Tuesday, June 16, 2015

Wahai Pakatan Rakyat, jerat BN menunggu mangsa...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SEJURUS sebelum sampai di persimpangan Assam Jawa (Jalan Klang-Kuala Selangor) dari Ijok, dalam banyak-banyak 'bunting' and sepanduk mengalukan-alukan kedatangan perwakilan ke Muktamar Tahunan PAS Ke-61 di Kuala Selangor pada 4-6 Jun lalu, 'terperasan' saya sebuah 'kain pemidang lain daripada lain' - ia sumbangan Umno Selangor.

Tulisan di kain pemidang dengan gambar besar PM Dato' Seri Najib Razak dan Dato' Seri Noh Omar di sisi kanan dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di sebelah kiri berbunyi: 'Umno Selangor mengucapkan Selamat Datang kepada perwakilan Muktamar PAS Ke-61 ke Kuala Selangor'. Ada satu tulisan 'catchy' (menarik perhatian) berbunyi: 'Melayu Muafakat Demi Agama, Bangsa, dan Negara' - Khas Daripada Badan Perhubungan Umno Selangor.

Di jalan Assam Jawa-Kuala Selangor, 'terpesan' saya satu lagi kain pemidang provokatif yang ada gambar pemimpin DAP, Lim Kit Siang sedang berucap di 'rostrum' milik 'PAS Kawasan Kota Bharu'.  Ada tiga pantun dua rangkap; yang pertama berbunyi: 'Masuk Serambi Mekah, Dia hina hukum Allah'. Pantun kedua berbunyi 'Siapa yang jemput,  Otak letak di lutut' dan yang ketiga, 'Ulama mahu ditumpas, Kerja Jebon dalam PAS'.

Berpandukan 'sejumlah kecil kain pemidang lain daripada lain' yang dipasang ketika Muktamar PAS, sewajarnya menginsafkan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi Umno akan 'berbuat apa saja' untuk kembali berkuasa di Selangor dan terus memerintah negara 'dulu, kini dan selamanya'. Perangkap sudah dipasang...apa adakah ini masih tidak menginsafkan, kerana sikit saja silapnya jatuhlah Pakatan Rakyat ke jurang kehancuran amat dalam.

Muktamar PAS masih lagi dipenuhi laungan bahawa jika berlaku provokatif, PAS boleh batalkan tahaluf siyasi dengan DAP yang telah digariskan oleh Majlis Syura Ulamak pada 2009. Namun Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi dalam Ucapan Dasarnya 'Beristiqamah Hingga Kemenangan' menegaskan komitmen tahaluf siyasi dengan rukun-rukun dan syarat-syarat ditetapkan oleh Islam mengikut panduan al-Quran dan Sunnah. Ada banyak suara menggembirakan perwakilan yang mahu Pakatan Rakyat diperkukuhkan; yang sejarah ketiga-tiga parti dalam Pakatan (PAS, KeADILan dan DAP) telah memperolehi 'keuntungan' yang cukup lumayan...apakah 'nikmat' itu mudah saja mahu dilupakan, lebih dahsyat lagi tidak mahu disyukuri.

Namun ada perwakilan menyuarakan rasa kurang senang kerana mendakwa masih wujud kelompok-kelompok tertentu. Seorang perwakilan yang menemui penulis melahirkan kekhuatirannya selepas perbahasan ketiga-tiga Dewan (Ulamak, Pemuda dan Muslimat) menunjukkan ada kecenderungan ke arah membawa PAS kembali 'ke era lama' (tanpa tahaluf siyasi). Beliau mendakwa kumpulan ini sudah menguasai ketiga-tiga Dewan (Dato' Mahfodz Mohamad sebagai peneraju Dewan Ulamak, Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz sebagai Ketua Pemuda dan Ustazah Nuridah Mohd Salleh sebagai Ketua Muslimat). 

Namun sedikit pergeseran dalaman tidak sewajarnya menjadi alasan membantutkan usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Di sepanjang jalan ke pekan Kuala Selangor selain pemidang PAS yang mengalu-alukan kedatangan perwakilannya ada juga papan yang memaparkan 'keampuhan' Pakatan Rakyat. Antara perkara jelas tertulis pada papan tanda ini adalah 'Pakatan Harapan Rakyat'. Ya, Pakatan Rakyat sehingga hari ini terus menjadi harapan rakyat...jadi adakah pemimpin Pakatan Rakyat sampai hati untuk membunuh harapan rakyat yang pada pilihan raya umum lalu (2013) memberikan undi 53 peratus kepada mereka. Ini adalah undi popular dan jika kaedah kemenangan adalah berdasarkan ukuran ini, sudah lama BN bungkus.

Seorang pemerhati, memberitahu penulis, kerajaan Umno-BN sudah terlalu bobrok dengan aneka penyelewengan. Rakyat sudah terlama lama mahukan komponen parti ini dihumbankan daripada kuasa namun persoalannya, pihak manakah yang layak menjadi pemerintah baru. Mereka sudah bosan dengan Umno-BN yang dulu, kini dan selamanya menyusahkan mereka, tetapi siapa pula dapat menjadi 'penyelamat' mereka? Jika Pakatan Rakyat mahu mengisi 'lompang' itu, baguslah, persoalannya Pakatan Rakyat termasuk pemimpinnya nampaknya dibeliti isu dan permasalahan yang seakan-akan tidak pernah berakhir.

Katanya, jika pemimpin Pakatan Rakyat berterusan bersengketa, rakyat menjadi bosan dan kemungkinan besar mereka akan membuat kejutan pada pilihan raya umum akan datang. Malah, katanya, dengan 'sosek-sosek' pemimpin Pakatan Rakyat yang tak habis-habis, kedudukan kerajaannya seperti di Selangor akan goyang. Umno Selangor melalui pemimpinnya Noh Omar berterusan membuat tawaran - tidakkah tulisan di kain pemidang Umno Selangor yang berbunyi 'Melayu Muafakat Demi Agama, Bangsa dan Negara' jelas membuktikan Umno tidak jemu-jemu membuat tawaran kepada PAS - persoalan sama ada ikhlas atau tidak - itu tidaklah diketahui namun adalah penting untuk Umno mendapatkan 'kerelaan' PAS jika ia mahu kembali berkuasa di negeri yang termaju di Malaysia itu.

Ya, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat, berwaspadalah...anda kini di jurang untuk memasuki perangkap Umno-BN. Katakan tidak kepada Umno-BN, sekalipun dalam bentuk 'lintasan' saja!


No comments: