Thursday, July 1, 2010

Label pengganas sukarkan umat Islam

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang telah mereka kerjakan (daripada perbuatan kufur dan maksiat). (Al-A'raaf Ayat 147)
***

SEORANG tuan guru dalam kuliah mingguannya di sebuah masjid berhampiran rumah penulis pernah menyuarakan jika tidak kerana cintakan Allah dan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. (termasuk Tanah Haram Makkah dan Madinah), dia tidak bersedia ke sana disebabkan karenah imigresen yang begitu membebankan.

Katanya, jemaah haji dan umrah diperiksa sedemikian rupa, seolah-olah mereka pengganas layaknya. Tindakan pihak imigresen ini begitu menyusahkan jemaah termasuk dirinya, tetapi tetapi disebabkan Makkah dan Madinah berada dalam negara berkenaan, dia tetap pergi sekalipun terpaksa menempuh keperitan itu.

Penulis yang baru kembali daripada mengerjakan umrah juga mengalami keperitan akibat tindak tanduk pihak imigresen dan petugas kaunter pemeriksaan masuk (check in), terutama di Terminal Haji Jeddah. Bayangkanlah penulis, keluarga dan rakan sepenerbangan terpaksa menghabiskan masa dari jam 6 petang sehingga 12.30 malam bagi membereskan hal-hal berkaitan ketika mahu berlepas kembali ke tanah air.

Benar, dalam mengerjakan umrah atau haji selalu dikaitkan dengan dugaan dan jemaah diminta banyak-banyak bersabar, tetapi perkara itu tidak wajar dijadikan alasan untuk mereka dijadikan mangsa ketidakcekapan dan peraturan ketat penerbangan seluruh dunia yang antara lain mensasarkan apa yang mereka dakwa pengganas.

Jika selama kita mendengar bagaimana pihak berkuasa lapangan terbang di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah mengenakan pemeriksaan amat ketat kepada penumpang beragama Islam, apatah lagi mereka yang bernama Ahmad, Muhammad, Osama, Hussein dan sebagainya dan juga mereka yang berpakaian jubah dan menggenakan kopiah; kini pemeriksaan terlalu ketat juga dikenakan ke atas jemaah umrah.

Pada pemeriksaan imigresen dan kemasukan yang penulis lalui tempoh hari, penumpang diarahkan dari satu bahagian ke bahagian lain, kemudian diminta beratur panjang – lelaki dan perempuan diasingkan – pemeriksaan dilakukan begitu teliti sekali.

Selain menjalani pemeriksaan tubuh badan (body search), petugas meminta penumpang membuka kasut, kemudian menanggalkan tali pinggang manakala yang perempuan pula, pantang saja terdengar bunyi kesan besi, mereka diminta menanggalkan peralatan demikian.

Bayangkan ada jemaah wanita yang memakai coli yang mempunyai kancing besi, jadi apabila alat pengimbas itu berbunyi, mereka diminta untuk menanggalkannya. Demikianlah betapa telitinya pihak berkenaan, sehingga besi kancing coli pun boleh membuatkan mereka rasa begitu takut.

Tuan Guru berkata ketakutan pihak berkenaan adalah berdasarkan apa yang ditanamkan oleh kuasa besar akan ancaman apa yang mereka tuduh sebagai pengganas Islam.

“Alangkah sedih orang Islam dicop sebagai pengganas dan sekarang ini kebimbangan itu bukan saja wujud di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain tetapi sudah menular di kalangan negara Islam,” katanya.

Berhubung perkara ini, Tuan Guru berkata tindakan negara-negara Islam yang seolah-olah merestui apa yang didakwa oleh kuasa besar dan konconya itu menyusahkan sebahagian besar umat Islam termasuk mereka yang mahu menunaikan haji dan umrah.

Kini negara-negara di rantau sebelah sini (seperti Malaysia dan Indonesia) tidak terkecuali dalam menimbulkan ketakutan rakyat terhadap apa dituduh sebagai pengganas Islam itu. Pemerintah Malaysia begitu beriya-iya mahu mendedahkan apa yang didakwa ancamanan pengganas Islam itu termasuk yang kononnya bergiat di pusat-pusat pengajian tinggi.

Berhubung perkara ini, PAS sebagai salah satu komponen Pakatan Rakyat melalui Presidennya, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin Umno-BN supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan Islam sebagai agama keganasan dengan menyebarkan dakyah bagi menakutkan bukan Islam sekali gus memburukkan Islam.

Beliau berkata tindakan melabel Islam sebagai ganas berdasarkan tindakan beberapa individu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan menghina agama sendiri.

Sama seperti langkah pihak imigresen yang mendatangkan masalah kepada jemaah kononnya bagi membendung apa yang didakwa pengganas, tindakan pihak lain juga akan menjejaskan nama baik Islam dan umatnya. Islam akan dilihat negatif secara keseluruhan dan ini akan menjejaskan umatnya di seluruh dunia.

Demikian betapa licik permainan kuasa besar dunia dan kini kuncu-kuncunya di seluruh dunia digerakkan untuk mengaitkan Islam dengan keganasan, sekali gus menyukarkan kehidupan orang Islam dan juga mencetuskan hubungan keruh antara penganut Islam yang taat dengan ‘non-Muslim’.

Di negara kita, konsep pecah dan perintah ini (saling curiga mencurigai antara Muslim dan non-Muslim) cuba ditanamkan dalam fikiran rakyat berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan keakraban dan saling mempercayai yang semakin meningkat antara mereka yang beragama Islam dan ‘non-Muslim’ dalam Pakatan Rakyat.

Mungkinkah konsep ini diajar oleh ‘si penasihat’ yang berpangkalan di New York atau Washington sehinggakan kebanyakan negara Islam mengikutinya?

No comments: