Thursday, May 2, 2019

Semarak Ramadan...(3): Jika Israel ganas, bagaimana pula jirannya?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.

PEMBIMBING rombongan kami (seorang warga Palestin) di Baitulmaqdis ketika bersembang-sembang bertanya bagaimana layanan pihak berkuasa Israel tatkala kami memasuki bumi Palestin. 

Katanya, jika layanan buruk diberikan hal itu tidak menghairankan kerana keganasan rejim Zionis sudah termaklum di seantero dunia tetapi "kamu fikir-fikirkan bagaimana layanan pihak berkuasa (seperti imigresen) sebuah negara Arab ketika kamu pergi haji atau umrah?"

Beliau tidak melanjutkan persoalan itu manakala kami tidak menjawab pertanyaannya - ya masing-masing yang sudah pergi ke Tanah Suci faham apa  dimaksudkannya. 

Tanggal 8 April 2019, Israel mengadakan pilihan raya umum yang menyaksikan parti Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu menang buat kesekalian kalinya. Ya, apa erti kemenangan Netanyahu? Sebelum pilihan raya lagi Netanyahu berikrar merampas lebih banyak wilayah yang secara sah milik orang Arab Palestin; jadi selepas menang apa akan berlaku?

Turut terancam adalah kota suci Baitulmaqdis (Jerusalem) yang berkeluasan kira-kira 5,700 kilometer persegi. Kemenangan Netanyahu menjadikan dia makin 'besar kepala'. Apatah lagi dia mendapat lampu hijau 'pak saudaranya' Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru-baru ini mengesahkan Bukit Golan yang dirampas daripada Syria sebagai wilayah sah Israel dan tidak lama dulu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Apabila Israel di bawah Netanyahu semakin zalim termasuk memperhebatkan serangan di Gaza serta mengganas di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, penulis Barat, Robert Fisk daripada The Independent yang berpangkalan di Beirut, menyifatkan rejim Zionis kini menyamai jiran-jirannya yang sudah pasti negara-negara Arab. Jika Barat (Amerika dan sekutunya) boleh merelakan sebuah negara Arab membuat serta mengetuai pakatan tentera bagi mengebom dan memusnahkan Yaman, apalah sangat diperlakukan oleh Israel ini?

Jika Israel 'berkepala besar', negara-negara Arab pun teruk. Yang menjadi mangsanya adalah orang Palestin. Jika rejim Arab boleh membedil dan menghancurkan perkampungan Kurdis, Syiah atau Sunah, apalah sangat dengan tindakan pemimpin Israel membedil Gaza - apatah lagi ketika pilihan raya kerana mereka 'laparkan' undi - mereka mahu tunjuk mereka kuat dan berkuasa!

Israel berada dalam lingkungan negara-negara Arab; tetapi kerana semuanya  bernafsu-nafsi termasuk berlaku perpecahan di kalangan umat, tiada apa yang 'merisaukan' rejim Israel apatah lagi ia kini di bawah Netanyahu yang berikrar meneruskan keganasan,  Ya, rejim-rejim boneka dunia Arab terus 'bersandiwara'...yang menjadi mangsanya orang Palestin...

Kini apabila rejim Zionis Israel meningkatkan keganasan ke atas warga Palestin, apatah lagi menjelang Ramadan ini, penderitaan ini turut dirasai kita sejajar sebuah hadis yang bermaksud ummah adalah bersaudara, jika satu anggota merasai sakit, seluruh tubuh menanggungnya.

Bagaimanapun, ada pepatah Melayu menyebut, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Tentulah pikulan orang Palestin tidak terasa oleh kita tetapi apabila disatukan di bawah satu payung bernama Islam dan imam, maka permasalahan Palestin adalah permasalahan umat Islam; penderitaan mereka adalah penderitaan kita jua.

Isu Palestin adalah isu akidah, yang mana umat Islam sama-sama memikul tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Ini kerana Allah SWT telah memuliakan Masjid Al-Aqsa melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israk, ayat 1)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya): “Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga masjid - Masjid Al-Haram, Masjid Al-Aqsa dan Masjidku ini (Masjid Al-Nabawi, di Madinah al-Munawwarah).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bumi Palestin termasuk Baitulmaqdis telah diceroboh oleh tentera penjajah Zionis Israel. Masjid Al-Aqsa telah dikotori, diinjak-injak oleh golongan Yahudi yang melampui batas. Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam dan terletak di salah sebuah daripada tiga kota suci bagi Muslimin selepas Makkah dan Madinah.

Sepatutnya seluruh umat Islam berasa cinta untuk mempertahankan kesuciannya dan merasakan kehilangannya. Akan tetapi mereka semua masih nyenyak tidur! Ayuh umat, bangkit, bangkit, bangkit!

No comments: