Monday, July 12, 2010

Anjakan minda perlahan di kawasan Felda

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Firman Allah SWT bermaksud: "Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula terdapat 100 biji, dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah 261)
***

KETIKA ini isu Felda hangat membara. Penulis tidak bercadang menyentuh isu berkenaan (rizab tunai Felda) tetapi berhajat menceritakan pengalaman melihat kegiatan penduduk berdasarkan kunjungan ke beberapa tanah rancangan dan mengaitkannya dengan perkara yang sama di tempat penulis tetapi sudah berkubur.

Suatu ketika penulis dijemput ke sebuah majlis perkahwinan di sebuah tanah rancangan Felda di selatan tanah air. Tak payahlah penulis sebutkan nama kawasan berkenaan. Untuk pergi ke tempat itu, puas juga penulis dan keluarga meredah bukit dan bukau.

Ya, penulis sampai lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sama seperti di banyakan kawasan di tanah air, jamuan makan adalah secara senduk sendiri (buffet). Apa yang menghairankan penulis, sambil makan tetamu didendangkan dengan persembahan pentas oleh sebuah kugiran (band) nyanyian. Penyanyinya lelaki dan perempuan. Muziknya kuat sungguh. Bunyi azan zuhur pun mereka tidak pedulikan.

Persembahan kugiran pada majlis kahwin satu pemandangan amat asing pada penulis. Kecuali di kawasan Felda ini, penulis tidak pernah melihatnya pada majlis kahwin di tempat-tempat lain.

Sebahagian orang Felda masih kukuh pada budaya lama, pelbagai adat istiadat perkahwinan seperti bersanding, menepung tawar, malam berinai dan bersiram diteruskan sedangkan ada masyarakat di luar sudah lama meninggalkannya.

Penulis teringat puluhan tahun lalu, antara kebiasaan (adat) pada majlis perkahwinan orang Melayu Melaka yang ditinggalkan adalah joget lambak, juga dikenali cak gun cak. Mungkinkah orang Felda boleh meninggalkan persembahan kugiran pada majlis kahwin?

Dulu, apabila ada saja majlis kahwin, malamnya hampir pasti ada 'cak gun cak'. Sebagai budak yang sentiasa ingin tahu (curious), kadang kala penulis menyelinap dari rumah dan turut bersama menyaksikan 'cak gun cak'. Waduh pada malam selepas majlis perkahwinan ini, budak-budak muda dan yang berhati muda melepaskan gian, lelaki perempuan menari secara berlambak di laman rumah pengantin.

Di sebuah rumah penulis saksikan pengantin perempuan duduk di kerusi. Kemudian pengantin lelakinya mencuit bahunya, mengajaknya menari. Pengantin perempuan pun malu-malu kucing pergi ke halaman.

Apatah lagi pasangan ini pun menari diikuti pasangan-pasangan lain diiringi kugiran (seperti yang saya lihat pada majlis perkahwinan di kawasan Felda) yang membingitkan hati dan telinga. Apabila pengantin lelaki dicuit oleh seseorang, dia terpaksa melepaskan isterinya untuk berjoget dengan orang lain. Pengantin perempuan menarik muka masam dan meninggalkan pentas.

Penulis perhatikan orang perempuan duduk di kerusi yang dibariskan. Apabila ada orang lelaki mencuit, mereka pun bangun dan menari. Gambarannya macamlah adegan berjoget dalam filem Melayu 60-an atau lebih mudah untuk faham macam pementasan 'Lantai T Pinke' karya A Samad Said. Demikian betapa hebat orang Melaka dengan 'cak gun cak'nya.

Suatu malam ketika sedap menyaksikan 'cak gun cak', penulis terdengar orang menjerit kuat: "Balik, balik...!" Apa lagi penulis pun 'cabut', mana tahu bapa penulis menjerit sambil membawa tali pinggang! Rupa-rupanya berlaku satu pergaduhan berebut perempuan joget.

Sambil berlari pulang penulis nampak seorang lelaki berparang mengejar seorang lagi lelaki di jalan raya. Orang ramai mengikut mereka. Penulis tidak tahu akhiran drama ini sebab sudah menyelamatkan diri dalam rumah.

Selepas tamat pengajian peringkat menengah di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air pada 1980, penulis kembali duduk di kampung dan perasaan 'cak gun cak' atau joget lambak dan dondang sayang pada majlis perkahwinan sudah berkubur. Warisan yang dibangga-banggakan itu akhirnya rapuh dan musnah ditelan dek zaman.

Masa kecil juga, pada bulan Safar penulis lihat orang berbondong-bondong naik kereta lembu melalui jalan besar di depan rumah. Ada yang berjalan kaki manakala ramai perempuan dalam kereta lembu dihias indah itu.

Mereka membawa pelbagai alatan untuk berkampung dua tiga malam. Antara barangan dibawa periuk belanga, pinggan mangkok, bahan makanan seperti beras serta cili asam, tikar mengkuang dan bantal.

Barisan kereta lembu ini dalam perjalanan ke Tanjung Kling. Rombongan ini mahu mandi tolak bala bulan Safar di Tanjung Kling. Selain Tanjung Kling ada juga yang berkemah dan mandi-manda di Bukit Gedung.

Mandi safar pun sudah tinggal sejarah. Penulis tahu 'benda' ini khurafat apabila dalam Tingkatan Satu melalui pelajaran agama Islam diajar hadis antara lain bermaksud - tiada sial majal pada burung hantu dan hari-hari tertentu.
Terkuburnya dua amalan atau 'budaya' buruk ini - joget lambak dan mandi safar - adalah hasil dedikasi ulama yang tidak putus-putus berusaha menyedarkan masyarakat.

Seorang guru agama dalam ceramahnya di masjid mendedahkan 'cak gun cak' terhapus selepas jurunikah dan pegawai syarak masjid mengugut tidak akan menikahkan pasangan pengantin atau bapa mereka yang bercadang mengadakan joget lambak pada malam perkahwinan.

Joget lambak, mandi safar dan dondang sayang adalah sinonim dengan orang Melayu Melaka. Ia boleh dikategorikan sebagai satu budaya. Tetapi sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kesyumulan Islam, ia dilupakan terus daripada kamus kehidupan orang Melayu.

Berdasarkan pengalaman penulis menyaksikan sendiri terkuburnya 'budaya jahiliah joget lambak, dondang sayang dan mandi safar', tentulah penulis terkejut juga menyaksikan sebahagian perkara ini seperti persembahan kugiran bercampur lelaki perempuan di kawasan Felda.

Sebahagian besar anggota masyarakat luar sudah meninggalkan amalan tidak berfaedah ini, tetapi nampaknya orang Felda lambat untuk berubah. Mungkinkah kerana penghuninya tinggal jauh di pedalaman, arus perubahan kelihatan agak perlahan. Atau mungkinkah penghuninya dilekakan oleh pemimpin dan ahli politik menyebabkan mereka berasa lega hidup dalam zon selesa.

Kelesaan menyebabkan ramai anak peneroka menjadi doktor, demikian saya diberitahu ketika mengunjungi rumah seorang saudara di sebuah tanah rancangan Felda di Pahang. Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu istilah doktor adalah anak muda yang mencucuk diri mereka dengan suntikan dadah!

Demikianlah apakah malang dalam usaha gigih pihak tertentu termasuk cendekiawan Islam dan ulama bermati-matian membetulkan akidah ummah dan nasib mereka, pada masa yang sama sesetengah pemimpin mengaku beragama Islam berusaha bersungguh-sungguh menghidupkan budaya nafsu-nafsi atas alasan tidak mahu warisan nenek moyang berkubur, termasuklah di kawasan Felda. Atau mereka mahu terus berkuasa dulu, kini dan selamanya dan orang Felda menjadi kuda tunggangan mereka?

1 comment:

mr edz said...

betul tuan, saya sabagai anak felda kadang kala merasa sedih kerana masyarakat felda masih berada dalam angan angan lagi.. tentang 'doktor' tu saya setuju.