Friday, May 3, 2013

INI KALILAH...bantu PAS-Pakatan untuk bantu anda...

*********************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** RENUNGAN ***************** "Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh suatu penyakit umat. Para sahabat bertanya: 'Apakah penyakit umat itu?' Nabi menjawab: '1. kufur nikmat, 2. sombong, 3. tamat, 4. berlumba-lumba, 5. benci-membenci, 6. dengki mendengki sehingga melampaui batas (belaku kejam) dan kemudian bunuh-membunuh'." (Maksud Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya) ******************* SAYA mengenali Harun Mohamed, calon PAS bagi Dun N23 (Telok Mas) dalam Parlimen Kota Melaka (P138) sejak tahun 2004. Ketika PRU11, Harun yang ketika itu orang kuat Pemuda PAS Melaka, bersama saya dan sejumlah ahli dan penyokong terbabit dalam merangka bahan kempen untuk calon PAS Telok Mas, Dr Abdul Halim Ramli. *********************** Untuk mendapat 'ilham' ayat-ayat 'power' untuk Dr Halim, Harun dan saya bersengkang mata, dan akhirnya terciptalah slogan yang tidak saya ingat secara tepat tetapi bermaksud lebih kurang, "Jika pakcik makcik meyakini pengubatan saya, yakinilah kepada perjuangan politik saya." ********************** Ya, Dr Halim yang mempunyai sebuah klinik di Semabok, Melaka amat terkenal di kalangan penduduk sekitarnya. Namanya meniti di bibir penduduk. Makcik dan pakcik jika sakit, akan meminta anak atau saudara menghantar mereka ke Klinik Dr Halim. ***************************** Demikianlah betapa yakinnya mereka kepada cara pengubatan Dr Halim, membuatkan saya yang menemani Harun mencari pencetak pada hari siangnya, yakin Dr Halim akan memecah tradisi bagi membolehkan 'anak sulung' PAS lahir di Melaka. ********************** Namun apa yang diharapkan tidak berlaku. Bukan saja Dr Halim tidak menang, malah PAS Melaka masih mencetak angka '0'. Dalam pilihan raya Dun Telok Mas yang mempunyai 14,106 pengundi itu (2004), Dr Halim hanya mendapat 3,364 undi manakala lawannya Dato' Wira Amid Nordin (kini Allahyarham) daripada Umno-BN mendapat 7,930 undi. ******************** Penguasaan Dun Telok Mas amat penting kepada kedua-dua PAS dan Umno kerana inilah satu-satunya Dun dalam Parlimen Kota Melaka yang bermajoritikan orang Melayu (hampir 70 peratus). Dun lain adalah Kesidang, Kota Laksamana, Duyong dan Bandar Hilir, semua menyaksikan pertarungan antara DAP dengan parti gabungan BN terutama daripada MCA. ************************* Bagi PRU12 (2008), PAS sekali lagi kecundang di Telok Mas. Bagaimanapun calonnya, Ustaz Abdul Rahman Jaafar mendapat undi yang meningkat (4,890) manakala undi calon BN, Dato' Latiff Tambi Chik merosot kepada 7,129 undi. ************************* Kali ini calon PAS yang terpilih adalah Harun; sahabat saya yang sama-sama bersengkang mata dalam kempen PRU11 bagi memenangkan Dr Halim. Jika Dr Halim kurang berjaya pada PRU11, kali ini marilah kita bersama-sama berjuang, bermandian peluh dalam bidang dan kemahiran masing-masing dan berdoa sepenuh hati bagi kemenangan Harun dan 12 lagi calon Dun Melaka serta seorang calon Parlimen daripada PAS dan calon-calon Pakatan yang lain. **************************** Ini kalilah PAS dan rakan-rakan Pakatannya berupaya menguasai Putrajaya dan negeri-negeri termasuk Melaka, insya-Allah. Harun yang dihubungi penulis, menyatakan keyakinannya untuk menang berdasarkan perkembangan semasa antara lain peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terutama orang Cina dan juga pertambahan sokongan orang Melayu sendiri yang sudah meningkat kepada 34 peratus. *************************** Katanya, sasarannya adalah untuk meningkatkan sokongan orang Melayu kepada 40 peratus; dan masalah perpecahan di kalangan orang Umno yang membabitkan pemilihan calon (BN mengekalkan Latiff), membuka peluang kepadanya dan PAS untuk mencatat sejarah gemilang di bumi Hang Tuah. **************************** Harun yang saya kenali adalah petugas gigih untuk parti. Jadi tiada masalah untuk beliau memanjangkan khidmatnya kepada anggota masyarakat termasuklah di kalangan orang bukan Melayu/Islam. Kepada pengundi 'non Muslim' terutama di Ujung Pasir dan taman-taman perumahan di Semabok berilah peluang kepada Harun dan PAS untuk berkhidmat sebagai wakil anda. **************************** Kepada pengundi Melayu, nilailah dengan hati terbuka antara intan (yang mungkin terbenam dalam lumpur) dan kaca, Haron tidak menjanjikan sebarang bentuk kemewahan; beliau hanya mahu berkhidmat kepada anda dan lebih penting lagi bersama-sama PAS untuk membawa anda kepada penghidupan membahagiakan di dunia dan akhirat sana. *************************** INI KALILAH, bantulah PAS dan Pakatan Rakyat untuk membantu anda menyelamatkan diri, keluarga, bangsa, negara dan agama daripada 'gila kuasa' Umno-BN yang telah 'menyelerakkan dan menyesakkan' negara selama lebih lima dekad. INI KALILAH, selamat mengundi!

No comments: