berasrama anaknya. Bukan dekat 'beb', 40 kilometer pergi balik. Mampu tak 'kuda tua' ini 'mengharung' perjalanan sejauh ini, fikir Pak Mat ragu-ragu tetapi apa lagi pilihan yang ada? Naik teksi atau sewa kereta...oh dia tak mampu...duit dalam tangannya 'ngam-ngam' untuk jelaskan yuran si anak di asrama.

Lijah melihat dengan sayu suaminya pergi. Dia hanya masuk rumah selepas kelibat suami dan motosikalnya lenyap daripada pandangan. Hakikatnya rasa sayu Lijah itu membawa pengertian lebih hebat - suaminya meninggal dalam kemalangan - duit yuran sekolah asrama si anak masih ada dalam dompet wangnya!

Demikianlah derita Pak Mat dan keluarganya pada era 'paceklik' (GST) ini, kata Asmaranda. Hakikatnya ada ramai lagi Pak Mat di luar sana...persoalannya adakah pemimpin-pemimpin kita ambil peduli? Ya harga minyak naik lagi, apa pula selepas ini?

No comments: