Tuesday, December 11, 2018

Wartawan bermaruah mampu hidupkan akhbar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

BERAKHIRKAH era persuratkhabaran? Demikian satu pertanyaan menakutkan khususnya kepada penulis dan wartawan dilontarkan akhbar ini (Suara Keadilan, SK) dalam salah satu artikelnya pada isu 21 November lalu.

Sebagai insan yang terbabit dalam bidang ini sejak 1985 malah 'meng-alim-kan diri' dalam bidang ini ketika di universiti dulu, penulis terpanggil untuk memberi respons.

Ya berdasarkan apa yang penulis amat-amati ada kebenarannya kerana sebagai contoh anak-anak penulis seramai lima orang itu (berumur di antara 16 ke 29 tahun yang mungkin boleh dianggap mewakili generasi baharu), seorang pun tidak berminat membaca apatah lagi membeli akhbar...mereka asyik 'bergayut' dengan 'gajet' masing-masing termasuklah bagi mendapatkan perkhabaran terbaharu.

Nampak sangat mereka 'sudah ke depan' - tidak peduli akan dunia persuratkhabaran yang 'dulu' dan 'sehingga kini' diperjuangkan oleh 'orang tua' mereka (sayalah tu). Sedih mengenangkan hal ini tetapi itulah realitinya!

Namun membaca pandangan positif (jalan keluar) bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali mengenai merundumnya dunia persuratkhabaran termasuk akhbar SK yang diasaskan beliau adalah sesuatu yang melegakan.

Katanya, media cetak masih dapat bertahan jika isi kandungannya mempunyai nilai dan bersifat kritikal. "...sekiranya media cetak seperti akhbar mengetengahkan isu yang agak berlainan dengan apa yang ada di media sosial serta menjadi kritikal walaupun terhadap kerajaan, saya rasa ia masih boleh hidup." 

Di sinilah saya lihat betapa sidang pengarang (editor, penulis, wartawan dan sebagainya) yang berwibawa dan bermaruah dapat menyelamatkan dunia persuratkhabaran yang kian hari kian pudar itu.

Ya, tak lama lagi kita akan menyambut tahun baharu 2019, jadi marilah orang media bersama-sama mengembalikan maruah media massa yang teruk 'dijarah' oleh rejim lama yang tumpas pada PRU-14 tempoh hari.

Dulu masyarakat kritis melihat media massa terutama akhbar arus perdana sebagai bukan boleh dipercayai sangat, mereka penipu. Laporan akhbar bukannya semuanya betul. Daripada membazirkan masa membaca akhbar, lebih baik baca Quran, dapat juga pahala, kata sesetengahnya.

Wartawan buat laporan betul tetapi editor seleweng fakta, dakwa mereka. Ya, ada yang memperli bahawa dalam akhbar dua perkara saja betul – keputusan nombor ekor dan jadual waktu sembahyang. 

Sesuai pada era Malaysia Baharu sekarang ini selepas tersungkurnya rejim 'penindas media', adalah penting untuk mengembalikan 'maruah' dan 'kedudukan' orang media terutama dunia persuratkhabaran agar mendapat kembali kepercayaan rakyat lantas menyuburkan kembali industri ini.

Dulu ketika rejim lama, adalah lumrah etika kewartawanan yang dipelajari di sekolah-sekolah kewartawanan dilanggar semahu-mahunya. Wartawan bukan lagi bersifat pelapor; tetapi menyebelahi pihak-pihak yang disokong dan mahu dimenangkannya.

Paparan akhbar harian yang dikatakan media arus perdana itu, hampir semua bahannya menyokong satu pihak dan mencerca pihak lawannya. Pihak disokong diberi liputan meluas untuk membelasah lawannya, malangnya yang dibelasah tidak diberi ruang sedikit pun untuk membela diri. Apakah perkara seperti ini diajar di sekolah-sekolah kewartawanan?

Ya ketika itu laporan terlalu ‘senget’ (bias) sehinggakan orang awam pun berasa jijik dengan sesetengah media massa. Keadaan ini sebahagiannya menyumbangkan kepada 'pemboikotan' orang awam kepada sesetengah media terutama akhbar arus perdana menyebabkan jualan dan edarannya menjunam teruk.

Kini pada era Malaysia Baharu ini, adalah penting untuk akhbar sebagai sebahagian daripada media cetak mempunyai keistimewaan tersendiri (contohnya isi kandungan bernilai dan berani menjadi kritikal walaupun terhadap kerajaan seperti diperkatakan Dr Syed Husin) demi untuk terus hidup (survive) dalam era teknologi komunikasi yang sedang berkembang hebat!

No comments: