Sunday, November 12, 2017

Titipan Seorang Pesara (5): 'Muhasabah untuk yang berkopiah, berjubah'...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

SUATU petang saya sampai awal di sebuah masjid untuk solat asar berjemaah. Saya berehat dulu dalam kereta; ketika itu seorang lelaki berserban besar dan berjubah putih memakir keretanya di depan kereta saya.

Dia menghisap rokok. Dia keluar dan selepas puas menghisap agaknya, dia mencampakkan pontong rokok berapi itu betul-betul di laluan pintu masuk masjid. 

Saya terkejut melihat kelakuannya kerana bagi saya seorang 'syeikh berserban besar' menghisap rokok di pekarangan masjid menyalahi adab manakala perbuatannya mencampakkan pontong rokok di muka pintu masjid amat memalukan.

'Syeikh' itu kemudian memasuki masjid. Saya ke tandas dulu dan ketika dalam masjid mata saya sesekali saya melirik mencari-cari lelaki itu. Ketika solat akan didirikan, lelaki berserban besar itu melaungkan iqamah...namun tidaklah saya tahu sama ada dia bilal masjid itu atau bukan kerana ketika azan saya berada di ruang wuduk.

Bagi saya perbuatan 'syeikh' itu menghisap rokok dan mencampakkan pontong rokok menyalahi adab dan patut ditegur. Saya memikirkan kaedah untuk menegurnya. Selepas solat sebelum imam memulakan zikir dan berdoa, saya cepat-cepat beredar ke belakang, mencari sekeping kertas dan menulis perkataan ini: "Assalamualaikum wbt saudara yang dikasihi; menghisap dan mencampakkan pontong rokok di depan masjid adalah kurang sopan. Berakhlaklah!" 

Saya kemudian melekatkan nota itu di 'wiper' keretanya, disertakan sekali dengan pontong rokok yang dibuangnya. Selepas itu saya cepat -cepat memasuki kereta saya dan vrooommmm pergi. Alhamdulillah, selepas 'blah', dari cermin dalam kereta saya dapat lihat 'syeikh' itu telah sampai ke keretanya dan menarik nota berkenaan. Saya menekan pedal minyak kereta lebih kuat untuk segera berlalu dari situ.

Saya 'tak dapat tahan' dengan kelakuan kurang sopan 'syeikh' itu kerana berdasarkan pengalaman saya berinteraksi dengan sejumlah orang bukan Islam, ada yang kurang senang dengan orang berserban, berkopiah dan berjubah' kerana seorang dua daripada mereka yang berkelakuan buruk menepati peribahasa kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga.

Orang bukan Islam, kerana melalui pengalaman buruk dengan orang sebegini, habis semua orang 'berpakaian baik-baik' dipandang serong. Misalnya, seorang lelaki Cina, tauke bengkel motosikal yang sudah lama saya berkawan dengannya, menyelar 'pak-pak haji' sebagai mereka yang tak boleh dipercayai berdasarkan pengalaman dia dengan seorang pak haji.

Beliau mendakwa pak haji itu berhutang RM400 dengan dia kerana menghantar motosikal anaknya untuk dibaiki di bengkelnya. Selepas dibaiki, anaknya telah ambil motosikal itu dan berkata bapanya akan bayar. Tauke Cina itu mendakwa sudah beberapa kali dia berjumpa pak haji itu menuntut bayaran tetapi pak haji itu enggan bayar.

Sudah bertahun-tahun pak haji itu mengelak daripada membuat bayaran sehingga Cina itu menjadi benci dan jelak. Dia lantas membuat kesimpulan, pak-pak haji memang tidak boleh dipercayai. 

Saya yang 'berkopiah' (pak haji) tersentak dan terpukul dengan pandangan umum Cina bengkel itu dan bagi 'menjernihkan pandangannya' kepada pak-pak haji, suatu hari saya menyerahkan kepadanya RM400 dan berkata: "kira 'settle'lah hutang pak haji itu. Lu jangan beritahu apa-apa sama dia...diam-diam saja sudahlah..."

Ya, saya sudah lama berkawan dengan Cina bengkel motor itu. Kerana itu, saya 'bebas' bercakap hampir apa saja dengannya. Saya gunakan peluang itu mengajak dia masuk Islam...tetapi nampaknya ada orang Islam malah pak haji lagi berkelakuan buruk (seperti enggan membayar hutang) jadi Cina bengkel itu ada tanggapan buruk terhadap orang Islam...ya kalau orang Islam sendiri  apatah lagi pak haji tak boleh dipercayai...bagaimana dia nak melihat keindahan Islam.

Kalau seorang dua pak haji 'tipu' dia boleh tahan lagi, tetapi kalau ramai pak haji berkelakuan buruk begitu, takut-takut dia tak percaya kepada semua pak haji (termasuk saya) dan orang Islam...itulah sebabnya saya 'tak tahan' apabila menyaksikan seorang 'pak sheikh' berserban besar membaling pontong rokok di pintu masuk masjid lantas mengegurnya! Orang sesama Islam pun melihatnya buruk apatah lagi jika disaksikan orang bukan Islam.

Bagi diri saya pula, harap-harap saya berada di laluan betul dalam usaha dakwah saya pada usia tua ini. Ya Allah tunjukkilah kami jalan yang lurus...

No comments: