Tuesday, May 29, 2012

Pendidikan percuma matlamat Pakatan Rakyat

***************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *************** Renungan ************** Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ************* Sepanjang Mei kita merayakan pelbagai hari istimewa seperti Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Guru dan Hari Jururawat yang semuanya membawa pengertian sangat besar bagi setiap insan. Bagi melahirkan sebuah tamadun hebat, sejajar dengan pengorbanan semua peringkat masyarakat daripada ibu bapa sehinggalah pekerja, setiap insan perlukan pendidikan terbaik sama ada dari segi keperluan keduniaan atau akhirat. ****************** Masa depan negara bergantung kepada generasi mudanya. Mereka wajar mendapat pendidikan terbaik termasuk bimbingan kerohanian bagi membolehkan generasi akan datang memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah airnya. Namun demikian, kos pendidikan semakin lama semakin tinggi, suatu hari nanti dikhuatiri tidak mampu ditanggung golongan sederhana sekalipun. Perkembangan ini sungguh membimbangkan kerana pendidikan sebenarnya adalah keperluan asas yang didambakan setiap rakyat. ************************** Mengapa kos yang dikenakan ke atas anak bangsa berterusan naik sedangkan negara didakwa sebagai paling berkembang maju dan dinamik di kalangan negara-negara sedang membangun? Malah ada pemimpin mendakwa Malaysia sudah mencapai taraf negara maju. Hakikatnya, di banyak negara maju seperti Britain, Sweden dan Finland pendidikan adalah percuma sedangkan ibu bapa di negara kita dikenakan bayaran yang berterusan bertambah pada sesi baru persekolahan. ********************** Kini pengajian peringkat tinggi di ambang menerima kemasukan pelajar baru dan kita difahamkan setiap pelajar dikehendaki membayar yuran yang berjumlah lebih RM500. Bagi meringkan beban ibu bapa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pendahuluan pinjaman RM1,500 bagi setiap pelajar baru. Ertinya sebelum seseorang pelajar itu memasuki institusi pengajian tinggi, dia sudah mula mengumpul hutang; selepas tamat pengajian beberapa tahun kemudian, berapa agaknya hutang terkumpulnya kepada PTPTN? ******************* Hutang pendidikan begitu membebankan rakyat, terutama generasi muda yang baru menempoh dunia pekerjaan. Akibat terlalu banyak komitmen, pelbagai masalah termasuk dari segi sosial akan membelenggu sekali gus menjejaskan kemajuan dan kesejahteraan negara. Kini timbul desakan agar PTPTN ini dikaji semua termasuk dihapuskan agar diberikan pendidikan percuma kepada rakyat. ********************* Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat, Salahuddin Ayub, tidak lama dulu berkata perkembangan ini membuktikan bahawa betapa pentingnya rakyat memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara atau sekurang-kurangnya menghantar lebih ramai wakil Pakatan di Dun dan Parlimen bagi membolehkan suara dan kepentingan mereka didengar pihak pemerintah. ********************** Pakatan Rakyat memberi komitmen menyediakan pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia, daripada peringkat tadika sehinggalah ke pengajian ijazah pertama, kata beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat. *********************** Salahuddin berkata pendidikan percuma itu adalah antara perkara terbesar akan cuba dilaksanakan Pakatan Rakyat apabila berjaya menguasai kerajaan Pusat; oleh itu seluruh rakyat perlu menyatakan sokongan kepadanya pada pilihan raya umum ke-13 nanti. ********************* Katanya, pendidikan percuma itu adalah berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana antara lain menyatakan hak bumiputera untuk berdaya saing dengan kaum lain; salah satu carannya melalui pendidikan. ******************** “Kami di Pakatan Rakyat bercadang melanjutkannya kepada semua kaum; semua pihak terutama pelajar yang memerlukan akan dibantu sepenuhnya agar semua rakyat berpeluang mendapat pendidikan daripada tadika sehinggalah ke pengajian tingggi,” katanya. ******************** Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS, yakin berdasarkan perolehan negara termasuk melalui pencukaiannya dan keuntungan puluhan bilion ringgit oleh Petronas, membolehkan rancangan pendidikan percuma itu dijayakan. Menurut beliau jika kerajaan mentadbir kewangan negara dengan telus, tidak timbul soal untuk memotong peruntukan dengan banyaknya dalam bidang pendidikan.

No comments: