Wednesday, February 20, 2013

Berundurlah secara terhormat jika kalah pilihan raya

************************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan *********************** "Dan jika menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Maksud ayat 34 Surah Ibrahim) *********************** Pemimpin kerap menguar-uarkan negara kita akan mencapai status negara maju pada 2020. Malah ada negeri seperti Melaka sudah pun membuat perisytiharan sebagai berstatus maju; kita tertarik untuk membuat perbandingan senario politik kepimpinan negara maju dan negara kita dalam menghadapi kekalahan dalam pilihan raya. **************************** Di negara maju adalah biasa untuk sesebuah parti politik itu silih berganti bagi menerajui negara. Di Amerika Syarikat pertarungannya adalah antara parti Demokrat dan Republikan.Pemimpin parti yang tewas akan berundur secara terhormat, tidak timbul langsung akan mempertahankan Rumah Putih ke titisan darah terakhir. **************************** Demikian juga di Britain; kita dapat saksikan bagaimana dengan terhormat perdana menterinya seperti Tony Blair melepaskan kuasa; demikian juga di Perancis, Nicolas Sarkozy menerima kekalahan dengan bergaya; dunia kini sudah melupakan bekas pemimpin Perancis dengan isteri glamornya, Carla Bruni. **************************** Sehubungan itu, sebagai negara di ambang status negara maju, kita berharapkan pemimpin kita dapat mencontohi kesediaan pemimpin negara maju berundur secara terhormat jika mereka tewas dalam pilihan raya. Demikian juga bebas pemimpin dan pemimpin politik lain - usahlah bercakap merapu seperti bermandi darah, menghasut penyokong melakukan keganasan jika kalah. Usahlah mencatat sejarah sebagai pemimpin yang memulakan ketidak-tentuan dalam negara dan menjadi kebencian rakyat. *********************** Pemimpin perlu menyedari sejarah mencatat mereka yang berada terlalu lama di puncak kuasa, menjadi kebencian orang. Ferdinand Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan Idi Amin (Uganda) adalah contohnya. Mereka disusuli diktator Zine el Abidine Ben Ali (Tunisia). Hosni Mubarak (Mesir) dan Muammar Gaddafi (Libya). Tidak lama lagi tentu ada tokoh dan parti lain seperti Bashar Al-Assad (Syria) mengikuti. **************************** Dalam dunia politik antarabangsa kontemporari, nama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela tetap terpelihara. Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini hanya menjadi presiden sepenggal cuma (selama lima tahun selepas menang pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April 1994). ********************** Pada pilihan raya umum Afrika Selatan 1999, Mandela yang memimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, tetapi tokoh yang pernah meringuk 27 tahun dalam penjara memilih untuk berundur, memberi peluang kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara. ********************* Ya, Mandela adalah contoh negarawan hebat, beliau enggan berada di puncak kuasa buat tempoh masa lama, bagi beliau cukuplah sekadar meletakkan asas kepada pembentukan negara Afrika Selatan baru yang didirikan di atas kuburan dasar aparteid yang membelenggu negara itu berabad-abad lamanya. *********************** Hal ini amat berlainan dengan diktator-diktator dunia Arab yang mahu terus berkuasa ‘dulu, kini, dan selamanya’ semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang menunjukkan mereka dapat sokongan hebat – lebih daripada 90 peratus undi. ************************* Mubarak, Saddam Hussein (Iraq) dan Ali Abdullah Saleh (Yaman) bukannya tidak melalui pilihan raya malah setiap kali kemenangan lebih 90 peratus dicatatkan, menyakinkan mereka untuk terus berkuasa. Jelas rakyat tidak dapat mengubah mereka melalui pilihan raya tetapi cara lain termasuk melalui jalan raya. *********************** Tentunya kita tdak mahu hal ini berlaku di negara kita, oleh itu wahai pemimpin yang tewas, bersedialah berundur secara terhormat, usahlah bercakap ‘merapu’ dengan menyemarakkan penyokongan dengan ucapan seperti “mempertahankan Putrajaya sehingga ke titisan darah terakhir!” *************************** Berundurlah bagaikan ‘gentleman’ seperti ditunjukkan Blair, Sarkozy tetapi mengetepikan pemimpin yang mahu berkuasa dulu, kini dan selamanya seperti Bashar Al-Assad sekalipun ratusan ribu rakyatnya sudah mati dalam konflik berpanjangan hingga kini. Insya-Allah dia juga akan ditunjuk jalan keluar!

No comments: