Friday, April 11, 2014

Wanita, 'berdemolah' jika lelaki pakai sutera, emas...

********************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan ************************* Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." *********************** TUAN Guru pada kelas pengajian yang saya hadiri minggu lalu memuzakarahkan 99 Asma' Ul-Husna; memfokuskan kepada Al-Muqit iaitu Yang Maha Pemberi Kecukupan. Allah SWT-lah Yang Maha Memberi Kecukupan kepada makhluknya. ************************** Dalam saya 'termamai-mamai' (biasalah bagi orang tua seperti saya yang kerap mengantuk), terdengar tuan guru antara lain berkata, dalam dunia ini wanitalah paling beruntung kerana agama Allah telah menaikkan darjat mereka; antara lain kurniaan istimewa Allah SWT kepada wanita mereka di dunia lagi sudah diberikan hak memakai 'barangan syurga' yang diharamkan kepada lelaki iaitu sutera dan emas. ********************** Mendengar perkara menarik itu, saya tumpukan perhatian; tuan guru seterusnya membacakan ayat al-Quran yang menerangkan pakaian ahli syurga antaranya sutera dan perhiasan emas. *********************** Antaranya, Allah SWT berfirman maksudnya: "Mereka itu (orang yang) diberikan syurga 'Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Di dalam syurga itu, mereka dihiasi dengan gelang tangan emas dan memakai pakaian hijau daripada sundus dan istabraq (sutera halus dan sutera tebal). Mereka duduk sambil bersandar di atas pelamin-pelamin yang indah." (Surah al-Kahfi 18: 31) ************************** Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Pakaian mereka adalah pakaian hijau yang diperbuat daripada sundus dan istabraq, serta dihiaskan mereka dengan gelang tangan daripada perak. Tuhan mereka memberikan mereka minuman yang sangat suci. (Surah al-Insan 76: 21) **************************** Demikianlah Allah SWT telah memberi penghormatan tertinggi kepada wanita sehingga ada satu surah dalam al-Quran dinamakan an-Nisa' (Wanita). Dan mengenai kehormatan wanita, Allah ada menyatakan dalam Surah an-Nuur, 24: 31 yang bermaksud: "“Hendaklah mereka (wanita yang beriman) menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka mengenakan khumur dengan melabuhkan ke atas dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya (aurat)... (kecuali kepada mahram mereka).” ************************** Kata Tuan Guru, Allah SWT memberi penghormatan kepada wanita dengan mengizinkan mereka memakai sutera dan emas tetapi mengharamkannya kepada lelaki. Namun apa yang berlaku hari ini, sebahagian wanita menukarkan penghormatan tertinggi itu sebaliknya mencari-cari penghinaan diri seperti memperjuangkan hak sama rata seperti lelaki. Wanita diberikan peluang menutup tubuh mereka hatta dengan sutera tetapi sesetengahnya memilih untuk tidak berpakaian atau berpakaian tetapi bertelanjang. *********************** Jika lelaki auratnya hanya anggota tubuh dari lutut hingga ke pusat, sesetengah wanita mahu berpenampilan lebih teruk lagi dengan hanya menutup dua anggota sulitnya, itupun ada yang bersedia mendedakan semuanya. ******************************** Mengenai berpakaian tetapi bertelanjang, ada satu satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Ada dua golongan daripada ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya...yang keduanya adalah wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh.” (Riwayat Imam Muslim) ****************************** Tuan Guru berkata Allah SWT telah memberikan keistimewaan kepada wanita seperti membolehkan mereka memakai sutera dan emas, jadi hak seperti inilah yang perlu dipertahankan dan perjuangkan. Pertahankan hak ini, 'berdemonstrasilah' bagi menyatakan bantahan terhadap golongan lelaki yang memakai sutera dan emas kerana mereka telah bersikap biadap kepada Allah dengan mencabul hukum-hakam-Nya. *************************** Jika dari segi pakaian saja lelaki sudah 'fail' (gagal) untuk mengikut hukum-hakam Allah (termasuk yang memakai seluar pendek), dibimbangi dalam urusan berat lain termasuklah melaksanakan hukum hudud mereka akan enggan tunduk kepada perintah Allah. *************************** Kata Tuan Guru, Allah SWT menghendaki sedikit saja daripada manusia seperti firman-Nya melalui ayat 56 Surah Az-Zariyat yang bermaksud: "Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku” tetapi pemberian-Nya kepada makhluk tersangat luas tetapi kebanyakan manusia tidak pandai bersyukur sebaliknya bersifat kufur. ************************** Mana tidak kufur, Allah beri keistimewaan kepada wanita memakai pakaian syurga (sutera) di dunia lagi, tetapi kebanyakannya kufur kerana 'syok' untuk bertelanjang, malah ada yang berpakaian tetapi bertelanjang seperti memakai tudung tetapi pakaiannya nipis, singkat, ketat, terbelah, menampakkan lengan dan sebagainya. **************************** Tanyalah diri sendiri, apakah kita bertindak betul dan adil apabila Allah SWT mengizinkan kita memakai pakaian ahli syurga, sebaliknya kita gunakan pakaian sejenis itu (sutera) untuk mendedahkan tubuh badan kita seperti memakai kain belah atau baju 'low cut'? ***************************** Sewajarnya kita menghargai penghormatan Allah itu dengan sebaik mungkin termasuklah mensyukuri nikmat itu dengan meningkatkan ibadat kepada-Nya. Dan jika ada lelaki yang memakai sutera atau mengenakan perhiasan emas, kita (golongan wanita) sewajarnya bersedia 'berdemonstrasi' kerana mereka telah merampas hak istimewa kita yang diberikan Allah SWT yang amat kita kasihi, demikian kata Tuan Guru. ************************* Inilah wanita sejati yang bersedia berkorban demi menegakkan hukum-hakam Allah bukan hanya terikut-ikut dengan tuntutan wanita Barat melalui 'Women's Lib' mereka!

No comments: