Friday, April 4, 2014

Arak dalam pesawat: Eloklah contohi GoAir

************************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *************************** Renungan *************************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ****************************** SANG ustaz dalam kuliahnya di sebuah masjid berhampiran rumah penulis minggu lalu, memuzakarahkan ayat 90 Surah Al-Maa'idah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." ***************************** Memfokuskan pengajian kepada masalah arak, sang ustaz berkata laknat Allah bukan saja terkena kepada peminum arak tetapi juga kepada mereka yang mempunyai kaitan dengannya seperti penanam anggur (atau buah-buahan lain), pembuatnya, pembelinya, penghidangnya dan penghantarnya. *************************** Mengenai hukuman di akhirat terhadap orang yang terbabit dengan arak, sang ustaz berkata mereka akan dikeluarkan daripada kubur dalam keadaan hitam legam (kubur mereka adalah antara lubang neraka), lidah mereka terjelir hingga ke paras dada dengan nanah keluar daripada mulut mereka, mangkuk berat bekas minuman arak tergantung di leher mereka manakala kaki mereka dipakaikan kasut api neraka yang menyebabkan otak mereka menggelegak. ******************************** Semua makluk akan benci dan melarikan diri daripada mereka sedangkan di dunia mereka sudah dihina dengan perintah Allah jangan memberi salam kepada mereka, jangan ziarahi jika mereka sakit dan jika mati jangan disembahyangkan mayatnya. Juga jangan duduk dekat mereka. Tempat mereka di neraka Hawiyah adalah bersama Firaun dan Hamman dan penyembah berhala. ***************************** Orang yang minum arak walaupun setitis, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi (Iman Tirmidzi) bermaksud: "Diriwayatkan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w. namanya Abdullah bin Umar al-Khattab, katanya; telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa minum arak nescaya tidak diterima sembahyangnya 40 pagi." *************************** Berceloteh mengenai arak, penulis terpanggil mendedahkan pengalaman menyaksikan bagaimana bahan ini dihidangkan dengan 'lumayan' dalam kapal terbang oleh sejumlah syarikat penerbangan antarabangsa termasuklah dari negara umat Islam. **************************** Jika arak dihidangkan secara 'mewah' dalam pesawat termasuklah oleh petugas Islam kepada penumpang beragama Islam sendiri, apakah ada keberkatan dan jaminan sesuatu penerbangan itu sedangkan Allah SWT telah memberi amaran tersangat keras kepada semua golongan yang terbabit dengannya. *************************** Arak adalah ibu segala kejahatan, jadi bagaimana satu kejahatan dapat dibenarkan berlaku dalam sebuah kenderaan di udara yang Allah SWT boleh saja pada bila-bila masa boleh menghempaskannya. **************************** Namun ada syarikat penerbangan yang patut dipuji kerana tidak menyajikan arak malah memberi amaran agar penumpang tidak minum arak. Tidak lama dulu, ketika berkunjung ke India, penulis menaiki pesawat tambang murahnya GoAir. *************************** Sebelum perjalanan dari New Delhi ke Srinagar (Kashmir) berlepas, terdengar jelas pengumuman dalam bahasa Inggeris: “Tuan puan diingatkan bahawa meminum arak (drink) dan merokok adalah diharamkan dalam pesawat ini.” *************************** Terfikir di benak penulis jika sebuah pesawat komersial India, sebuah negara sekular, dapat mengeluarkan peraturan melarang penumpang daripada minum arak, mengapa syarikat penerbangan dari negara umat Islam tidak boleh melakukan perkara yang sama. ************************* Alangkah eloknya jika syarikat penerbangan dari negara-negara umat Islam, berhenti daripada menghidangkan arak dalam pesawat. Alangkah janggalnya sebuah negara umat Islam yang kerap mendakwa paling hebat di dunia, mempunyai syarikat penerbangan yang menghidangkan arak. ************************** Tak malukah umat, peneraju syarikat penerbangan dan pemimpin negara umat Islam kepada syarikat milik bukan Islam seperti GoAir yang boleh mengharamkan pengambilan minuman keras sedangkan mereka yang berdegar-degar bercakap mengenai Islam tidak berani 'mengusik' kecenderungan syarikat penerbangan negara mereka menghidangkan arak dalam pesawat? ************************ Sekalipun larangan GoAir itu difahami bertujuan memastikan keselamatan dalam pesawat, setidak-tidaknya ia boleh dicontohi bagi menjamin keharmonian dalam pesawat daripada digugat penumpang mabuk. ************************* Berceloteh mengenai penumpang mabuk, suatu hari dalam penerbangan dari Manchester (UK) ke Dubai, penulis saksikan seorang penumpang ‘mat salih’ terbongkang tidur di satu barisan kerusi selepas menikmati bergelas-gelas arak. *********************** Dia memang sah sudah mabuk, tetapi penulis yang duduk tidak jauh dari situ kecut perut memikirkan nasib jika Allah SWT mahu menghukum segera dengan menghempaskan pesawat itu. *********************** Jika itu berlaku (nauzubillah), maka hancurlah penulis; bagi mengelakkannya sekali lagi penulis rayu, wahai syarikat penerbangan dari negara umat Islam, hentikanlah segera daripada menghidang arak dalam pesawat; contohilah GoAir yang 'mengharamkan' arak!

No comments: