Monday, June 8, 2015

Dari UKM ke Harakah (18): Muktamar, perjuangan tegak Islam tetap diteruskan

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SELEPAS menyertai Harakah pada September 1999, muktamar PAS pertama yang saya buat liputan adalah muktamar tahunannya ke-46 yang diadakan di Kuala Terengganu pada bulan Jun 2000.

Muktamar ini berlangsung di bumi Terengganu selepas kejayaan gemilang PAS dalam pilihan raya umum (PRU) ke-10 pada 29 November 1999 yang menyaksikan negeri penyu itu jatuh ke tangan parti Islam dengan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besarnya.

Saya sempat merekodkan sebahagian intisari ucapan dasar Presiden PAS ketika itu, Dato' Fadzil Mohd Noor (kini Allahyarham) dan Tuan Guru Abdul Hadi yang saya garapkan dengan isu-isu antarabangsa yang selalunya menjadi fokus saya. Sekalipun sudah 15 tahun berlalu, isu yang diutarakan masih relevan.

Antara lain saya mencatat: "Untuk hidup aman damai, manusia perlu saling faham memahami. Tetapi di persada antarabangsa masa kini keadaan ini tidak berlaku. Umat Islam terus dinafikan hak untuk mengamalkan segala peraturan yang telah digariskan oleh agama.

Mengenai cabaran global ini, Presiden PAS menegaskan: "Hari ini kita bermuktamar dengan suasana umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi cabaran yang amat besar. Kita sebagai gerakan Islam yang terunggul di rantau ini harus peka dengan cabaran-cabaran global yang dihadapi oleh dunia Islam dalam rangka kita melangkah ke abad ke-21 Masihi.

"Walaupun jumlah umat Islam di seluruh dunia kini melebihi 1.2 bilion dan dikurniakan dengan sumber hasil bumi yang melimpah-ruah, secara keseluruhannya umat Islam berada dalam kealpaan yang membawa kepada penghinaan.

"Jelas kepada kita kebanyakan konflik dunia adalah di wilayah-wilayah umat Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Afghanistan, Palestin, Somalia, Algeria, Bosnia, Tajikistan, Sudan dan Chechnya. Umat Islam terus ditindas, dibelasahi, dizalimi, diperangi dan dihina tanpa segan dan silu lagi.

"Di Asia Tenggara umat Islam sedang berhadapan dengan kemelut bangsa Moro di Filipina, Rohingya di Burma (Myanmar), Patani di Thailand dan Aceh di Indonesia. Kita telah menyaksikan bagaimana persoalan Timor Timur (kini Timor Leste) telah dapat diselesaikan hasil desakan serta hasrat masyarakat antarabangsa untuk melihat kedamaian dan kestablian sejagat dihormati.

"Namun kita perlu peka dan prihatin kerana masih banyak wilayah yang mempunyai konflik seumpama ini. Kita mengharapkan agar masyarakat antarabangsa menggunakan 'neraca keadilan' dan 'pembelaan' yang sama seperti yang diberikan kepada Timor Timur."

Demikianlah antara perkara penting yang dapat saya kutip daripada ucapan dasar Ustaz Fadzil. Ya, keberkesanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya dalam menangani konflik Timor Timur yang majoriti penduduknya beragama Kristian, pernah diberi pujian tetapi bagaimana pula penerimaan dan tindakan pihak yang sama mengenai nasib yang menimpa umat Islam Chechnya, Kashmir dan selatan Filipina.

Hari ini pula kita dapat saksikan bagaimana Muslim Rohingya dizalimi di negara asal mereka, Myanmar; kemudian diusir dan  dibiarkan 'terkapai-kapai' di laut tanpa sebarang pihak termasuk pertubuhan antarabangsa bertindak segara. Demikian betapa malang nasib menimpa umat Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar Pemuda turut mempersoalkan sikap berat pertubuhan antarabangsa ini. Beliau hairan mengapa masyarakat antarabangsa dapat bertindak cepat di Timor Timur sedangkan tidak mempedulikan nasib umat Islam yang teraniaya di Bosnia dan Kosovo (Eropah Timur)..

Katanya, apabila menyedari kekuatan umat Islam rantau berkenaan selepas mereka dibantu saudara seagama dari bahagian lain dunia, barulah pihak antarabangsa bertindak. Berdasarkan perkembangan dan pengalaman kurang enak ini, Tuan Guru Abdul Hadi berpendapat umat Islam perlu berdikari demi kesejahteraan seluruh umat manusia.

Untuk menjayakan rancangan ini, segala hukum-hakam Islam hendaklah diamalkan dalam penghidupan dan inilah yang menjadi tunjang kepada perjuangan PAS - menegakkan hukum Allah di bumi ini.

"KIta akan meneruskan perjalanan (perjuangan) walaupun anjing-anjing berterusan menyalak di sepanjang jalan"  -  demikian antara kata-kata penuh makna Tuan Guru Abdul Hadi bagi menyemarakkan semangat pejuang PAS!

No comments: