Friday, July 13, 2012

Masa bergerak perlahan di Pulau Ketam

********************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************** Renungan ******************** Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) *************** TANPA dirancang, tanggal 30 Jun 2012 selepas selesai urusan di LCCT, saya dan isteri serta seorang anak dengan menaiki kereta kami, akhirnya tiba di jeti ke Pulau Ketam di Pelabuhan Klang. Kami menaiki feri ke pulau itu dengan tambang seorang dewasa RM7 manakala kanak-kanak RM4. *************** Inilah pengalaman pertama saya ke Pulau Ketam. Dulu saya pernah ke Pulau Lumut (kini Pulau Indah). Kedua-dua pulau ini adalah sejumlah daripada pulau besar yang terletak di muara Sungai Klang/Langat. Antara pulau lain adalah Pulau Carey, Pulau Tengah dan Pulau Klang. ****************** Pulau Indah didominasi orang Melayu manakala Pulau Ketam orang Cina. Saya tertarik ke Pulau Indah kerana terlihat gambar Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menunggang basikal ketika melawat pulau itu. Saya tertanya-tanya kenapa Sultan Selangor sendiri kena naik basikal di Pulau Lumut (ketika itu). ***************** Apabila saya ke Pulau Lumut (1983), kenderaan yang saya temui di pulau itu hanyalah basikal dan motosikal. Patutlah Sultan Salahuddin sendiri naik basikal semasa melawat pulau itu. Sekarang seseorang yang mahu ke Pulau Lumut (namanya pun sudah tiada) tidak perlu naik feri. Pulau ini sudah dihubungkan dengan lebuh raya dengan Pelabuhan West Port yang masyhur itu (termasuk PKFZ yang dihitami skandal rasuah) terletak di pulau ini. ******************* Apabila Pulau Lumut (yang dikasihi Almarhum Sultan Selangor) itu dibangunkan sedemikian rupa, kemungkinan besar tanah-tanah milik orang Melayu sudah terlepas tangan kepada korporat-korporat antarabangsa manakala tauke dan broker sudah tersandar kekenyangan malah ada sudah meringkuk di dalam penjara dengan seorang menteri masih dibicarakan kesnya yang bagaikan tak berpenghujung. ******************* Kenangan indah saya di Pulau Lumut sudah mati sebagaimana hilangnya nama pulau itu. Saya menjejakkan kaki di Pulau Ketam pula. Sekalipun tidak pernah ke Pulau Ketam sebelum ini, saya dapat mengagak betapa perlahannya masa bergerak di pulau yang dihuni kira-kira 10,000 penduduk itu, kebanyakan ketua keluarga adalah nelayan. ******************** Dari masa kami bergerak di jeti, kemudian menyewa basikal dengan kadar RM5 sebuah sehari, semuanya menunjukkan bahawa cara kehidupan penduduk akan dikekalkan. Kami saksikan penduduk menjemur hasil laut seperti udang dan sotong di atas simen pelantar, penduduk dan pelancong bergerak perlahan sama ada berbasikal atau berjalan kaki manakala ada anak-anak mandi manda di sungai. ******************* Pulau Ketam akan kekal sebagai identiti sebuah perkampunan nelayan Cina dengan penduduknya berbangga dengan keadaan itu walaupun sesetengah anak mudanya tidak betah dengan kehidupan cara itu, lantas berhijrah ke tanah besar, di Klang dan Kuala Lumpur. Dikatakan pada tahun-tahun 1980-an penduduk Pulau Ketam mencapai 20,000 orang tetapi berkurangan kepada 10,000 penghuni sekarang ini. ******************* Bagi saya, isteri dan anak-anak; mengayuh basikal di atas pelantar simen yang bagaikan jalan raya dan melalui celah-celah kedai dan rumah penduduk, cukup mengujakan. Si anak nampak rileks dan seronok tetapi isteri dan saya kelihatan melalui pengalaman penuh kepayahan. Al-maklumlah orang sudah ‘senang’ – basikal ‘tak main lagilah’ sekarangkan zaman orang berbangga dengan kereta masing-masing! ************************ Itulah kebanyakan orang Melayu, senang berubah dan enggan menoleh melihat zaman lamanya. Tetapi orang Cina Pulau Ketam, seolah-olah semuanya mahu dikekalkan. Mereka berbangga dengan warisan datuk nenek moyang mereka yang dikatakan membuka pulau berkenaan pada 1880-an. Mereka tidak peduli tinggal dalam keadaan sesak itu, yang penting ada kesinambungan keturunan dan warisan. ************************ Namun apa sudah jadi dengan Pulau Lumut dan kawasan-kawasan orang Melayu di seluruh tanah air? Semuanya mahu dibongkar, dibangunkan kononnya atas dasar kemajuan. Hatta kubur orang Melayu/Islam pun mudah dibongkar buktinya di atas tapak Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah, KL itu sebenarnya adalah tanah perkuburan. ******************** Terkini peniaga-peniaga Melayu di Plaza Bukit Bintang di KL penuh keresahan, pusat niaga antara yang terawal di ibu kota itu juga akan dirobohkan untuk projek MRT sedangkan peniaga Cina di Petaling Street kental mempertahankan warisan mereka. ******************** Oleh itu kita ucapkan syabas kepada orang Cina yang bertegas mempertahankan hak manakala kepada orang Melayu sedarlah bahawa selagi kuasa berada di tangan puak feudal yang mahu memerintah dulu, kini dan selamanya, akan habislah tanah dan identiti Melayu dilapah mereka!

No comments: