Wednesday, May 7, 2014

Pemimpin adil dijanjikan perlindungan Allah

********************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************************ Renungan ************************ "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 *************************** Bersyukur ke hadrat Illahi, kita dipanjangkan usia, dapatlah kita memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita ingin mengucapkan tahniah kepada pemimpin, kerajaan dan rakyat Brunei Darussalam kerana mendaulatkan hukum hudud mulai 1 Mei. **************************** Brunei melalui pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah, mengumumkan undang-undang syariah fasa pertama mula dikuatkuasakan dan ia akan dikuti dengan fasa-fasa berikutnya. Fasa pertama dan kedua bermula tahun ini manakala fasa seterusnya akan bermula tahun depan. ******************************* Bagi fasa pertama, hukuman penjara dan denda akan dilaksanakan antaranya untuk pesalah yang tidak menghadiri solat Jumaat dan hamil di luar nikah. Pada lewat tahun depan, hukuman seperti rejam dengan batu kerana kesalahan meliwat dan zina akan diperkenalkan. **************************** Ketegasan pemerintah Brunei untuk melaksanakan hukuman Allah sekalipun mendapat kecamanan organisasi dan masyarakat antarabangsa, amat mengharukan kita; kita terkesan dengan sebuah hadis yang menyatakan antara satu daripada tujuh golongan yang mendapatkan naungan Arasy Allah SWT di hari kiamat adalah pemimpin adil. ************************* Pemimpin adil dan berwawasan bukanlah 'bekerja' untuk 'memuaskan nafsu' rakyat dengan 'menimbunkan' kemewahan material seperti wang bertimbun dan makanan berlebihan kepada mereka tetapi berusaha keras menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Ini berpandukan doa yang sering kita mohonkan kepada Allah - 'Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar' yang bermaksud: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." (QS. Al-Baqarah 201) ******************************* Pemimpin yang adil tidak rela diri dan rakyatnya dihumbankan ke neraka Allah SWT termasuklah kerana mengengkari hukum-hakam-Nya. Ini kerana sesungguhnya, kuasa tertinggi adalah milik mutlak Allah SWT; pemerintah hanya diamanahkan oleh-Nya untuk menjalankan hukum-hakamnya di bumi ini. Perkara ini dipertegaskan sejumlah besar cendekiawan Islam termasuklah negarawan Pakistan, Abul A'Ala Maududi. ***************************** Maududi dalam syarahannya mengenai 'asas-asas pemerintahan Islam' mengingatkan bahawa prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguhnya bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah. ******************************* Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. ***************************** Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan. **************************** Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia. *************************** Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin. ****************************** Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut. ******************************** Jadi, berdasarkan nasihat Maududi ini, adalah wajib untuk semua umat Islam tunduk kepada hukum-hakam Allah dan menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai panduan dalam mereka melaksanakannya. Ingatlah setiap manusia tidak kira pemimpin atau orang dipimpin akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya. *************************** Jika pemimpin adil dijanjikan naungan Allah, rakyat juga dijanjikan sedemikian kerana mereka mungkin terdiri daripada peniaga jujur termasuk tidak menaikkan harga barang ikut nafsu, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid dan dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah.

No comments: