Saturday, December 29, 2018

Jangan lari... (23): Pemimpin berganti tetapi perjuangan berterusan...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

KITA kini di ambang tahun baharu 2019. Sepanjang tahun 2018 kita dapat menyaksikan sejumlah pemimpin datang dan pergi. Ada yang naik dan ada  jatuh. Segelintir yang tersembam, naik kembali, tetapi kebanyakannya tersungkur tak bangun-bangun lagi.

Pemimpin boleh datang dan pergi dan kerap kali tergelincir dan tersasar, tetapi perjuangan untuk hidup bersandarkan al-Quran dan hadis tetap akan diteruskan sehingga kiamat. 

Hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang, bukannya menjadikan tokoh ternama  sebagai sandaran perjuangan. 

Jika pun seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti. 

Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya. 

Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa. 

Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon semuanya hancur. Mungkin Bashar Asad atau Donald Trump si mulut celupar anti-Islam sedang menunggu gilirannya! 

Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'. Lihatlah 'si tokoh kecil' di sekeliling pemimpin besar sebagai misalannya. Ketika si besar merengkok dalam penjara, 'si tokoh kecil' ini berkokok menghina, tetapi selepas si besar dibebaskan, dia tidak malu-malu untuk kembali 'membodek'. 

Berhubung perjuangan melepasi batasan tokoh dan sempadan politik ini, penulis tertarik dengan perbicaraan seorang bekas pensyarah universiti dalam satu pertemuan tidak lama dulu. 

Berikut antara pesanan beliau: "Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana." 

Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat dan pergerakan Islam termasuk PAS sedangkan parti lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional. 

"Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global," katanya. 

Berdasarkan perkembangan semasa, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam. 

Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'. 

Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar. 

Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan. 

Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam. 

Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat atau, mereka akan dihancurkan. 

Kesimpulannya, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung. 

Bagi individu Muslim, JANGAN LARI kerana perjuangan itu adalah sepanjang hayat manakala jemaah Islam usaha menegakkan Islam akan berterusan sehingga hari kiamat!  

Tuesday, December 25, 2018

Jangan lari... (22): Tabung Haji usah khianati petani, penoreh, nelayan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
TABUNG HAJI sinonim dengan umat Islam Malaysia. Sejak saya bertugas secara tetap di sebuah akhbar arus perdana (1986-1998) dan Harakah (1999-2012) saya membuat potongan gaji setiap bulan untuk dicarum dalam akaun Tabung Haji saya dan anak-anak. 

Berdasarkan 'kesetiaan' saya kepada Tabung Haji, dengan rendah diri dalam kolum ini saya mencelotehkan hal berkaitan institusi ini demi kebaikan bersama.

Pada permulaan kerjaya saya sebagai wartawan, Tabung Haji adalah antara 'subjek fokus' yang diamanahkan kepada saya. Maka keraplah saya hadiri majlis dianjurkan institusi ini; dan di sanalah saya mengenali dan berkesempatan mewancara 'orang besarnya'.

Dalam sebuah rencana utama yang disiarkan oleh akhbar itu pada 18 Ogos 1988 dengan tajuk 'Mewujudkan sistem kewangan tanpa riba' antara lain saya menulis: "Sebuah keluarga 10 orang yang tinggal di pinggir sebuah bandar baru-baru ini menerima tujuh pucuk surat yang tertera perkataan 'Tabung Haji' di sampulnya (dulu pendeposit Tabung Haji tidak mempunyai buku akaun bank, apatah lagi penggunaan kad ATM; setiap pelanggan akan menerima penyata kewangan mereka enam bulan sekali).

"Surat itu mengandungi penyata setengah tahun Tabung Haji mengenai jumlah wang yang disimpan dan bonus yang diterima oleh setiap ahli (hanya untuk penyata akhir tahun). 

"Penyata si ayah menunjukkan simpanannya berjumlah $2.41 (ketika itu RM belum dipakai), si ibu $56, seorang anak yang sudah bekerja RM360 dan empat lagi anak yang masih bersekolah di antara $2 dan $3. 

"Keluarga ini mempunyai kesedaran mengenai kepentingan menyimpan kerana tujuh daripada 10 ahli keluarga sudah membuka akaun di Tabung Haji tetapi kerana sebab-sebab tertentu jumlah simpanan mereka terlalu kecil dan sebahagiannya tidak membuat tambahan sejak simpanan pertama."

Demikian betapa daifnya penyimpan Tabung Haji masa itu; hal ini perlu direnungkan oleh semua pihak terutama 'orang besar' institusi ini serta pemimpin negara. Apabila 'direnung-renungkan' hal ini, maka insya-Allah tidaklah sampai hati untuk 'merembat', 'menganiaya' atau mengkhianati amanah rakyat marhain yang hampir semuanya menanam hasrat berkobar-kobar untuk menunaikan Rukun Islam kelima - haji.

Pengarah Besar Tabung Haji ketika itu, Haji Ahmad Haji Yeop Abdul Hamid berkata 90 peratus daripada 1.1 juta penyimpan mempunyai kurang RM1,000 dalam akaun masing-masing. Malah sebahagian besar penyimpan tidak aktif kerana ramai menganggap simpanan adalah untuk menunaikan haji saja, selepas haji mereka mengabaikannya.

Tabung Haji, kata Haji Ahmad bercita-cita dan berwawasan tinggi. Ia mahu mewujudkan sistem kewangan tanpa riba dan ini merangkumi pinjaman membeli rumah untuk ahlinya. Inilah cita-cita besar Tabung haji (yang pertama pastilah berkaitan urusan jemaah haji) dan selain perumahan, ia mahu mewujudkan perkhidmatan bebas riba dalam bidang kehidupan lain seperti pembelian kenderaan dan modal perniagaan.

Kini sudah hampir 30 tahun berlalu; Tabung Haji sudah muncul sebagai sebuah institusi kewangan terkemuka tanah air. Penyimpannya sudah lebih lapan juta orang. Kegiatan perniagaannya amat luas; persoalannya setakat yang saya tahu (maafkan jika saya tersilap) Tabung Haji tidak pernah membuat tawaran terbuka kepada penyimpan (seperti saya) untuk membuat pinjaman membeli rumah atau kenderaan bebas riba. Ya, tak pernah ada tawaran seperti itu.

Kepada 'orang besar' Tabung Haji sekarang dan dulu (termasuklah pemimpin dan bekas pemimpin negara), ingat-ingatlah apa yang dijanjikan oleh Haji Ahmad kepada pendeposit 30 tahun lalu antaranya wang simpanan digunakan bagi pelaburan yang HALAL dan BERSIH di sisi hukum syarak.

Sehubungan itu, usahlah LARI daripada amanah yang diberikan rakyat; simpanan mereka di Tabung Haji adalah hasil jerih perih mereka daripada usaha menanam padi, menoreh getah dan menangkap ikan - adakah anda hendak pecah amanah wang mereka yang disimpan secara berdikit-dikit...RM5, RM10 dan RM50? 

Sunday, December 23, 2018

Deklarasi OIC Kaherah jamin hak asasi

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

KETIKA negara kita sekarang ini menghadapi isu perkauman mencabar (dimainkan oleh pihak tertentu), sebagai wartawan yang dulunya kerap ditugaskan membuat liputan mengenai Pertubuhan Persidangan (kini Kerjasama) Islam (OIC), saya teringat akan Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia.

Diharapkan dengan merujuk kembali deklarasi ini, sekurang-kurangnya ia dapat dijadikan 'sekelumit panduan' dalam kita menangani permasalahan perkauman negara kita yang akhir-akhir ini disemarakkan oleh politikus berkepentingan dan mempunyai agenda tersendiri.

Ya, di bumi Mesir, Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam diisytihar dan dikeluarkan pada Persidangan Menteri Luar Islam OIC ke-19 di ibu kota negara Afrika Utara itu pada 5 Ogos 1990. 

Sebanyak 57 negara menandatanganinya; melalui dokumen itu, negara anggota OIC amat menyedari kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di bumi dan menyedari kepentingan mengeluarkan sebuah dokumen tentang hak asasi manusia dalam Islam yang akan menjadi garis panduan buat negara ahli dalam semua aspek kehidupan.

Deklarasi Kaherah memperakui peranan sejarah dan pemeradaban umat Islam yang dijadikan Tuhan sebagai umat yang terbaik yang telah menyumbang kepada manusia sebuah peradaban sejagat dan seimbang dalam mana keharmonian antara kehidupan ini dan kehidupan alam kemudian dicapai dan dalam mana ilmu digabungkan dengan iman; dan peranan yang harus dimainkan ummah ini untuk membimbing manusia yang terkeliru dengan trend dan idoleogi-ideologi yang saling bersaing dan untuk menyediakan penyelesaian buat masalah-masalah kronik yang dihadapi peradaban materialistik ini.

Ia juga berhasrat untuk menyumbang kepada usaha-usaha manusia sejagat untuk menonjolkan hak-hak asasi manusia, untuk memelihara manusia daripada eksploitasi dan penindasan, dan untuk menyatakan kebebasan serta haknya terhadap kehidupan yang terhormat sesuai dengan Syariah Islam.

Dalam dekralasi  ada dinyatakan kehidupan adalah kurnia Tuhan dan hak kepada kehidupan dijamin buat SETIAP MANUSIA. Menjadi tanggungjawab individu, masyarakat dan negara untuk memelihara hak ini daripada dicabul, dan adalah dilarang MENGAMBIL NYAWA melainkan dengan alasan yang dibenarkan Syariah.

Ia juga menyatakan diilarang mengambil tindakan yang memungkinkan penyelapan genosid manusia sejagat, pemeliharaan nyawa manusia sepanjang tempoh yang ditentukan Tuhan menjadi tanggungjawab yang diperintahkan Syariah dan keselamatan daripada kecederaan jasad adalah hak yang dijamin. Menjadi tanggungjawab negara untuk memeliharanya, dan dicegah pelanggarannya tanpa sebab yang ditetapkan Syariah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga pernah mengeluarkan sebuah artikel bagi menggalakkan keharmonian kaum; ya amat bermanfaat untuk setiap daripada kita meneliti pandangan golongan beriman, berilmu, beramal dan mahu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran ini.

Menurut Mufti, dalam kemelut, pergeseran dan salah faham antara agama di Malaysia,  mereka terpanggil untuk mengulas isu ini setelah mendapat satu perkhabaran yang menarik dari Sarawak. Mereka mendapat info bahawa Masjid An-Naim dan Gereja The Good Shepherd di Lutong, Sarawak yang jaraknya hanya 100 meter mengambil inisiatif berkongsi kawasan meletak kenderaan. Pada setiap hari Jumaat, pengurusan gereja akan membuka kawasan parkir untuk kegunaan umat Islam manakala pada setiap hari Ahad, pihak pengurusan masjid pula membuka kawasan parkir untuk kegunaan penganut Kristian.
Pejabat Mufti memetik ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” - Surah al-Hujurat: 13
Katanya, kita semua diciptakan daripada seorang ibu (Hawa) dan seorang ayah (Adam) dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.
Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. 
Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara, demikian menurut Pejabat Mufti yang boleh menjadi garis panduan kita menjalani kehidupan dalam masyarakat majmuk sekarang ini!

Wednesday, December 19, 2018

Jangan lari... (21): Ingatkan anak-anak masa depan di tangan Allah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
SEORANG penceramah motivasi  yang diundang berucap di sebuah sekolah menengah beberapa bulan menjelang peperiksaan awam SPM dan STPM meluahkan 'rasa terkilan' apabila pengetua sekolah itu yang berucap bagi merumuskan perjumpaan menegaskan beberapa kali kepada pelajar: "Ingat SPM dan STPM ini adalah penentu masa depan kamu!"

Penceramah itu berkata kalaulah dia diberi peluang berucap selepas pengetua itu bolehlah dia 'secara lawak cuba-cuba membetulkan' kata-kata semangat "Ingat SPM dan STPM ini adalah penentu masa depan kamu!"

Beliau berkata dari segi akidah, ingatan itu sudah terpesong, tidak bolehlah kita sebagai manusia menyatakan kejayaan peperiksaan adalah penentu masa depan seseorang. "Sekalipun untuk memberi semangat kepada pelajar, kata-kata yang diucapkan perlu difikirkan secara mendalam akan maksudnya," katanya.

Penceramah itu berkata, bercakaplah secara benar bahawa kita ini makhluk lemah, jadi mintalah pertolongan kepada Allah SWT...apa, adakah kita malu untuk menyatakan bahawa Allah yang menentukan masa depan kita? Demikianlah, betapa banyak pelajar kurang cemerlang dalam SPM dan STPM berjaya dalam hidup dan tidak kurang juga pelajar terbaik kurang berjaya dalam kehidupan.

Kejayaan dalam kehidupan pula mempunyai pelbagai tafsiran...apakah berjaya itu bermaksud seseorang pelajar cemerlang dalam SPM atau STPM seterusnya memasuki universiti, mendapat pekerjaan baik bergaji besar seterusnya berpangkat tinggi serta berharta banyak?

Seorang ustaz dalam kuliah dwi-mingguannya yang sering saya hadiri, cukup kesal dengan sikap sesetengah anggota masyarakat yang meletakkan sijil sebagai penentu masa depan anak-anak. Mereka yakin lebih tinggi sijil diperolehi (daripada sijil UPSR kepada SPM, STPM seterusnya ijazah) maka cerahlah masa depan seseorang sebaliknya mengutuk anak-anak 'tak bersijil' seperti pelajar tahfiz kononnya tidak mempunyai masa depan.

"Sekarang ini budak-budak tahfiz sudah buktikan...ada yang sudah jadi 'lawyer' (peguam) dan pensyarah sedangkan kita tahu ribuan orang berijazah pun sedang menganggur. Ini menunjukkan sijil-sijil bukanlah penentu masa depan, yang berkuasa menentukan masa depan kita hanyalah Allah SWT," katanya.

Beliau mendakwa 'kegilaan' masyarakat bagi anak-anak mereka mendapatkan sijil cemerlang dengan deretan 'A' menyebabkan agama seolah-olah digunakan dalam keadaan dan masa-masa diperlukan saja. "Misalnya, menjelang peperiksaan, sekolah mengundang ibu bapa dan anak-anak untuk solat hajat dan baca Yassin...kita bimbang kerana ada kajian menunjukkan ramai anak-anak kita yang tidak cukup solat waktunya dalam sehari malah ada yang tidak solat sama sekali...jadi sewajarnya kita berusaha agar anak kita dapat menunaikan solat dengan sempurna setiap hari."

Akibat terlalu memberi penekanan kepada kejayaan akademik seperti meluahkan kata-kata "SPM, STPM penentu masa depan kamu" pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku. Tindakan meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam pelajaran memberikan tekanan bukan saja kepada pelajar malah ibu bapa, guru, sekolah dan masyarakat.

Baru-baru ini seorang pelajar dilaporkan membunuh diri dikatakan kecewa tidak dapat menjawab kertas peperiksaan Matematik Tambahan SPM yang didudukinya. Mana tidak 'tension' kerana sejak awal-awal lagi sudah dipasak ke minda murid "SPM ini penentu masa depan kamu."

Mungkin kerana takut masa depannya tiada lagi 'kerana SPM-nya sudah lingkup', pelajar berkenaan dikhuatiri mengambil jalan mudah dengan membunuh diri. 

Sehubungan itu, diharapkan 'orang kepercayaan' anak-anak seperti ibu bapa dan guru (termasuk pengetua) berhati-hati tatkala mereka memberi nasihat dan mengungkapkan kata-kata perangsang kepada pelajar! JANJAN LARI daripada tanggungjawab ini.

Tuesday, December 18, 2018

Malaysia Baharu tak perlu pembaziran makanan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SESEKALI saya sekeluarga bertukar selera - makan di restoran Arab. Biasanya makanan Arab disediakan dalam 'portion' (hidangan) besar. Kerap benar kami tidak mampu menghabiskannya. 

Apa yang menggembirakan di restoran Arab kita boleh meminta pelayan 'mentapau' (membungkus) lebihan makanan untuk dibawa pulang. Mereka selalunya gembira melakukannya - buktinya selain senyum mereka memasukkan makanan itu bungkusan baru yang kemas dan cantik. Mereka tidak merungut sikit pun.

Namun ketika makan di gerai atau restoran Melayu saya tidak pernah meminta pelayan membungkus makanan yang tak habis di makan. Sebab apa? Ini kerana muka pekerja atau pemilik kedai dilihat kerap masam mencuka menakutkan pelanggan. Saya pun tidak pernah menyaksikan pelanggan yang meminta makanan yang tak dihabiskan, dibungkus untuk dibawa pulang.

Yalah, kerap benar di gerai atau restoran, saya lihat makanan yang masih berbaki separuh atau suku pinggan dibuang begitu saja. Di majlis orang kahwin pun sama. Ada tetamu mengambil nasi dan lauk bertimbun. Ramai tetamu  makan tak habis, dan paling menyedihkan mereka membasuh tangan di atas lebihan makanan itu. Malah ada yang menggunakan ketulan nanas dan potongan buah limau untuk mencuci (meramas) tangan - kononnya bagi menghilangkan kesan minyak.

Demikianlah, sayang seribu kali sayang, ramai orang melakukan pembaziran makanan; mungkin sesetengahnya tidak pedulikan langsung sebuah hadis yang menyebut bahawa pembaziran itu adalah kawan syaitan.

Berdasarkan senario ini dan di pelbagai tempat lagi, statistik menunjukkan  jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia. Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.

Berdasarkan ini, kita berpendapat kerajaan Malaysia Baharu dan rakyatnya perlu mengubah orientasi dalam bab mengenai makanan ini. Dulu rejim lama dilhat terlalu 'menekankan' mengenai 'bab makan' ini - sebagai contoh pada ketika pegawai bermesyuarat atau berkhusus 'makanan adalah mewah' sehingga ada mendakwa 'mereka makan lima kali sehari'. Demikian juga majlis perjumpaan politik atau hari terbuka perayaan...rakyat 'diajar' untuk makan dan makan! Di sini banyak berlaku pembaziran makanan...jika bapa (pemimpin) borek, anak (rakyat) rintek.

Baru-baru ini Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan satu laporan yang menyatakan Perancis sebagai negara paling kurang membazir makanan. Pengguna di negara ini membuang kira-kira 67.2 kilogram makanan setiap orang setahun berbanding 95.1kg di Amerika Syarikat, 87.1kg di Belgium dan 78.2kg di Kanada.

Di Perancis sudah diperkenal peraturan semua pasar raya wajib 'menyedekah' produk makanan lama kepada rumah kebajikan demi elak pembaziran. Ya kenapa agaknya di negara maju Barat boleh dikurangkan pembaziran makanan sedangkan di  negara kita malah di negara Arab/Islam yang kaya raya seperti  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berlaku pembaziran makanan yang melampau? Dilaporkan di UAE, 500 tan makanan dibuang setiap hari pada bulan Ramadan.

Ada cendekiawan mengesyorkan Akta Pembaziran Makanan di­wujudkan di negara ini bagi me­ngatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

Akta ini perlu diperkenalkan segera dan pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk pe­nalti boleh diwujudkan untuk diambil terhadap individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran tanpa me­ngira waktu dalam negara ini. Yalah, adalah baik untuk kita memikirkan hal ini walau sejenak cuma!

Thursday, December 13, 2018

Jangan lari... (20): Kubur kian hari kian hampir...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
BERSYUKUR ke hadrat Illahi, insya-Allah jika dipanjangkan usia; kita akan memasuki tahun 2019 tak sampai sebulan lagi. Ini bermakna bertambahlah usia kita tetapi hakikatnya semakin hampir kita ke penghujungnya, memasuki alam barzakh (kubur) yang pasti dilalui setiap yang bernyawa. 
Berdasarkan hakikat ini, marilah kita mulai saat ini membuat 'pecutan terakhir' dengan 'segala yang ada' pada diri kita demi memburu keredaan-Nya. Hendaklah kita ingat bahawa segala yang kita sama ada kemewahan, kuasa, pangkat serta keseronokan dunia atau kepahitannya seperti kekalahan pilihan raya, penderitaan penyakit dan kesengsaraan menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sekarang ini hanyalah bersifat sementara; semuanya akan berakhir apabila nyawa direnggut daripada tubuh (mati).
Sebelum kita memasuki kubur (siapa boleh LARI daripada hal ini?), pergunakan 'segala yang kita ada' sebagai modal untuk kita mendapat keredaan Illahi. Bukankah Nabi yang kita kasihi, Muhammad s.a.w. mengingatkan kita supaya mempergunakan lima perkara (muda, berada, lapang, sihat dan hidup) sebelum datang lima perkara (tua, miskin, sibuk, sakit dan mati). Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal pula mengingatkan kita tentang umur, di mana dihabiskan; demikian juga tentang masa remaja, harta dan ilmu; apa yang telah kita lakukan. 
Berdasarkan perkembangan semasa, kita boleh mengambil iktibar daripada pelbagai peristiwa bagi membantu kita mengkoreksi (muhasabah) diri di samping menyemarakkan semangat kita berkorban bagi mendapat keredaan-Nya. 
Di peringkat antarabangsa kita melihat syahidnya ulama seperti Sheikh Ramadan Al-Butti sebagai kayu pengukur pengorbankan kita - apakah kita sudah bersedia melakukan pengorbanan peringkat tertinggi sehingga mempertaruhkan hatta nyawa kita demi mendaulatkan Islam? 
Selepas itu kita bertanya; apakah harta yang sudah kita korbankan untuk Islam? Apakah kita benar-benar sudah mengorbankan harta kita atau setakat sikit-sikit saja; tentunya kita akan teramat malu kerana usaha kita itu tidak sekelumit pun dapat dibandingkan dengan Ummu Mukminin Sayidatina Khadijah Khauwalid yang mengorbankan segala yang beliau ada demi Islam sehingga ketika nazaknya menawarkan tulang belulangnya kepada Rasulullah jika itu dapat digunakan untuk menegakkan Islam. 
Demikian juga masa kita; bagaimana sudah kita guna dan habiskan? Apakah selama ini kita menyia-yiakannya dengan melepak di depan TV atau di kedai berjam-jam lamanya? Insafkan dengan kisah perjuangan golongan lampau termasuk sahabat, tabien, tabik tabien dan ulama.
Bagi orang berilmu, bagaimana sumbangan kita dalam bidang ini? Apa, adakah ilmu kita sudah manfaatkan untuk kepentingan agama kita atau kita gunakan untuk kepentingan peribadi semata-mata atau lebih buruk lagi kita menyimpannya saja atau berbuat maksiat dengannya? Dengan ilmu dan kuasa yang ada, kita memaksiat kepada-Nya dengan melakukan rasuah, menipu dalam pilihan raya dan menahan orang tanpa bicara. Malah yang lebih dahsyat lagi dengan ilmu yang kita ada; kita memutar-belitkan hukum; seperti yang haram kita cari dalil untuk menghalalkannya. 


Kesimpulannya bagi 'orang berakal', pergunakan 'segala sumber yang kita ada' untuk mendapat keredaan-Nya. Pada diri kita sendiri, kedapatan banyak 'sumber-sumber' itu; misalnya mulut kita gunakannya untuk melakukan segala kebaikan seperti menunaikan tanggungjawab agama seperti beribadat, berdakwah dan berzikir, sebaliknya jangan menggunakannya untuk melakukan maksiat.

Tuesday, December 11, 2018

Wartawan bermaruah mampu hidupkan akhbar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

BERAKHIRKAH era persuratkhabaran? Demikian satu pertanyaan menakutkan khususnya kepada penulis dan wartawan dilontarkan akhbar ini (Suara Keadilan, SK) dalam salah satu artikelnya pada isu 21 November lalu.

Sebagai insan yang terbabit dalam bidang ini sejak 1985 malah 'meng-alim-kan diri' dalam bidang ini ketika di universiti dulu, penulis terpanggil untuk memberi respons.

Ya berdasarkan apa yang penulis amat-amati ada kebenarannya kerana sebagai contoh anak-anak penulis seramai lima orang itu (berumur di antara 16 ke 29 tahun yang mungkin boleh dianggap mewakili generasi baharu), seorang pun tidak berminat membaca apatah lagi membeli akhbar...mereka asyik 'bergayut' dengan 'gajet' masing-masing termasuklah bagi mendapatkan perkhabaran terbaharu.

Nampak sangat mereka 'sudah ke depan' - tidak peduli akan dunia persuratkhabaran yang 'dulu' dan 'sehingga kini' diperjuangkan oleh 'orang tua' mereka (sayalah tu). Sedih mengenangkan hal ini tetapi itulah realitinya!

Namun membaca pandangan positif (jalan keluar) bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali mengenai merundumnya dunia persuratkhabaran termasuk akhbar SK yang diasaskan beliau adalah sesuatu yang melegakan.

Katanya, media cetak masih dapat bertahan jika isi kandungannya mempunyai nilai dan bersifat kritikal. "...sekiranya media cetak seperti akhbar mengetengahkan isu yang agak berlainan dengan apa yang ada di media sosial serta menjadi kritikal walaupun terhadap kerajaan, saya rasa ia masih boleh hidup." 

Di sinilah saya lihat betapa sidang pengarang (editor, penulis, wartawan dan sebagainya) yang berwibawa dan bermaruah dapat menyelamatkan dunia persuratkhabaran yang kian hari kian pudar itu.

Ya, tak lama lagi kita akan menyambut tahun baharu 2019, jadi marilah orang media bersama-sama mengembalikan maruah media massa yang teruk 'dijarah' oleh rejim lama yang tumpas pada PRU-14 tempoh hari.

Dulu masyarakat kritis melihat media massa terutama akhbar arus perdana sebagai bukan boleh dipercayai sangat, mereka penipu. Laporan akhbar bukannya semuanya betul. Daripada membazirkan masa membaca akhbar, lebih baik baca Quran, dapat juga pahala, kata sesetengahnya.

Wartawan buat laporan betul tetapi editor seleweng fakta, dakwa mereka. Ya, ada yang memperli bahawa dalam akhbar dua perkara saja betul – keputusan nombor ekor dan jadual waktu sembahyang. 

Sesuai pada era Malaysia Baharu sekarang ini selepas tersungkurnya rejim 'penindas media', adalah penting untuk mengembalikan 'maruah' dan 'kedudukan' orang media terutama dunia persuratkhabaran agar mendapat kembali kepercayaan rakyat lantas menyuburkan kembali industri ini.

Dulu ketika rejim lama, adalah lumrah etika kewartawanan yang dipelajari di sekolah-sekolah kewartawanan dilanggar semahu-mahunya. Wartawan bukan lagi bersifat pelapor; tetapi menyebelahi pihak-pihak yang disokong dan mahu dimenangkannya.

Paparan akhbar harian yang dikatakan media arus perdana itu, hampir semua bahannya menyokong satu pihak dan mencerca pihak lawannya. Pihak disokong diberi liputan meluas untuk membelasah lawannya, malangnya yang dibelasah tidak diberi ruang sedikit pun untuk membela diri. Apakah perkara seperti ini diajar di sekolah-sekolah kewartawanan?

Ya ketika itu laporan terlalu ‘senget’ (bias) sehinggakan orang awam pun berasa jijik dengan sesetengah media massa. Keadaan ini sebahagiannya menyumbangkan kepada 'pemboikotan' orang awam kepada sesetengah media terutama akhbar arus perdana menyebabkan jualan dan edarannya menjunam teruk.

Kini pada era Malaysia Baharu ini, adalah penting untuk akhbar sebagai sebahagian daripada media cetak mempunyai keistimewaan tersendiri (contohnya isi kandungan bernilai dan berani menjadi kritikal walaupun terhadap kerajaan seperti diperkatakan Dr Syed Husin) demi untuk terus hidup (survive) dalam era teknologi komunikasi yang sedang berkembang hebat!

Friday, November 30, 2018

Jangan lari... (19): Perlukah 'berbogel' apabila bersukan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
SESEKALI ketika menghadiri kelas-kelas agama hatta mengikuti rancangan agama di radio atau televisyen, terasa diri 'terpukul' dengan 'kebodohan' dan 'kejahilan' diri sendiri dan masyarakat dalam melayari kehidupan dunia fana ini.
Pada suatu ceramah, seorang ustaz menyentuh bab sukan - katanya 'apa ke bendanya' ketika suatu-suatu temasya sukan terutama yang 'besar-besar' bermula dengan larian membawa obor. "Ini budaya mana ni?" katanya.
Sang ustaz berkata: "Upacara membawa lari api dan menyalakan api dalam acara sukan adalah daripada ajaran Majusi, dan jika diikuti oleh orang Islam boleh merosakkan akidah..."
Yalah, orang Greek, Yunani, orang Majusi berlari membawa api atau menyembahnya...jadi tak jahilkah kita jika sama-sama hidupkan budaya mereka?
Syukur alhamdulillah, baru-baru ini kita mendengar kerajaan negeri Terengganu akan mengemukakan sukan mengikut kehendak agama seperti melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri itu bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran termasuk dalam aspek sukan bagi memastikan ia bertepatan dengan tuntutan agama Islam.
Lebih 10 tahun lalu Ruqaya Al-Ghasara, atlet Qatar melalui Sukan Asia telah membuktikan pemakaian menutup aurat (hijab) tidak menghalang beliau bersukan malah bergelar juara pula. Ruqaya adalah sebutir permata yang bersinar dalam selutan lumpur. Mungkin ada seorang Ruqaya dalam 1,000 atau satu juta insan yang mendabik dada mengaku Muslim.
Ruqaya yang aktif membabitkan diri dalam masyarakat adalah lebih baik daripada Ruqaya yang beruzlah - menjalankan tanggungjawab agama tetapi menyepikan diri, tidak bercampur gaul dengan masyarakat.

Penulis percaya untuk menjadi Ruqaya yang muncul di kaca TV dan dada-dada akhbar sebagai seorang juara lengkap dengan identiti Muslimahnya, pasti melalui 1,001 ranjau dan duri. Biarlah Ruqaya menjadi idola baru, menjadi contoh kepada anak-anak termasuk anak gadis penulis sendiri dalam bidang sukan. Tidak salah untuk bersukan - renangkah, gimramakah, larian pecutkah, bola jaringkah, bola tampar pantaikah - semuanya boleh dengan syarat mematuhi syariat agama.

Dulu ketika remaja, penulis seronok melihat aksi sang juara badminton, Misbun Sidek. Tetapi ketika asyik menyaksikan pukulan pancung jagoan badminton dari Banting ini, terfikir pula penulis alangkah bagus jika Misbun pakai seluar panjang. Kalau pakai seluar panjang, aurat dapat jaga, juara pun boleh dapat. Pada fikiran penulis, sebagai juara tentulah Misbun ada suara untuk memakai pakaian menutup aurat. Ketika 'top', dia boleh 'demand', tentulah pegawai-pegawai sukan dan penganjur kejohanan akan ikut cakapnya. Penulis fikir Misbun layak berseluar panjang sebab ketika dia 'top' dulu ramai orang cakap Misbun ini warak orangnya. Kalau dah warak, tentulah dia akan fikirkan penampilannya.

Demikian juga masa bersukan. Kalau dah warak, takkan boleh 'start' permainan jam 7.00 malam. Solat maghrib bagaimana? Masa tengah 'top' buatlah 'demand'. Desak agar permainan dimulakan lebih lewat lagi bagi memberi peluang pemain, pegawai dan penonton Muslim untuk solat. Tetapi ahli sukan Muslim kita tidak buat begitu, tidak 'demand', jadi dari dulu sampai sekarang ada permainan bermula jam 7.00 atau 8.00 malam.

Atlet atau sesiapa saja yang terbabit dalam sukan, kalau ada semangat keislaman seperti Ruqaya, tentulah hal ini dapat diatasi. Kecintaan mereka untuk menunaikan suruhan agama akan mencairkan pembuat dasar dan peraturan yang bersikap kuku besi.

Hakikatnya dalam kehidupan harian seorang Muslim, kebanyakan daripada kita pandai 'menyesuaikan' dirinya dengan suasana, hidup bagaikan sumpah-sumpah. Apabila suasana memerlukan kita jadi baik, maka kita jadi baik. Tetapi apabila suasana memerlukan kita jadi jahat, kita pun jadi jahat.

Ambil kisah haji dan umrah sebagai contoh. Semua jemaah baik-baik belaka. Semua bertudung litup. Yang lelaki pula ramai yang berjubah macam syeikh Arab. Tidak ada yang dedah aurat.

Tetapi apabila kembali ke tanah air, lain halnya. Ada sesetengah itu, sudah tidak lagi memakai tudung. Bukan saja tidak bertudung, ada yang berani dedah sana, dedah sini. Di Makkah kenapa tak buat benda yang sama, bukankah Tuhan itu ada di mana-mana saja.

Di masjid orang patuh suruhan agama. Yang perempuan bertudung. Yang lelaki juga menutup aurat. Tiada orang perempuan yang pergi masjid dalam keadaan 'togel'. Tetapi itu di masjid saja. Keluar masjid, seolah-olah peraturan agama sudah tak ada lagi.

Orang pergi kelas agama pun baik-baik belaka. Tetapi kenapa di kelas agama saja, tidak di pejabat dan tempat lain seperti pasar, kompleks beli belah dan stesen bas dan jalan raya.

Kerana mengamalkan hidup bagai sumpah-sumpah ini, ketika membicara hal agama, kita macam orang baik-baik tetapi di pejabat dan jalan raya, kita melakukan perkara mungkar seperti rasuah. Kemungkaran ini berleluasa seolah-olah agama itu terkurung dalam masjid, dalam amalan khusus seperti solat, haji dan puasa. Selain daripada itu, kita tidak terikat kepada hukam-hakam agama.

Berhubung tindakan terpuji Ruqaya, penulis syorkan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya memperjuangkan hak wanita Islam untuk berpakaian serupa (menutup aurat) dalam kejohananan antarabangsa lebih besar seperti Sukan Dunia, Olimpik dan Komanwel. Kalau hal ini pun tidak dapat diperjuangkan oleh OIC, entahlah, OIC mahu perjuangkan apa agaknya? JANGAN LARI daripada tanggungjawab ini!