Monday, November 13, 2017

GST: Rintihan si miskin tak dipeduli...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)

SEKARANG ini saya perhatikan semakin banyak masjid menyediakan almari, rak atau ruang menempatkan barangan makanan asasi seperti beras, tepung, biskut, minyak, gula dan kopi yang mana boleh diambil pada bila-bila masa oleh golongan kurang berkemampuan.

Sikap prihatin terhadap kesusahan penduduk kejiranan terutama oleh pemimpin dan AJK masjid amat dialu-alukan; ini menandakan semangat berkongsi rezeki di kalangan rakyat semakin meningkat namun ia juga membayangkan semakin ramai 'orang di luar sana' (rakyat) yang kurang berkemampuan hatta untuk membeli barangan asasi bagi kesinambungan kehidupan seperti beras, tepung dan minyak.

Ketidakmampuan membeli barangan keperluan harian di kalangan rakyat ini sewajarnya tidak berlaku di negara 'mewah' bernama Malaysia yang pemimpinnya ketika pembentangan belanjawaan baru-baru ini asyik menyebut wang 'berberbilion-bilion' ringgit. 

Yalah, kalau 'derma' pun sudah membabitkan wang berbilion-bilion ringgit, tentunya rakyat Malaysia 'tersangat kaya' (ketika saya melancong ke sebuah negara jiran, ada pekedainya berkata orang Malaysia tersangat kaya kerana 'duit tumbuh atas pokok' jadi janganlah saya banyak soal dalam membeli barangan jualannya).

Demikianlah agaknya tanggapan orang luar terhadap Malaysia (negara terlalu kaya) sehingga berbondong-bondonglah 'Mat' Indon, Bangla, Pakistan, Nepal, India, Filipina dan negara lain) ke negara ini melakukan pelbagai pekerjaan daripada 'pilot helikopter' (tukang mesin rumput) kepada 'penjual karpet' dari rumah ke rumah dimonopoli lelaki Pakistan. 

Rakyat kebanyakan sekarang ini merintih kerana harga barangan keperluan mahal, sebahagian pihak menyatakan ia disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak enam (6) peratus berkuat kuasa sejak 2015. Namun rintihan itu tak dipedulikan pemerintah, sejak 'dulu sampai sekarang' kadarnya tetap enam peratus - (mungkin selepas kemenangan BN pada PRU-14 akan dinaikkan ke kadar lebih tinggi) tidak pernah terfikirkah pemimpin kerajaan untuk mengurangkan misalnya sebanyak satu, dua atau tiga peratus?

Belanjawan 2018 berlalu tanpa ada usaha untuk mengurangkan kadar GST ini...apa yang parti pemerintah tahu mereka dapat mengutip sehingga RM40 bilion setahun...namun apa ertinya 'perolehan ini' yang sebahagiannya 'diambil secara paksa' daripada rakyat yang hendak makan nasi dan roti pun susah sehinggakan wujud inisiatif pihak prihatin seperti pengurusan masjid yang menyediakan almari berisi makanan asasi!

Namun pada ketika sesetengah rakyat sengsara sekarang ini, pemimpin negara kerap kali mendabik dada dan dihebahkan secara-besaran oleh media massa tajaan mereka kononnya apa didakwa kekayaan dan kemewahan negara adalah hasil kebijaksanaan mereka mentadbir negara termasuk mengurus ekonomi dengan melaksanakan GST itu yang mendatangkan hasil berbilion-bilion ringgit.

Tentunya jika dilihat secara zahir, seolah-olah benar apa yang direpekkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan. Benar sejumlah rakyat kelihatan hidup mewah tetapi persoalannya golongan manakah ini? Apakah 'golongan feudal' saja mahu kaya dulu, kini dan selamanya sedangkan rakyat bawahan hidupnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Allah SWT telah melempahkan sumber alam yang cukup kaya kepada negara ini – petroleum, kelapa sawit, getah dan sebagainya – tetapi apakah kekayaan ini mendasar kepada kehidupan majoriti rakyat terutama yang tinggal di desa dan pedalaman? 

Jika dari segi ekonomi dan taraf hidup sesetengah rakyat ketinggalan terlalu jauh, kini masalah sosial pula menambah derita dan ketakutan rakyat kebanyakan. Jenayah seperti pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi termasuk pembunuhan warga asing termasuk dari Mongolia sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita.

Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain termasuk suami isteri, perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini?

Kita percaya ada kaitan antara jenayah yang semakin menjadi-jadi dan moral masyarakat yang semakin buruk ini dengan kemewahan dalam negara yang didakwa pemimpin berkenaan. Kita bimbang jika berlaku istidraj, iaitu adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredai-Nya. Rasullulah SAW bersabda: ”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi) 

Tetapi, manusia termasuk pemimpin yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya dan pengampunya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.  Sekarang kita dapat saksikan betapa sejumlah pemimpin dan rakyat (pengampu) yang bermaksiat seperti terbabit dalam amalan rasuah, perjudian dan jenayah seksual, hidup mereka semakin senang dan masih berkuasa dan berkedudukan tinggi. Mereka masih memegang jawatan tinggi termasuk dalam parti politik. 

Sebagai kebalikannya, orang taat dan baik termasuk pemimpin, ramai yang hidup sederhana saja malah ada yang susah sehingga masuk penjara. Manusia istidraj adalah orang yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal, mereka tidak tahu sebenarnya, Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkan mereka. Manusia, apabila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT, termasuk hukum-Nya. 

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia. Namrud pula cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Pemimpin hari ini janganlah sombong. Pada bila-bila masa Allah SWT boleh jatuhkan. Di negara jiran, Suharto, Marcos sudah jatuh; di pentas antarabangsa pun sama...mana dia Gaddafi, Saddam, Mubarak dan sebagainya....semuanya sudah tersungkur...tidak ada pemimpin boleh kekal dulu, kini dan selamanya...kita semua bagai buah kelapa; ada yang awal-awal lagi sudah jatuh tetapi ada juga yang liat sampai 'bertombong di udara' tetapi akhirnya tetap tersungkur jua, bukankah begitu?

No comments: