Thursday, May 10, 2012

Perjalanan Bersihku…Diganggu hantu anti-Bersih

****************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan ******************** Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." **************** BAHAGIAN PERTAMA ************** SUDAH lebih dua bulan saya pencen daripada Harakah. Pencen dalam suasana yang belum selayaknya kata sesetengah orang kerana saya baru berusia 50 tahun. Selepas pencen, tidaklah lagi saya berulang alik hampir setiap hari antara Kuala Lumpur dan Melaka. Malah sejak pencen, ke KL pun baru sekali dua. ******************* Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April menggamit saya ke KL. Pada hari Jumaat (27 April), pagi-pagi lagi saya sudah menaiki bas ekspres ke KL. Saya memilih bas dengan tambang termurah iaitu Metro yang harganya RM9.40 sehala sedangkan Transnasional RM12.50. Kalau pembaca belum tahu, di kalangan pengusaha bas ekspres pun ada persaingan hebat untuk memenangi hati pengguna. Terpulanglah kepada diri sendiri untuk membeli tambang yang termurah, sederhana atau termahal. Bukankah negara ini mengamalkan demokrasi, jadi buatlah pilihan yang terbaik! ********************* Saya ke KL awal kerana mahu menyelesaikan pelbagai urusan serta mengelakkan kesukaran memasuki pusat bandar raya jika lewat. Tempoh dua hari satu malam (macam pakej percutian pula) di KL begitu singkat tetapi meninggalkan kenangan dan persoalan mendalam di hati ini. ********************* Misalnya ketika perhimpunan Bersih 3.0, saya saksikan sejumlah gambar besar PM Najib Razak sengaja diletakkan di atas jalan raya; dengan orang ramai terutama anak-anak muda memijak-mijaknya (ada yang berposing ketika memijak gambar itu); layaknya macam gambar George W Bush dan juga bapanya George Sr Bush (ketika menjadi Presiden Amerika) yang diinjak-injakkan oleh warga Iraq ketika Perang Teluk dulu. ********************* Sekalipun menyokong Himpunan Bersih 3.0 (hadirnya saya sebagai buktinya); saya tidak malu menyatakan perkara ‘tidak baik’ atau yang boleh membawa natijah tidak baik pada hari perhimpunan itu. Seumur hidup saya tidak pernah saksikan gambar PM terdahulu dipijak-pijak oleh rakyat. Najiblah PM pertama yang gambar-gambarnya diinjak-injak oleh rakyat (berdasarkan pengalaman saya). Tentunya hal ini boleh dibahaskan dan diusahakan jawapannya oleh ahli politik, sosiologi, psikologi dan agamawan. ******************* Bagi saya yang dangkal ini, ada tiga hal yang saya fikirkan mengenai kejadian tersebut. Pertama begitu bencinya segelintir rakyat kepada PM Najib sehingga mereka sanggup berbuat begitu dan kedua, segelintir anak-anak muda kita begitu rendah akhlaknya sehingga gagal mengawal diri daripada bertindak secara keterlaluan. ***************** Manakala yang ketiga mungkinkah pembawa gambar itu yang kemudian memijak-mijaknya adalah penyamar yang sengaja mencetuskan provokasi bertujuan menaikkan kemarahan rakyat bagi memancing mereka melakukan perkara di luar kawalan? Saya tidak dapat menjawab persoalan ini, cuma melaporkan apa yang saya saksikan dengan mata sendiri hal yang berlaku pada ‘Hari Bersih 3.0 itu’. ****************** Sebenarnya kisah ‘Bersihku’ bermula sejak berada di pejabat editorial Harakah lagi. Selepas berbulan-bulan tidak datang, saya disambut penuh erat oleh rakan-rakan. Jazakallah khairan katsira kepada rakan-rakan terlalu baik terutama Haji M yang telah bermurah hati membelanjakan saya dan rakan-rakan makan besar sebanyak dua kali hari itu. ********************* Jam 11.30 malam itu saya cuba tidur di surau tingkat 2 sekalipun ‘diguraukan’ seorang rakan tidurlah di tingkat lain kerana di tingkat dua ada……Saya tahu apa dimaksudkannya kerana saya pernah bermalam dua kali di surau itu; pada kedua-dua kali saya mengalami gangguan yang sama. ***************** Sebaik saja mata terlelap, muncullah satu bayangan macam orang tetapi apabila saya suruh tunjukkan wajah, ia tidak mahu. Akhirnya saya pun tersedar. Kali ini gangguannya hampir sama, tetapi saya terus mahu tidur di situ kerana mendapat inspirasi seorang veteran, bekas guru, Adnan Osman, 69, yang sanggup ke London sempena Sukan Olimpik pada Julai ini dengan menunggang basikal. ******************* Ya, sepanjang kembara Cikgu Adnan yang kali terakhirnya saya baca dia berada di Bulgaria, di malam-malam hari di mana agaknya beliau tidur. Kalau dia boleh bermalam di mana-mana takkan saya takut nak bermalam di surau…di Harakah pulak tu! Lagi pun biasa-biasakan diri tidur sendirian di tempat penuh cabaran sebab mati nanti masuk kubur 'sorang-sorang' juga! ****************** Namun selepas membolak-balikkan tubuh penuh gelisah dan muncul adegan yang sama setiap kali mata mahu terlelap, saya pun ‘cabut’. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi, saya pun naik ke tingkat tiga dan kemudian ‘landing’ di bilik lama saya, yang khabarnya sudah digunakan seorang rakan. Minta maaflah kepada rakan ini kerana menumpang biliknya tanpa kebenaran dulu. Alhamdulillah, akhirnya berjaya saya lelapkan mata di bilik itu, jadi dapatlah saya sedikit sebanyak tenaga untuk menyertai perhimpunan Bersih sepanjang hari Sabtu, 28 April. ********************* Ehh, ehh, apabila tersedar jam 4.00 pagi, terfikir pula saya; mungkinkah saya diganggu di surau tadi kerana saya pakai baju dan kopiah yang warnanya kekuning-kuningan hari itu. Ya, mungkinkah ‘hantu anti-Bersih’ sudah mula mengganggu mangsanya termasuklah saya kerana berpakaian kuning…?

No comments: