Monday, July 26, 2010

Haram memukul di muka, tapi mengapa ‘matanya’ lebam?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekatnya hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu!" (Sahih Muslim)
***

KULIAH Subuh pagi Ahad itu memikat hati saya. Ustaz pada hari itu membicarakan larangan menampar atau memukul seseorang di muka. Hukumnya adalah haram, kata ustaz yang menyatakan ada sebuah hadis menyebut seseorang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa seorang tuan telah menampar hambanya di muka. Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar abdi itu dibebaskan.

Ketika ustaz menghuraikan hadis ini, fikiran penulis melayang mengenangkan mata lebam Anwar Ibrahim. Rasulullah s.a.w. telah melarang seseorang itu memukul hatta seseorang yang bersalah sekalipun, di mukanya, tetapi mengapa perkara ini berlaku di tanah air kita (kes mata lebam Anwar) dengan kebanyakan orang (daripada pemimpin paling tinggi sehingga rakyat paling bawah) tidak terasa apa-apa pun?

Alangkah anehnya kes ini, ada pemimpin tertinggi menyatakan Anwar mencederakan sendiri mukanya. Dakwaan ini tentunya mengejutkan kerana berdasarkan tafsiran ustaz pada kuliah itu, bahagian muka (wajah) seseorang itu adalah anggota paling dimuliakan, jadi bagaimana dia sanggup melebamkan matanya sendiri?

Orang Melayu amat menghormati bahagian muka sehingga sejumlah peribahasa dicatatkan mengenai muka ini seperti padan muka, muka tembok dan bermuka-muka. Mustahil seseorang yang waras mahu mencederakan mukanya yang cantik molek itu.

Ustaz berkata ada banyak hikmah mengapa Islam melarang memukul pada bahagian muka. Pertamanya itu hukum Allah yang disampaikan melalui Rasulullah, orang Islam yang taat wajib menerimanya.

“Muka adalah anggota terpenting untuk mengenal seseorang. Cuba didatangkan orang tak ada muka, boleh awak kenal siapa dia itu? Di mukalah terletak anggota tersangat penting seperti mata, telinga, hidung dan mulut, jadi apabila dipukul pada bahagian muka, kemungkinan pancaindera ini rosak amat tinggi, oleh itu dilarang sama sekali memukul pada bahagian muka,” hurai ustaz.

Selanjutnya ustaz menerangkan kulit pada bahagian muka sangat halus. “Kecantikan seseorang apatah lagi wanita sebahagian besarnya diukur pada bahagian muka. Ramai wanita pergi salun untuk mencantikkan bahagian muka mereka. Mana ada bahagian lain anggota yang begitu diberi perhatian sehingga hampir 100 peratus melainkan muka?” tanyanya.

Ustaz berkata Nabi memerintahkan seseorang bersalah itu tidak dihukum dengan memukul atau menampar mukanya. Hal ini membabitkan semua manusia bukan orang Islam saja, katanya. “Ini bertujuan bagi menjaga muka yang padanya terdapat perhiasan paling hebat.”

Ustaz juga memberitahu ketika bersalaman, maniskanlah (senyum) muka kamu dan pandanglah tepat ke muka orang disalami. “Ini tidak, ada yang ketika bersalaman memandang ke tempat lain termasuklah memandang tangan yang bertautan itu. Ini tak betul, pandanglah muka saudara kamu itu,” katanya.

Ustaz berkata tidak salah untuk pemimpin memukul orang dipimpinnya. Misalnya seorang suami dibenarkan memukul isteri (jika cara lain seperti nasihat dan pemisahan tempat tidur tidak berkesan) tetapi persoalannya bagaimana bentuk pukulan itu?

Demikian juga seorang anak boleh dipukul oleh bapanya sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud)

“Pukul itu boleh,” kata ustaz, “tetapi bertujuan untuk mendidik. Kita pukul anak atau isteri dengan perasaan kasih sayang agar dia menjadi baik tetapi adalah haram untuk memukul atau menampar mukanya. Demikian betapa Islam menjaga maruah seseorang, tidak dibenarkan memukul di bahagian muka seseorang yang selain terdapat pancaindera penting juga terletak maruahnya.”

Berhubung permasalahan muka ini, ustaz berkata apabila seseorang melihat muka dalam cermin bacalah doanya agar Allah SWT memperelok akhlaknya seperti mana keelokan wajahnya tetapi persoalannya sekarang mengapa terlalu ramai orang yang tingkah lakunya tersangat buruk seperti memukul orang (termasuk isteri) di muka sedangkan Nabi melarang keras perbuatan itu.

Mereka yang melakukan ini (termasuk pihak yang memukul muka orang sehingga lebam dan mereka yang mengiyakan perbuatan itu) tidak beramal dengan akhlak Islam, tidak menepati kehendak Islam berdasarkan pengakuan syahadah (La ilaha illallah) mereka. Mereka sekadar membuat ucapan itu tetapi meletakkan kalimat itu di satu tempat lain manakala perbuatan mereka di tempat lain.

Berkaitan perkara ini, penulis terkesan dengan artikel ‘Mencari Hidayah’ dalam risalah Suara Masjid Al-Azim bertarikh 9 Julai 2010 yang antara lain menyatakan: “Benar…banyak orang yang mengatakan La ilaha illallah, tetapi mereka kufur dengan segala yang dikehendaki kalimat tersebut. Mereka tidak terpengaruh oleh La illaha illallah dan tidak mendapat cahaya daripadanya.

“Mereka mengucapkan kalimat ini, tetapi mereka meninggalkan masjid, makan harta riba, memakai pakaian hasil riba, minum minuman hasil riba, dan menyimpan harta riba. Anehnya, setelah mendirikan solat, mereka mengangkat tangan dan berdoa: ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku…’ sedangkan di dalam perutnya penuh dengan makanan riba.

“Maka, di manakah makna La ilaha illallah? Mereka mengucapkan La ilaha illallah, tetapi menentang jilbab dan melepaskan hijab, sehingga seorang wanita muslimah keluar rumah sambil mengucapkan La ilaha illallah, sementara perbuatannya mengingkari prinsip La ilaha illallah. Dia keluar untuk mempamerkan perhiasan, keindahan, kehormatan, dan gaya hidupnya di hadapan orang-orang derhaka yang rosak akhlaknya. Maka tidak ada tempat mengadu bagi kita selain kepada Allah.”

Demikianlah jika keharaman memukul seseorang di muka pun kita langgar, apatah lagi kesalahan atau maksiat serius yang disebutkan di atas seperti hidup bergelumang dengan riba dan melanggar batasan aurat yang begitu berleluasa sekarang ini.

Apa yang berlaku hari ini, tertuduh bukan setakat dipukul di bahagian muka, ada yang mati dalam tahanan dan ada ditembak mati seperti yang menimpa seorang remaja di Shah Alam yang melarikan diri daripada polis tidak lama dulu.

Nampaknya sebahagian besar kita ambil mudah pengucapan La ilaha illallah, kerana hukum-hakam Allah, kita perlekeh. Jika kita ambil berat apa yang kita ucapkan nescaya akan gentarlah kita melakukan kesalahan termasuk memukul orang di muka.

Ini kerana mengikut hukum qisas, seseorang yang mencederakan orang lain akan menerima pembalasan setara. Jika dia melebamkan mata seseorang, dia pula perlu dilebamkan matanya. Jika dia membutakan seseorang, dia pula perlu dibutakan matanya!

No comments: