Monday, July 16, 2012

Islam berpotensi berkembang di Pulau Ketam

************* Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************* Renungan ************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ******************* DARIPADA beberapa pulau di tanah air yang pernah saya kunjungi, suasana di Pulau Ketam menarik perhatian saya kerana sebaik sampai di jeti dan berjalan-jalan di atas pelantarnya (jalan raya), seseorang akan menemui Balai Islam sedangkan di pulau-pulau lain, surau dan masjid terletak jauh di kawasan penempatan penduduk. **************** Dengan kewujudan Balai Islam ini, mudahlah pengunjung Muslim, terutama mereka yang baru sampai untuk solat. Namun saya dan keluarga yang tidak tahu kewujudan Balai Islam, meluangkan dulu masa menunaikan solat di sebuah masjid di tanah besar (Pelabuhan Klang). ******************** Daripada maklumat penjual tiket feri di jeti ke Pulau Ketam yang katanya sukar menemui restoran orang Islam di pulau berkenaan, kami mengisi perut dulu sebelum menaiki feri. Memang benar, saya perhatikan tiada kedai makanan Muslim di pulau itu walaupun sesetengah orang berkata ada. Ya, mungkin kedai itu ada, kami yang tidak ketemuinya. ***************** Namun apa yang kami saksikan, ada pengunjung Islam (yang saya cam melalui tudung yang dipakai wanita yang bersama keluarga atau rakan masing-masing) menikmati makanan laut di restoran-restoran bukan Islam. Mungkin mereka diyakinkan bahawa makanan berkenaan adalah halal. ***************** Balai Islam adalah lambang bahawa Islam berpotensi untuk berkembang di Pulau Ketam. Bangunan Balai Islam ini dua tingkat. Tingkat bawah digunakan untuk kegiatan penduduk manakala tempat solat adalah di tingkat atas. Balai Islam ini sebenarnya adalah Pusat Komuniti Islam milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais). *************** Menurut laporan, sekarang ini kurang 100 orang daripada kira-kira 10,000 penduduk Pulau Ketam beragama Islam. Jumlah ini tersangat kecil, bagaimanapun, dengan adanya beberapa bangunan kerajaan di pulau berkenaan seperti klinik kesihatan, balai polis dan bomba, saya percaya contoh baik ditunjukkan oleh kakitangan kerajaan beragama Islam yang bertugas di pusat-pusat ini dapat menarik perhatian penduduk kepada Islam. ***************** Berdasarkan lokasi Pusat Islam yang tersergam di tengah-tengah persekitaran penduduk bukan Islam, inilah peluang terbaik untuk orang Islam, sama ada orang tempatan atau orang luar yang bertugas di sana dan juga pelancong Muslim mempamerkan kualiti terbaik umat Islam yang insya-Allah akan memikat non-Muslim kepada agama suci itu. ***************** Saya berpendapat dengan berkuasanya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang bersikap terbuka, usaha-usaha berterusan perlu dilakukan oleh menarik minat penduduk Pulau Ketam kepada Islam. Pemimpin-pemimpin Islam terutama daripada PAS perlu mengorak langkah; namun tidak perlu menguar-uarkan secara besar-besaran usaha dakwah di pulau itu, sebaliknya melakukan pendekatan berhemah seperti mendekati dan menyantuni penduduk. *************** Berhubung perkara, kita menyambut baik usaha Pejabat Adun Selat Klang dan sejumlah pertubuhan bukan kerajaan yang diketuai Dr Halimah Ali tidak lama dulu, yang melakukan usaha mendekati penduduk pulau berkenaan di samping menjayakan projek gotong-royong seperti membersihkan kawasan persekitaran penduduk. ****************** Berdasarkan pegangan kuat penduduk Cina Pulau Ketam terhadap budaya warisan mereka, kita percaya usaha dakwah di kalangan orang tempatan wajar dimainkan oleh pendakwah Cina sendiri sama ada daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan juga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). **************** Namun pendakwah bukan Cina boleh juga berperanan; jemaah PAS atau Tabligh yang terkenal dengan semangat kental itu juga boleh melebar-luaskan Islam di pulau perkampungan nelayan Cina ini. **************** Selain itu, organisasi teratur dan mempunyai dana kukuh seperti Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor hendaklah kerap bersilaturrahim atau mengadakan pelbagai program di pulau berkenaan. ***************** Tentunya Pusat Zakat mempunyai peranan lebih penting kerana golongan yang baru memeluk Islam (muallaf) di pulau itu berhak menerima bahagian zakat mereka; jadi peluang menyampaikan zakat perlu dimanfaatkan untuk turut menyantuni penduduk Islam; insya-Allah mereka juga akan tertarik kepada Islam. *************** Ya, suatu hari nanti Islam akan menyinari bumi Pulau Ketam dengan orang Cina Muslim sendiri sebagai penduduk tempatan memakmurkannya!

No comments: