Saturday, May 10, 2014

Bolehkah ke bulan tanpa roket?

********************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************* Renungan *********************** "Maka barangsiapa yang derhaka dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya." - Q.S An-Nazi'at 37-41 ************************* BULAN sinonim dengan PAS manakala DAP dengan roket. Kerap dibahaskan termasuklah mutakhir ini apabila isu hudud menjadi 'tersangat hangat', apakah boleh PAS 'sampai ke bulan' (antara matlamatnya masa kini ialah mendapat kuasa memerintah negara menggantikan Umno-BN) dengan tidak 'menunggang roket' (bekerjasama dengan DAP)? ************************** Saya serahkan hal ini kepada mereka yang arif termasuk politikus kedua-dua parti, namun apa yang saya celotehkan tidak ada kena mengena secara langsung dengan PAS atau DAP, tetapi mengajak pembaca memikirkan mengapa sehingga kini tiada seorang pun rakyat Malaysia dihantar ke angkasa selepas Sheikh Muszaphar Shukor melakukannya hampir tujuh tahun lalu. ************************ Tanggal 21 Oktober 2007, 'The Flying Sheikh' selamat kembali ke bumi selepas 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan kapsul Soyuz TMA-10 mendarat di Arkylk, Kazakhstan. Persoalannya sudah banyak tahun berlalu, tetapi mengapa angkasawan kedua negara, Mejar Faiz Khaleed dibiarkan 'terkebil-kebil' tidak dihantar ke angkasa lepas -- kasihan beliau kerana umurnya sudah semakin lanjut, 34 tahun! ************************** Akuilah, misi Sheikh Muszaphar yang ke ISS bersama kosmonaut Rusia, Yuri Mallenchenko dan komander Peggy Whitson dijayakan dengan 'kita menumpang teknologi orang' (Rusia), hakikatnya negara kita tidak mempunyai sebuah pun kapal angkasa (roket). ************************ Jadi persoalannya, 'bolehkah kita ke bulan tanpa roket?' Malah ada kritikan pedas yang menyatakan 'The Flying Sheikh' hanyalah peserta atau pelancong angkasa lepas dengan kerajaan Malaysia dikatakan membelanjakan RM95 juta untuk projek itu (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Maximus Ongkili mendakwa hanya RM39.11 juta dibelanjakan). Ia adalah sebahagian daripada satu persetujuan membeli 18 pesawat pejuang Sukhoi 30-MKM, berjumlah berbilion-bilion ringgit. *********************** Pada pandangan saya, jika kerajaan Malaysia dan rakyatnya benar-benar serius dalam menjayakan projek angkasa lepasnya, ia sewajarnya bermula 'dari bawah' dan bukannya 'dari angkasa lepas'. Ya, seorang rakyat Malaysia sudah berada di angkasa lepas malah telah melakukan penyelidikan antaranya melibatkan sel kanser dan leukemia di ISS; tetapi persoalannya apa rentetan daripada peristiwa bersejarah itu? ************************* Dua negara pesaing, Rusia (Soviet) dan Amerika memajukan teknologi angkasanya puluhan tahun sebelum menghantar manusia ke sana termasuk apa didakwanya mendarat di bulan. Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) melakukan ujian demi ujian; suatu ketika dulu kapal angkasanya, Challenger, meletup ketika berlepas menyebabkan sejumlah angkasawan terbunuh. Rusia juga membina reputasinya di bidang ini sejak sekian lama; bukan dengan hanya 'sekali ledakan' saja seperti kita yang menghantar 'The Flying Sheikh' tetapi selepas itu senyap saja. ********************* Negara gergasi lain seperti China, Jepun dan India juga giat memajukan industri angkasa lepas masing-masing. Sejumlah angkasawan China bekerjasama rapat dengan rakan mereka dari NASA untuk ke angkasa lepas. Semua negara ini mempunyai stesen angkasa lepas dan sudah pasti kapal angkasa (roket) masing-masing. *********************** Tetapi Malaysia masih tiada roket. Kita 'meledakkan' seorang angkasawan ke angkasa lepas tanpa roket sendiri. Dilaporkan beberapa orang pernah 'diledakkan' ke angkasa lepas sebagai pelancong angkasa lepas - mereka termasuklah Dennis Tito (dari Amerika Syarikat pada 2001), Mark Shuttleworth (dari Afrika Selatan-2002), Greg Olsen (Amerika -2005) dan Anousheh Ansari, seorang wanita Muslim Iran yang tinggal di Amerika. Setiap orang membayar antara RM80-RM100 juta; jumlah wang yang hampir sama dibelanjakan untuk perjalanan Sheikh Muzaphar bagi membolehkan namanya dicatatkan sebagai angkasawan pertama negara. ********************** Mengenai 'program angkasawan' Dr Faiz, yang 'dibiarkan terus menanti', dalam satu wawancara berkata: "Agensi Angkasa Negara sudah melakukan ‘postmorterm’ tentang program pertama dan apa yang boleh diperbaiki dan kita tidak mahu tergesa-gesa. Bermaksud, kita perlu kendalikan perkara ini secara dasar dulu. Tak guna kalau kita nak pergi ‘second trip’ atau ‘third trip’ tetapi tidak ‘address’ kelemahan yang lepas-lepas, jadi itu yang penting." ***************************** Ya, jangan tegesa-gesa 'meledakkan' individu tertentu ke angkasa sedangkan kita 'tiada roket' (teknologi angkasa lepas kita belum ampuh). Majukan dulu anak bangsa - apa guna jika seorang dua rakyat sudah ke angkasa raya sedangkan ada (ramai juga) anak watan masih ke sekolah yang tiada bekalan elektrik nun jauh di pedalaman negara!

No comments: