Monday, February 11, 2013

Ramai pemimpin cakap tak serupa bikin…

******************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************** Renungan ******************* "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ************************ SEORANG agamawan terkenal ditanya: “Jika agama benar-benar berkesan, mengapa berlaku banyak kejelekan di dunia ini?” Beliau bertanya balik, “Dengan banyaknya sabun, mengapa pula terdapat ramai orang busuk di dunia ini?” Agama, seumpama sabun (mengikut pandangan cendekiawan itu), mestilah diaplikasi secara peribadi jika seseorang itu mahu penghidupannya lebih bermakna). ************************** Namun hari ini semakin ramai pemimpin pandai cakap tetapi tak pandai bikin (tak praktikkan apa yang mereka syarahkan). Misalnya, mereka mengesyorkan rakyat hidup secara wasatiyyah (sederhana) tetapi mereka hidup boros, termasuk 'menghanguskan' wang kerajaan bagaikan harta milik sendiri. *********************** Ada pemimpin melaungkan ikut cara Islam, tetapi anak isteri mereka sendiri berpakaian tidak menutup aurat sepenuhnya (ini perkara asas), jadi apa cerita ini? ******************** Benar, dunia dipenuhi 1,001 kejelekan. Lebih membimbangkan kejelekan dan kebaikan bercampur-aduk diutarakan sesetengah pemimpin, sekali gus membingungkan orang awam seperti kita untuk memahami sesuatu isu ataupun membuat pilihan. Demikianlah semakin hari semakin sukar golongan awam seperti kita mencari kebenaran dalam sesuatu isu itu. ********************** Setiap tamadun, apatah lagi agama menyanjungi ketelusan. Agama membenci sikap hipokrit (bermuka-muka) dan dalam istilah agama Islam ia dipanggil munafik. Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama. ****************************** Di kalangan tokoh politik, sifat hipokrit boleh disaksikan secara terang-terangan menjelang satu-satu pilihan raya. Biasanya, sebelum sesuatu pilihan raya, sesebuah parti atau calon itu akan membuat pelbagai janji manis, tetapi selepas pilihan raya, kebanyakannya dilupakan. Ini satu ciri munafik - mungkir janji. Ada pemimpin bercakap berdegar-degar mengenai rasuah dalam parti, tetapi dia tetap bersama parti itu dulu kini dan selamanya. Kemudian ada pemimpin apabila harga minyak naik, menghebohkan 'ubah gaya hidup' tetapi dia dan anak isteri hidup bermewah-mewah. Bukankah ini hipokrit namanya. ******************************** Pembohongan ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, hampir pasti sifat buruk itu akan diteladani. Kata orang jika guru kencing berdiri, pasti anak murid kencing berlari. *********************** Kemudian kita lihat pula pembohongan yang dilakukan oleh sesetengah media kita. Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita. **************************** Contoh klasik pembohongan media ialah mengenai perhimpunan Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 serta Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari lalu. Akhbar Melayu melaporkan hanya beberapa ribu orang saja hadir sedangkan akhbar alternatif dan agensi berita asing melaporkan puluhan malahan ratusan ribu hadir. Gambar-gambar yang disiarkan oleh mereka membuktikan perkara itu. **************************** Amalan munafik pemimpin menjerumuskan negara ke lembah kehancuran. Apa yang ditonjolkan oleh pemimpin, menyerlahkan sikap munafik (seperti tidak menepati janji, bercakap bohong dan pecah amanah) akan menjadi ikutan rakyat negara ini. Apabila pemimpin zalim, rakyat pun zalim; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama. ***************************** Jika pemimpin melakukan pembunuhan; pembunuhan pun akan berleluasa dalam negara. Jika pemimpin kaki rasuah, rakyat juga gemarkan rasuah. Jika pemimpin kaki judi, kaki betina, rakyat pun mempunyai kecenderungan yang sama. Namun apa yang malangnya, pemimpin jahat ini mempamerkan dia baik sangat macam malaikat. Maka terkeluarlah daripada mulut mereka ungkapan seperti “Ikutlah Islam sepenuhnya!” ************************ Apabila pemimpin negara bertindak merampas sesebuah negeri secara rakus, rakyat yang tidak diberkahi juga bertindak melakukan kejahatan sama. Sudah tentu kejahatan yang dilakukan adalah dalam skala lebih kecil seperti Pengerusi JKKK merampas atau ‘mengsonglap’ duit peruntukan kampungnya atau pengerusi masjid menggelapkan duit derma orang ramai. Semuanya bagaikan matlamat menghalalkan cara seperti disebut Machiavelli. *********************** Mutakhir ini semakin ramai pemimpin cakap tak serupa bikin. Sungguh menghairankan dulu mereka bermatian-matian menegakkan parti masing-masing; sekarang ini pula melompat parti, menyerang dan menafikan apa yang mereka perjuangkan dulu – tidakkah ini namanya mempamerkan sifat munafik paling hebat? Munafik itu adalah mereka yang mempunyai cirri seperti pecah amanah, pembohong dan gagal menunai janji. ************************ Ya, seruan agama semakin diuar-uarkan tetapi semakin banyak orang jahat, sama seperti sabun makin banyak tetapi terlalu ramai orang busuk, demikian mungkin ada kebenaran kata-kata agamawan tadi!

No comments: