Monday, February 4, 2013

10 tahun sudah berlalu, masanya sudah tiba (ini kalilah…)

***************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan ******************* "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 *********************** MELALUI tulisan-tulisan lama saya sejak reformasi kebangkitan rakyat 1998, ada saya coretkan pandangan pemimpin PAS Melaka ketika itu seperti Dr Mujahid Yusof (pernah menjadi Ketua Penerangan PAS Melaka) bahawa orang Melayu-Melaka memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun untuk berhijrah menyokong parti Islam. ********************** Jadi pada PRU13 yang mesti diadakan tahun ini, bermakna tempoh 10 tahun yang dinyatakan itu sudah sampai, jadi apakah PAS berpeluang mendapat sokongan dan undi yang cukup untuk sekurang-kurangnya menghantar seorang wakil di DUN buat pertama kalinya. ********************* Daripada 13 kerusi ditandinginya (Dun Melaka ada 28 kerusi), apakah PAS mampu mencatat sejarah di bumi yang terlalu membangga-banggakan legenda Hang Tuahnya (kini sebuah kompleks raksasa perkampungan Hang Tuah dalam peringkat akhir pembinaannya di Kampung Duyong) ini? *********************** Sekalipun saya sempat berbual-bual dan mendapat pandangan beberapa pemimpin dan ahli akar umbi PAS Melaka, tidaklah saya berhajat mencelotehkan apa yang mereka perkatakan itu sebaliknya menyiarkan sebuah artikel lama saya yang disiarkan dalam sebuah akhbar bertarikh 3 Disember 1999. ************************* SEBUTIR PERMATA DARI PANTAI TIMUR *************************** Ketika membaca al-Quran selepas solat subuh pada hari pengundian (29 November 1999 ), saya terdengar orang memberi salam. Saya bergegas ke tingkap. ******************* Sekalipun, hari masih gelap, saya dapat mengecam orang itu ialah kakak ipar saya. Dia menetap di Terengganu selepas berkahwin dengan orang negeri itu. ********************** Saya hairan mengapa dia balik sendirian dan tiba pada waktu subuh pula. Mana suami dan anak-anaknya? Tetapi pertanyaan hati itu segera mati apabila saya teringatkan bahawa hari itu ialah hari mengundi. Mungkin dia mahu mengundi, fikir saya. ******************** Memang benar. Kakak ipar saya itu sanggup menempuh perjalanan yang jauh (kira-kira 10 jam menaiki bas ) secara sendirian semata-mata untuk mengundi. ************************ Suaminya mengundi di Terengganu sedangkan dia di Melaka. Beliau rela meninggalkan suami dan anak-anak buat sementara waktu bagi membolehkannya menunaikan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanah air. ********************* Undinya kepada parti Islam adalah mahal kerana ia menuntut pengorbanan. Undinya adalah ibarat permata yang dibawa dari Pantai Timur untuk menyinari perjuangan PAS di selatan Semenanjung (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) yang begitu suram. ********************* PAS kelihatan masih asing di negeri-negeri ini. Tiada calon PAS, sama ada di peringkat parlimen atau negeri yang meraih kerusi dalam pilihan raya ke-10 ini. Ringkasnya, angka 0 adalah sinonim dengan PAS di negeri-negeri selatan ini. ******************* Sekalipun sedih dengan perkembangan ini, hati terubat apabila menyedari peningkatan jumlah undi yang dirauh calon-calon PAS di negeri-negeri ini. Dulu fenomena ' hilang wang pertaruhan' adalah biasa kepada calon PAS. Kini tidak lagi. Ertinya, pengaruh PAS sudah meningkat secara beransur-ansur tetapi tidak cukup kuat untuk membolehkannya mencatat sejarah gemilang seperti di Kelantan atau Terengganu. ********************** Gambaran betapa ramainya orang menghadiri ceramah PAS tidak boleh dijadikan kayu pengukur kekuatan PAS di negeri-negeri ini. Hampir semua hadirin ceramah-ceramah adalah lelaki, tidak seperti di Pantai Timur, di mana golongan wanita turut hadir. ********************** Di negeri-negeri selatan, kebanyakan wanitanya masih jauh tersisih daripada arus perjuangan PAS sedangkan lebih 50 peratus pengundi adalah wanita. Pendeknya, hati wanita negeri-negeri ini masih gagal didekati, apatah lagi ditawan. ************************** Bagaimanapun semangat dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh kumpulan atau individu seperti kakak ipar saya yang bersuamikan orang Terengganu itu, membayangkan bahawa tempias PAS akan terkena negeri-negeri selatan ini. Insya Allah jiwa orang Terengganu atau Kelantan akan meresap ke dalam tubuh orang Melaka, Negeri Sembilan dan Johor suatu hari nanti. *********************** Persoalannya bila? Seorang kawan saya berkata, ia memerlukan 10-30 tahun lagi. Bersabarlah menunggu detik bersejarah itu dan renungilah kata-kata hikmat – seriibu langkah bermula daripada langkah pertama dan kota Rom pun tidak dibina dalam masa sehari! *************************** Kini lebih 10 tahun sudah berlalu, apakah ‘ini kalilah’ (PRU13) seperti diungkapkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Sabah, untuk rakyat Melayu-Melaka mencatat sejarah di bumi ber-TUAH!

No comments: