Friday, April 25, 2014

Sudah tua, suami mahu dipanggil 'Abang'...

******************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************* Renungan ********************* "Bahawasanya manusia itu dijadikan berkeluh kesah, apabila ditimpa kesusahan dia sangat resah gelisah, apabila beroleh kebajikan bersifat kikir dan menahan kebajikan, melainkan orang-orang yang mendirikan solat." (Al-Ma'arij: 19-22) ********************************** SAYA kenal rapat sepasang suami isteri. Mereka golongan veteran, sudah berkahwin puluhan tahun. Sekarang tinggal berdua selepas semua anak berkarier dan berumahtangga. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, si suami memanggil isteri dengan namanya, begitu juga dengan si isteri memanggil suami dengan namanya saja. ************************ Memang ramai suami yang memanggil isteri mereka dengan nama masing-masing; misalnya Rosmah, Zuraidah, Kamariah dan lebih ramai yang memanggil dengan kependekannya seperti Ros, Mah, Idah, Zu, Yah dan Kam. *************************** Namun ada yang 'terkeluar daripada kebiasaan' dengan memanggil isteri mereka 'panggilan manja seperti ''Ling' (Darling), 'Sayang', 'Manja', 'Sweetie' dan 'Adik'. **************************** Bagi pasangan Melayu, adalah 'standard' untuk si isteri memanggil suaminya 'Abang' (Bang) atau 'mengandingkannya' dengan nama singkatan, maka menjadilah 'Bang Mat' atau 'Bang Aji'. Malah ada suami yang lebih muda daripada isteri turut dipanggil 'Abang'. Namun ada yang memanggil dengan nama saja, ada juga dengan gelaran manja seperti 'Ling'. *************************** Apabila perkahwinan sudah 'memasuki usia senja', kerap berlaku perubahan negatif dari segi panggilan suami isteri ini, maka wujudlah panggilan kasar dan 'tidak romantik langsung' seperti 'mak kau', 'bapak kau' dan 'ayah kau'; yalah kalau dah veteran nampak kurang sesuai suami memanggil isterinya 'Ling', 'Sayang' dan 'Manja' apatah lagi di depan anak dan cucu. ************************* Al-kisah, si isteri daripada pasangan veteran tadi mengadu kepada penulis suaminya sejak akhir-akhir ini 'komplen' mengapa dia tidak memanggil si suami dengan panggilan 'Abang'! ************************* "Apalah, 'pakcik' kau tu, dah tua-tua teringin pula dipanggil 'Abang', dah puluhan tahun kahwin tak sebut pun perkara tu,sekarang mahu dipanggil 'Abang' pula. ************************* Yalah, kata orang; orang lelaki ini makin tua makin menjadi-jadi dan mengada-ngada; saja nak bermanja dengan isteri sebab itulah dia minta dipanggil 'Abang'. Namun, kepada suami yang 'sudah veteran' baru mahukan isterinya memanggilnya 'Abang', berdasarkan apa diberitahu 'tok-tok guru' pada kelas pengajian yang penulis ikuti, hajatnya untuk dipanggil 'Abang' oleh isteri berkemungkinan besar tidak akan terkabul! ************************* Dalam kelas pengajian, tok guru bertanyakan jemaah (kebanyakannya golongan veteran) apakah isteri mereka hampir menepati watak Atiqah (ada meriwayatkannya sebagai Muti'ah), wanita pertama yang akan memasuki syurga mendahului Sayidatina Fatimah binti Rasulullah s.a.w. ********************** Atiqah dikatakan akan memasuki syurga dulu sebab dia memegang tali unta yang dikenderai oleh Fatimah. Wanita salihah ini dikatakan terlalu taat kepada suaminya. Apabila suaminya balik, dia menyambut dengan muka manis berbekalkan segelas air, kain lap dan rotan. Rotan itu adalah untuk suaminya memukulnya jika khidmatnya kurang memuaskan. ************************** Tanya tok guru, ramai suami termasuk yang veteran (seperti jemaah yang mengikuti pengajian) kurang puas hati di atas layanan isteri masing-masing. Apabila mereka balik rumah, isteri tidak sambut pun, air pun tak ada. Isteri pun buat endah tak endah saja. ************************** Tok guru bertanya, sebahagian besar ini salah siapa? "Ini salah suami sendiri sebab dia tidak didik isterinya sebaik-baiknya dengan ilmu dan amalan agama selepas bernikah, sebaliknya menyoal kenapa isteri tidak berperangai macam Atiqah selepas mereka berkahwin 30, 40, 50 atau 60 tahun." ***************************** Dulu masa baru-baru berkahwin, kerana dok terlalu sayangkan isteri, suami tak ajar pun isteri dia buatkan air untuk dia, tak ajar pun isteri untuk sambut di pintu apabila dia balik, apatah lagi sediakan rotan untuk pukul isteri; jadi hasilnya dapatlah isteri begitu. ************************** "Kita pun tak salahkan suami 100 peratus sebab dulu dulu semasa muda (baru berkahwin) mereka jahil agama, tidak tahu pun kisah Atiqah ini, selepas dah tua (apabila mengikuti pengajian agama) barulah mereka mahukan isteri macam Atiqah, tetapi nampaknya sudah terlambat. Isteri sudah 'lawan tauke', mana boleh nak suruh mereka jadi macam Atiqah lagi..." ****************************** Berdasarkan apa yang diutarakan tok guru; hajat suami veteran yang 'teringin sangat' isterinya memanggilnya 'Abang' pada usia senja, berkemungkinan besar tidak akan tercapai. Yalah, bukan mudah untuk menyebut 'Abang' selepas berpuluh-puluh tahun memanggil suami dengan namanya saja. Jika 'Abang' susah disebut, apatah lagi 'Sayang' atau 'Darling'...uhhh, rasanya amat teruk sangat untuk menyebutnya apabila usia sudah di penghujung ini! ******************************* Kesimpulannya, kata tok guru, "wahai anak-anak muda 'mailah' (marilah) belajar ilmu agama sebelum berkahwin." Ketahuilah kisah Atiqah dan ramai lagi wanita salihah supaya kita dapat didik isteri kita sebaik saja kita menikahi mereka. **************************** Ketika muda 'tang tang tang' tidak menjadi masalah jika kita suruh dia (si isteri) memanggil kita 'Abang', 'Mas' 'Sayang', atau 'Darling' dan suruh mereka tunggu kita di belakang pintu dengan air di tangan kerana 'dia tengah suka dan syokkan kita' tetapi selepas 30, 40, atau 50 tahun berkahwin, baru kita nak suruh dia panggil kita 'Abang', ahh ini satu 'problem' besar! ***************************** Namun, 'kalau berani' kahwinlah satu lagi - ambil wanita muda 'tang tang tang', ajarlah dia panggil kita 'Abang' dan tunggu di belakang pintu macam Atiqah...kita doakan kepada suami tua selamat berbahagia kerana akhirnya hajatnya dipanggil 'Abang' tercapai jua!

No comments: