Tuesday, May 1, 2012

Surat terbuka kepada pembesar negara...

**************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********** Renungan **************** Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ******************* SEORANG pembaca yang menamakan dirinya Yousoeff Alexandra (pulsar11@hotmail.com) mengirim e-mel kepada saya, mengemukakan satu cadangan kepada PAS menjelang pilihan raya umum ke-13 ini. Demikian antara lain kandungan suratnya. ******************* "Saudara LanH, pohon tuan panjangkan cadangan saya ini kepada pemimpin-pemimpin PAS atau saudara masukkannya dalam ruangan tulisan sudara. Saya mencadangkan agar pemimpin PAS menulis surat terbuka kepada pemimpin-pemimpin negara. ********************* "Surat itu hendaklah ringkas, padat dan penuh dengan kata-kata nasihat, dakwah, doa, nasihat takukan dosa dan sebagainya. Surat itu hendaklah disiarkan dalam akhbar Harakah sebab saya yakin bahawa bukan ahli PAS sahaja yang baca akhbar ini. Ia juga dibaca oleh pimpinan BN terutama Umno untuk dijadikan bahan rujukan. ******************* "Saya tertarik dengan surat terbuka Dato' Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada pejuang-pejuang Melayu yang disiarkan dalam Harakahdaily baru-baru ini. ********************* "Tetapi maaflah, pada pandangan saya ia kurang menyengat, sepatutnya orang-orang dalam 'think tank' (kumpulan pemikir) PAS dan cendekiawan lain dapat membantu. ******************** "Usaha ini boleh dimulakan dengan surat terbuka Presiden PAS kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri serta Timbalan Menteri Persekutuan dan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh membantu dengan menulis surat terbuka kepada Ketua Polis Negara, Pengerusi SPR, Pengarah JPN, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan sebagainya manakala Ketua Penerangan, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man boleh menulis surat terbuka kepada Ketua Umno Bahagian, Pengerusi JKKK dan sebagainya. Ketua Muslimat pula menulis surat terbuka untuk Ketua Wanita Umno manakala Ketua Pemuda PAS menulis surat terbuka kepada Ketua Pemuda Umno. ******************* "Saya yakin jika perkara ini dibuat secara berterusan, kita usahakan berdakwah secara lembut; insya-Allah hati-hati mereka ini akan cair dan terbuka. Mereka akan diberi petunjuk oleh Allah SWT supaya tidak menipu, korup dan sebagainya. Surat ini perlu diwujudkan dalam satu ruangan khas dalam akhbar Harakah dan dibuat berterusan. Semoga Allah selamatkan kita daripada kebobrokan yang sudah tenat hari ini." ***************** Berceloteh mengenai surat terbuka ini, teringat saya akan surat terbuka yang pernah saya nukilkan untuk pengundi di tanah air kita. ******************* Antara lain saya menulis: "Sebelum tuan puan membuat keputusan siapa layak tuan puan berikan undi tuan puan yang amat berharga itu, saya dengan rendah diri mengemukakan kisah ini agar dijadikan iktibar bersama. Ia bukan kisah mendapat sehelai kain batik atau wang RM50.00 dan jalan ke rumah ditar, tetapi membabitkan masa depan anak bangsa. ******************* Tidak lama dulu saya membaca wawancara panjang lebar wartawan 'the Sun' dengan Pro-Canselor UiTM yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad. Wawancara bertajuk 'Raising standards in national schools' itu disiarkan dalam akhbar itu tidak lama dulu. ******************** Apa yang menarik perhatian saya adalah bahagian akhiran wawancara itu mengenai keperluan meningkatkan martabat dan profesion perguruan kerana kunci kejayaan pendidikan terletak di tangan guru. Apabila Abdul Rahman ditanya soalan; "So the key is the teachers?", beliau menjawab: "Yes prepare them first. Like your teaching of Maths and Science. You don't prepare the teachers first and then teach." ********************** Apabila ditanya, "That is why there is a problem now. You don't have enough teachers, right?, Abdul Rahman menjawab: "Yes, there is a problem now. You have them teaching Maths and Science but can they speak English?" ********************* Abdul Rahman yang ditanya; "So, everything is ad hoc?", terus menjawab, penuh bermakna; "Well...that's..." ****************** Demikianlah dalam usaha membentuk satu tamadun bangsa melalui pendidikan yang sangat penting itu pun kerajaan BN sanggup menggunakan pendekatan 'ad hoc', jadi apalah sangat dengan projek-projek pembangunan yang kononnya sedang diusahakannya untuk rakyat negara ini. Begitu juga dengan bantuan RM500 sekali beri, bolehkah ia meringkan derita rakyat dari segi jangka panjang? ******************* Bukankah kebanyakannya dilakukan menjelang pilihan raya tetapi yang peliknya apabila ditanya oleh wartawan, selalunya pemimpin Umno-BN akan menjawab, segala projek atau 'kemurahan hati' mereka itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. ******************** Untuk menjadikan seorang anak itu 'manusia', ia memerlukan tempoh bertahun-tahun malah berbelas dan berpuluh tahun. Ayah dan ibunya perlu mendidiknya dari dalam perut, kemudian dalam buaian, menyekolahkan seterusnya memasukkannya ke universiti, kemudian mengahwinkannya. Itu pun belum tamat lagi, apabila si anak bersalin, ibunya juga yang dicari! ****************** Bolehkah seseorang itu menjadikan anaknya seorang 'manusia' dengan hanya mencampakkannya wang ringgit jika dia diperlukan, tetapi kemudian mengabaikannya tahun demi tahun? Bolehkah bantuan RM100 sekali beri untuk anak-anak melegakan sengsara mereka selama ini? ******************* Apabila berlaku perceraian misalnya, apakah seorang ayah dapat memenangi kasih sayang seorang anak dengan hanya melambakkan wang ringgit dan kemewahan? Tentu tidak, untuk memenangi hati si anak dan untuk menjadikan dia 'seorang manusia' tentulah kasih sayang perlu dipupuk sepanjang masa. ******************** Tetapi untuk mendapat perhatian, hadiah besar seperti kereta mewah daripada seorang bapa sudah pasti merenggut tumpuan seorang anak. Bagaimanapun ia hanya bersifat sementara. 'Habis hadiah', habislah perhatian diberikan kepada bapa. Demikianlah apa yang berlaku ketika di ambang pilihan raya sekarang ini. Rakyat dilambakkan dengan kemewahan, apa nak bagi, jadi bolehkah kita melahirkan rakyat yang bernilai dan bermutu tinggi melalui cara 'ad hoc' ini? ********************* Demikian perbandingannya dengan pengundi. 'Hadiah mewah' yang BN lambakkan tentulah merenggut perhatian mereka. Tiba-tiba mereka dapati jalan berlubang dibaiki dan ditar, rumah mereka yang buruk berganti baru, mereka mendapat geran tanah, bekalan elektrik dan air disalurkan, tempat perlupusan sampah ditutup manakala pemimpin sanggup berpanas, berhujan, berkain pelekat bersama-sama rakyat menghirup kopi dan ke bendang. ******************* Taktik ini sudah pasti memenangi hati rakyat. Tetapi apakah ia benar-benar dapat memajukan rakyat - sama ada dari segi pemikiran dan penampilan. Sudah tentu tidak kerana selepas pilihan raya berakhir, rakyat tetap begitu...begitu saja. Yang miskin tetap miskin, tiada siapa peduli akan nasib mereka sehinggalah pilihan raya akan datang. ******************* Pemimpin silih berganti tetapi rakyat masih macam itu macam itu juga. Kini selepas lebih lima dekad merdeka, biarlah rakyat diberi kebebasan dalam erti sebenarnya untuk memilih pemimpin dan parti yang benar-benar akan membawa mereka ke jalan selamat dan bahagia bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat sana.

No comments: